Buat pengikut Liga Pro PUBG Mobile di Malaysia, tentunya korang mengakui kelebihan yang dimiliki oleh pasukan tempatan 4Rivals.
Sejak penampilan 4Rivals pada Ogos 2021, pasukan yang berpangkalan di Selangor ini berjaya meningkat naik hanya dalam masa yang singkat. Bukan saja mengharumkan nama dengan layak ke PMGC, malahan mereka turut merangkul tempat ketiga dalam Liga Pro PUBG Mobile – Kejuaran SEA Musim 4: Liga, serta Liga Pro PUBG Mobile – MYSG Musim 4: Akhir.
4Rivals terus membuktikan bahawa mereka bukan calang-calang pasukan setelah melakukan kemunculan sulung di Kejohanan Global PUBG Mobole (PMGC) sebagai salah satu daripada dua pasukan yang mewakili Malaysia.
Maka, tidak hairanlah apabila baru-baru ini 4Rival telah diumumkan menerima sokongan daripada dua jenama besar iaitu daripada Yoodo, jenama perkhidmatan 100 peratus mudah alih digital pertama yang boleh diubahsuai di Malaysia dan organisasi antarabangsa e-sukan yang berpangkalan di Sweden, Alliance .
Bersama, mereka telah memperkenalkan pasukan baharu PUBG Mobile iaitu Yoodo Alliance-4Rivals!
Kata Ketua Yoodo iaitu Chow Tuck Mun, Yoodo sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang sentiasa memperjuangkan bakat e-sukan Malaysia menyokong pemain generasi baharu seperti pasukan 4Rivals ini demi meningkatkan peluang e-sukan tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, kerjasama ini juga mengukuhkan lagi kedudukan Yoodo sebagai syarikat telekomunikasi pilihan untuk pemain e-sukan.
Komitmen Yoodo untuk melahirkan lebih ramai pemenang dan memupuk bakat juga dikongsi oleh Alliance. Bak kata pengasas dan CEO Alliance, Jonathan ‘Lodo’ Berg, mereka yakin kerjasam dengan 4Rivals ini mampu berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
*
Bercakap dengan CEO pasukan 4Rivals iaitu Mohd Hafizuddin Yusoff, dengan pengenalan pasukan Yoodo Alliance-4Rivals ini, misi mereka sekarang hanya satu iaitu untuk menjadi ‘performance team’ dalam dunia kejohanan PUBG.
“Alhamdulillah, Yoodo & Alliance menyokong hasrat kami untuk menjadi pasukan terbaik dengan memberikan fasiliti penting sempena kemunculan kami di kejohanan antarabangsa.”
“Dengen penambahan pemain baru-baru ini iaitu Vokey bagi posisi Fragger untuk musim seterusnya, sasaran kita sekarang adalah untuk pasukan nombor satu dalam Liga Pro PUBG Mobile (PMPL) – Kejuaraan SEA Musim 4 : Liga. Misi kami adalah untuk menjadi pasukan pertama dari Malaysia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga kedudukan teratas di Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC),” kongsi Hafizuddin.
Buat masa ini, senarai pemain pasukan Yoodo Alliance-4Rivals terdiri oleh :
Appy – Muhammad Haziq Hanafi bin Mad Zain, 22 (In Game Leader)
Eypul – Mohamad Saiful Annuar Bin Shahrom, 25 (Support)
Rith – Harith Aimar bin Stanley Michael, 18 (Fragger)
Pemburu – Sahrul Daulay Bin Jailani, 25 (Support)
Vokey – Muhammad Imran b Rosli, 22 (Fragger)
Untuk pengetahuan korang, Liga Pro PUBG Mobile (PMPL) – Kejuaraan SEA Musim 5 akan datang bakal disertai oleh sebuah lagi negara Asia Tenggara baharu iaitu Filipina. Ia telahpun diumumkan menerusi akaun Facebook PUBG Mobile E-Sports Malaysia dan kini, saingan akan terbahagi kepada tiga buah negara termasuk Malaysia dan Singapura.
Komen Hafizuddin, pasukan Yoodo Alliance-4Rivals tidak mudah melatah dengan saingan baharu ini sebaliknya meraikan liga yang lebih meriah selepas ini.
“Setiap negara mempunyai meta tersendiri. Kita tidak nafikan pasukan dari Filipina ada kekuatannya tetapi untuk saya, apabila mereka menyertai PMPL di Malaysia; sudah tentu serta-merta mereka akan menjadi antara pencabar terdekat kita untuk merebut kejuaraan.
“Saya percaya dengan pengalaman yang 4Rivals ada hingga sampai ke PMGC, kita masih mampu menjadi yang terbaik di peringkat PMPL. Lagi pula, liga di Malaysia ini seperti yang kita tahu amat kompetitif dan komuniti PUBG kita juga sangat bagus. Kita telah buktikan kita antara liga terbaik di dunia setelah dua pasukan PMPL berjaya ke PMGC dari Malaysia,” katanya.
Tambah Hafiz lagi, tekanan sebaliknya akan dirasai oleh pasukan Filipina yang baru menyertai kerana mereka akan berdepan cabaran sengit dari pasukan lain yang lebih berpengalaman dalam liga PMPL.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.