Patutlah Ubat Tradisional ‘Berkesan’, Rupanya Ada Campuran Ubat Tersembunyi

Share

Ramai yang lebih percaya kepada ubat-ubatan tradisional kerana pada mereka produk ini diperbuat daripada bahan semula jadi dan tidak perlu risau tentang bahan yang digunakan.

Penjual akan mengatakan produk tradisional mereka adalah bebas kimia dan makan sekali pasti akan nampak perubahan ketara.

Contoh paling senang, lebih ramai yang berani mengambil ubat kurus kerana kononnya dikategorikan sebagai dan menganggap bahan yang digunakan adalah daripada sumber semula jadi.

Gambar hiasan

Jangan cepat percaya guys, memang nampak berkesan sebab mungkin ada campuran bahan aktif iaitu ubat terkawal yang digunakan dalam produk-produk tersebut.

Berikut adalah antara bahan yang sering dijumpai di dalam produk tradisional yang “Dicampur Palsu/Di cemar Palsu”. Produk ini biasanya tidak berdaftar dengan KKM atau produk yang berdaftar tetapi telah diubahsuai ketika berada dalam pasaran oleh pengusaha yang tidak beretika.Antara bahan-bahan yang dicampurkan:

1. Steroid (Contoh: Dexamethasone)

Sejenis ubat anti-keradangan yang kerap dicampur dalam produk tradisional. Kononnya, “Sembuhkan artritis”, “Boleh solat berdiri”, “Hilang sakit-sakit lutut”, atau “Sembuhkan resdung”.

Penggunaan tanpa pengawasan doktor dan dos yang betul boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan mendapat diabetes dalam penggunaan jangka masa yang lama dan berterusan.

Antara tanda sesuatu produk itu mengandungi steroid adalah merubah cirri fizikal seperti muka berwajah bulat (moon face) dan kelihatan bahagian belakang tengkuk berbentuk seperti bonggol (buffalo hump).

2. Perangsang seks (Contoh: Sildenafil)

Ia merupakan sejenis ubat untuk rawatan mati pucuk. Selalu dicampurkan dalam produk tradisional yang dikatakan kononnya “Tegak berdiri sampai subuh”, “Isteri terkejut dan puas” serta pelbagai tuntutan yang menjuruskan kepada peningkatan tenaga batin.

Bahan ini juga dicampurkan ke dalam kopi-kopi pra-campur. Penggunaan tanpa pengawasan doktor dan dos yang betul boleh menyebabkan kesan kardiovaskular yang serius dan boleh mengancam nyawa.

Tanda-tanda yang anda boleh rasa jika sesuatu produk itu mengandungi sildenafil adalah jantung terasa berdebar-debar, berpeluh, pening kepala, gangguan penglihatan dan rasa seperti nak pitam.  Tapi, tak semua tanda ini akan dirasakan setiap individu yang mengambilnya kerana kesannya berbeza pada setiap orang.

Gambar hiasan

3. Agen pelangsingan (Contoh: Sibutramine)

Sibutramine telah diharamkan penggunaannya sebab kesan sampingan terhadap sistem jantung yang serius. Ubat ini merencatkan isyarat saraf di otak untuk lapar. Kerap dicampurkan dalam ubat kurus. “Turun 5kg dalam seminggu”, “Kurus dalam masa sebulan” dan apa-apa saja yang berkaitan dengan pelangsingan badan.

Kalau nak tahu tanda-tanda produk yang ada bahan ni, anda akan berasa jantung berdegup laju, sukar untuk bernafas, berpeluh, pening, sakit pada bahagian bahu dan lengan, rasa kebas-kebas, mulut kering, sakit perut, sakit-sakit sendi, sembelit, susah tidur dan hilang selera makan (tak semua tanda ini akan dirasakan setiap individu yang mengambilnya kerana kesannya berbeza pada setiap orang).

4. Agen anti-diabetik (Contoh: Metformin & Gliclazide)

Metformin dan gliclazide adalah sejenis ubat untuk menurunkan paras gula dalam darah dan digunakan dalam rawatan diabetes. Kerap dicampurkan dalam produk tradisional, “Boleh turunkan paras gula” , “Sembuhkan kencing manis” dan menunjukkan testimoni pesakit yang telah sembuh kencing manis atau gula dalam darah kembali normal.

