Pasangan Malaysia Hadapi Tuduhan Dera Di Norway, Suruh Anak Berpuasa Di Bulan Ramadan

Share

Gara-gara keletihan akibat berpuasa selama 12 jam yang dijalani di Norway, pasangan suami isteri Hairi Muhamad dan isteri, Norliha Khamis berhadapan dengan tuduhan mendera anak-anak mereka.

Sejak Mei lepas, Hairi, 42, yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan Norliha, 42, hilang hak penjagaan lima anak mereka berusia empat dan 16 tahun selepas disiasat pihak berkuasa susulan aduan seorang anak mereka yang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Sebuah akhbar tempatan yang menemu bual adik Hairi, Hasrol, melaporkan pada awal Ramadan lepas, seorang daripada anak pasangan itu yang mungkin letih kerana berpuasa, ditegur gurunya dan memaklumkan dia tertekan kerana berpuasa waktu lama (melebihi 12 jam).

Hasrol berkata, guru itu mungkin berpendapat kanak-kanak terbabit didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak.

Laporan Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, Kementerian Luar mengesahkan pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, sedang menghadapi perbicaraan di Norway atas pertuduhan mendera anak mereka.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway, sedang memantau perkembangan kes itu.
“Kedutaan Malaysia juga telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras peruntukan Konvensyen Vienna 1963.”

Katanya, pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan agensi tempatan berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga itu dipelihara, termasuk memastikan anak mereka ditempatkan bersama keluarga Islam.

Wisma Putra berkata, ia turut mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia hadir dan mengikuti prosiding perbicaraan kes itu pada 4 hingga 6 Nov ini.

Anak dijaga bukan keluarga Islam

Dalam pada itu, Harian Metro turut melaporkan, anak-anak pasangan ini kini dijaga oleh pasangan bukan Islam susulan dari kejadian ibu bapa mereka ditahan.

Dalam pada itu, adik kepada Hairi, Hasrol Muhammad, 33 bersyukur kerana pihak kerajaan membantu Along dan Kak Longnya dalam perbicaraan tersebut.Kami sekeluarga berharap Along dan Kak Long berjaya mendapat semula hak penjagaan anak-anak mereka,” kata Hasrol Muhamad, 33.

Adik kepada Hairi Muhamad, 42, itu berkata, sekiranya abang dan kakak iparnya, Norliha Khamis, 42, tidak berjaya dalam kes itu, mereka sekeluarga berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat membantu supaya semua anak pasangan itu dibawa pulang ke Malaysia.

“Kami sekeluarga akan jaga anak mereka. Kami hormat undang-undang negara lain tetapi, biarlah anak-anak Along dibawa pulang ke Malaysia dan tidak diletak di bawah jagaan keluarga bukan Islam di sana.

“Bukan saja Along dan Kak Long, kami semua di sini risau kerana di sana tidak ramai orang Islam, kami bimbang soal pemakanan anak-anak itu, apatah lagi soal ibadat mereka.
“Along beritahu anak-anaknya sebelum ini boleh berbahasa Melayu dengan baik, namun kini lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Norway berbanding bahasa Melayu,” katanya yang ditemui di Pasir Gudang.

Hairi yang bertugas sebagai pakar kimpalan manakala Norliha seorang suri rumah menetap di Stord, Norway, sejak lebih 10 tahun lalu.

Hasrol memuat naik kisah abangnya itu di Facebook (FB) Ahad lalu, bertujuan mendapatkan bantuan pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah dihadapi pasangan berkenaan.

Menurutnya, sejak kisah itu tular, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Luar Negeri memandang serius perkara berkenaan.

“Along beritahu, Kedutaan Malaysia juga sudah menghubunginya untuk memberi bantuan guaman bagi menggantikan peguam sedia ada dan mencari jalan terbaik untuk mengeluarkan anak-anak dari jagaan keluarga bukan Islam,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai kejadian itu, Hasrol berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang daripada anak Hairi yang mungkin letih kerana berpuasa ditegur gurunya.


“Seorang anak Along kelihatan muram di sekolah menarik perhatian gurunya. Apabila ditanya guru punca dia berkelakuan sedemikian, dia tidak jawab, jadi gurunya minta dia meluahkan perasaannya dalam kertas.

“Luahan hatinya itu yang menggambarkan dia berasa tertekan dengan kehidupan di rumah apabila dipaksa bersolat dan mengaji al-Quran, selain dihadkan daripada menggunakan media sosial.
“Selepas itulah siasatan bermula dan seterusnya semua anak Along diambil dari jagaan mereka,” katanya.

Hasrol berkata, ibu bapa mereka, Muhamad Ero, 66, dan Hasnah Sulong, 61, yang tinggal di Chaah, Segamat tidak putus berdoa dan solat hajat mendoakan kemenangan berpihak kepada Hairi dan Norliha.

“Mereka serah pada saya dan seorang kakak untuk membantu mencari penyelesaian terbaik dalam membantu Along dan Kak Long,” katanya.

Sumber : FMT & Harian Metro

Published by
Almaswa Haji Che Ros