Pasukan Remaja ‘Gua Tham Luang’ Jadi Tetamu Istimewa Sukan Olimpik Belia

Share

Adakah korang ingat lagi dengan kisah operasi menyelamat luar biasa melibatlan 12 orang remaja dan jurulatih mereka yang terperangkap jauh ke dalam Gua Tham Luang yang berlaku pada bulan Jun yang lalu.

Pasukan bola sepak mereka yang bergelar ‘Wild Boars’ menjadi sebutan netizen seluruh dunia yang menyaksikan misi mencari dan menyelamat daripada kerjasama pasukan elit seluruh dunia.

Terperangkap selama 18 hari di dalam gua yang gelap gelita menjadikan kisah mereka sebagai antara kejadian luar biasa dan memberikan inspirasi hebat kepada masyarakat dunia terutamanya golongan remaja. Sikap mereka yang sentiasa positif walaupun berada di dalam situasi yang boleh mengancam nyawa merupakan kini dijadikan inspirasi buat belia di seluruh dunia.

Terkini, mereka telah memenuhi jemputan daripada penganjur Sukan Olimpik Belia yang berlangsung di Buenos Aires, Argentina. Pasukan Wild Boars yang diwakili oleh kanak-kanak dan remaja berusia dari 11 dan 16 tahun ini tiba di ibu kota Argentina pada Jumaat lalu bagi menghadiri upacara pembukaan kejohanan yang berlangsung pada keesokan harinya.

BACA: 12 Fakta Menarik Tentang Operasi Menyelamat Mangsa Gua Tham Luang

Dalam lawatan ini mereka sempat mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 13 tahun kelab gergasi Argentina, River Plate. Dengan menggayakan jersi berwarna ungu, pasukan bola sepak remaja yang pernah digelar ‘pasukan bola sepak paling disayangi di dunia’ meneria tepukan paling gemuruh daripada penonton yang hadir.

Semasa melangkah masuk ke padang, Wild Boars dan jurulatih diberikan guard of honour oleh pasukan River Plate sebagai tanda pernghormatan dan kagum terhadap mereka.

Menurut presiden River Plate, perlawanan ini cukup istimewa baginya terutama buat kelabnya kerana kehadiran pasukan remaja dari Thailand ini mampu memberikan inspirasi kepada pemain-pemain muda di Argentina khususnya.

Perlawanan persahabatan ini berlangsung di Estadio Monumental yang pernah menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Dunia 1978.

Semoga pasukan Wild Boars akan terus menjadi duta tidak rasmi kepada keazaman dan perjuangan yang tidak pernah putus asa. Semoga dengan kisah luar biasa mereka di Gua Tham Luang dijadikan inspirasi dan peringatan untuk golongan remaja sentiasa rasa bersyukur.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim