Hati siapa yang tidak punah apabila kediaman yang mereka sayangi selama ini ranap dalam sekelip mata sahaja. Apatah lagi perkhabaran tersebut diketahuinya menerusi paparan berita di kaca televisyen.
Begitulah yang terjadi kepada pewaris empayar Hilton yang juga merupakan selebriti terkenal Amerika Syarikat, Paris Hilton apabila kediaman inapnya di Malibu, Los Angeles hangus terbakar akibat kebakaran, minggu ini.
Kediaman mewah yang terletak di persisiran pantai itu merupakan salah satu daripada lebih 1000 bangunan yang dijilat api dalam kawasan seluas hampir 11,000 hektar dan terus merebak.
Kata Paris, kejadian tersebut hanya diketahui olehnya ketika beliau sedang menonton siaran berita di kediaman berasingan bersama keluarganya.
“Rumah (Malibu) ini adalah tempat kami membina kehidupan berkeluarga yang mempunyai banyak kenangan manis.
“Di situlah, Phoenix (anak lelakinya) melangkah untuk kali pertama pertamanya dan di mana kami impikan kehidupan serba tenang bersama London (anak perempuannya).
“Saya mendoakan kesemua keluarga yang terkesan akibat kebakaran ini. Kepada mereka yang kehilangan rumah, memori dan haiwan peliharan yang mereka cintai,” catatnya.
Paris turut menyatakan beliau kini menghubungi organisasi tertentu bagi memikirkan cara menyokong komuniti yang terjejas akibat kebakaran hutan ini, sambil menghargai keberanian dan dedikasi anggota bomba di Los Angeles yang mempertaruhkan nyawa bagi melindungi penduduk di sana.
Sebagai info, antara kediaman selebriti Hollywood lain yang turut musnah termasuklah kediaman Leighton Meestar dan Adam Brody, Anna Faris, Billy Crystal dan kediaman ‘childhood’ adik-beradik peragawati terkenal, Gigi dan Bella Hadid.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.