[ Part 1 ] Seimbangkan 4 Tugasan Dalam Satu Masa, Dr. Amalina Pernah Abaikan Kesihatan Diri Sendiri

Share

 

Ironi bukan apabila pakar yang bertungkus-lumus cuba untuk meningkatkan semula kesihatan pesakit kadangkala jatuh sakit juga kerana mengabaikan kesihatan sendiri demi tugasan.

 

Situasi ini banyak dilalui oleh pakar perubatan muda yang baru saja tamat pengajian termasuklah pakar perubatan kelahiran Malaysia iaitu Dr. Nur Amalina Che Bakri.

Dalam segmen khas Nota : Catitan London Dr. Amalina yang ada di dalam keluaran Majalah Remaja isu April – Jun 2018, beliau sempat untuk berkongsi pengalamannya sendiri sebagai seorang doktor muda penuh bersemangat di United Kingdom.

Sebagai seorang pakar bedah pelatih di bahagian surgikal dan trauma, Dr. Amalina menggalas tanggungjawab besar. Ini termasuklah memantau beberapa doktor pelatih di bawahnya, bertugas di bilik bedah dan klinik, sentiasa berada dalam posisi on call

dan sempat mengajar di Imperial College. 4 tugasan dalam satu masa!

Meski kedengaran seperti tidak masuk akal, tekad yang kuat dalam diri Dr. Amalina tidak pernah luntur. Sehinggalah pada satu ketika, beliau terpaksa akur dengan kudrat kesihatan dan dimasukkan ke wad selama beberapa hari atas sebab keletihan.

 

Antara posting di Instagram Story dan Twitter yang mendekatkan diri beliau dengan followers.

 

“Ketika mula-mula menjadi doktor junior, saya akui saya terlalu fokus dengan kerja sehingga mengabaikan diri dan jatuh sakit. Saya belajar daripada kesilapan tersebut.

“Sekarang, jika tiba waktu cuti, saya memilih untuk merehatkan minda dan merancang percutian bersama teman. Lokasi saya di London sedikit sebanyak memudahkan saya untuk melancong ke sekitar Eropah kerana perjalanan hanya memakan masa satu ke dua jam saja,” kata beliau yang kini sedang meluangkan masa bercuti seketika di Sepanyol.

 

Masa Di Tempat Kerja Dikongsi Secara Live

 

Sekiranya korang merupakan salah seorang daripada 200,906 orang followers yang mengikuti Dr. Amalina di Instagram, pastinya ada yang sempat untuk menonton sesi LIVE yang sering beliau adakan semasa berehat sebentar daripada tugasan atau selepas tamat tugasan.

“Idea untuk mengadakan sesi perbincangan secara LIVE bersama followers saya datang ketika saya sedang mengajar pelajar perubatan di Imperial College London.

“Di dalam sesi LIVE pertama yang berlangsung selama dua jam itu, kami sempat membincangkan cara pengurusan pesakit yang pecah saluran darah utamanya, radang hempedu dan luka akibat tembakan. Kami sendiri tidak menyangka perbincangan tersebut berlangsung sehingga 2 jam, dan masih ramai yang menontonnya,” kongsinya yang kini menjalani latihan pakar di St Mary’s Hospital London.

 

Salah satu sesi LIVE Dr. Amalina di Instagram.

 

Beliau juga beranggapan teknologi perlu digunakan sepenuhnya mengikut minat atau passion masing-masing dan bukannya bagi tujuan bersosial dan berhibur saja.

Sambil mengajar, pada masa yang sama beliau boleh belajar daripada mereka.

“Sekarang sudah terlalu banyak perkara negatif yang menular di media sosial. Jadi saya fikir, tidak salah untuk saya menyebarkan mesej positif dan berguna kepada followers.

“Walaupun saya tidak berkhidmat di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya saya cuba untuk memberikan semangat kepada golongan pelajar terutamanya pelajar perubatan serta masyarakat Malaysia secara amnya,” tambah Dr. Amalina yang juga gemar untuk memuat naik rutin harian di butang Instagram Highlights.

Khas untuk followers yang terlepas sesi sebelum ini, katanya.

 

* * * * *

 

Dalam perkongsian PART 2 esok, REMAJA akan kongsikan bagaimana Dr.Amalina berdepan dengan isu buli siber di media sosial dan apakah cara beliau menggerakkan suara wanita muda untuk berdepan dengan dunia yang semakin mencabar ini.

Published by
FZ