Penggunaan tanpa pengawasan doktor dan dos yang betul boleh menyebabkan berlakunya risiko hipoglisemia (keadaan gula dalam darah rendah) seterusnya jatuh pengsan malah boleh mengancam nyawa.

Antara tanda sesuatu produk itu mengandungi ubat anti-diabetik adalah; tanda-tanda hipoglisemia seperti menggeletar, berpeluh dingin, rasa pening dan hendak pitam, keliru dan rasa lapar.

Kesan ini lebih ketara lagi jika mengambil produk seperti ini dan dalam masa yang sama ambil ubat untuk tujuan rawatan diabetes. (Semua tanda ini bukan akan dialami oleh semua individu. Kesannya adalah berbeza antara satu individu kepada individu yang lain).

5. Anti-histamine (Contoh: Chlopheneramine)

Merupakan ubat selesema dan mengurangkan kesan alergik. Dicampurkan dalam produk tradisional yang katanya boleh “Menyembuhkan resdung”  dan mengurangkan gejala selesema serta kesan alergik.

Antara tanda sesuatu produk itu mengandungi anti-histamine adalah; mulut dan mukosa hidup kering, hidung mudah berdarah, pening, loya, muntah dan penglihatan kabur. (Semua tanda ini bukan akan dialami oleh semua individu. Kesannya adalah berbeza antara satu individu kepada individu yang lain).

6. NSAIDs (Non Steroidal Anti-Inflammatory Drugs; mefenamic acid / diclifenac sodium)

NSAID adalah sejenis ubat tahan sakit yang sering kali anda boleh lihat pada produk tradisional yang dikatakan boleh “Menghilangkan sakit lutut”, “Merawat artritis” dan “Hilang sakit-sakit badan”.

Antara tanda sesuatu produk itu mengandungi NSAIDs adalah; sakit perut, pedih ulu hati, pening/pusing, bengkak pada kaki, ulser perut dan kesan alahan seperti ruam dan bengkak pada wajah/mata dan sukar bernafas.(Semua tanda ini bukan akan dialami oleh semua individu. Kesannya adalah berbeza antara satu individu kepada individu yang lain).

Gambar hiasan

Nasihat kepada pengguna

1. JANGAN PERCAYA JANJI MANIS PENJUAL. Mereka boleh saja mengatakan produk mereka paling hebat, terbaik dan boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Tapi hakikatnya?

2. Rujuk atau dapatkan nasihat daripada ahli farmasi bertauliah atau doktor sebelum menggunakan apa-apa produk tradisional, suplemen atau produk kesihatan.

3. Jangan terus beli produk secara online atau daripada sembarangan individu. Cari masa untuk kaji betul-betul produk tersebut terlebih dahulu sama ada ia sesuai diambil atau tidak. Rujuk juga kalau-kalau produk itu tersenarai dalam produk yang mengandungi bahan terlarang.

4. Beli produk daripada premis yang dipercayai seperti farmasi komuniti berlesen. Elakkan membeli produk ubat, ubat tradisional atau suplemen secara online atau di pasar malam/kaki lima.

5. Sebarang pertanyaan  berkaitan ubat-ubatan sila hubungi Pusat Panggil Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin-Jumaat 8am-5pm).
Kalau ada yang tertanya-tanya kenapa doktor prescribe ubatan-ubatan seperti yang dibincangkan tadi boleh, tapi penjual produk tak boleh?

Ini adalah sebab bahan-bahan tersebut adalah ubat untuk tujuan rawatan tetapi ia adalah ubat terkawal dan hanya boleh dipreskripsikan oleh doktor atau dibeli di premis farmasi komuniti berlesen dan dijual oleh ahli farmasi berdaftar.

Doktor menggunakan ubat-ubatan ini dengan dos yang tertentu bergantung pada diagnosis yang dibuat dan hanya untuk tempoh tertentu.

Oleh itu, jika bahan-bahan seperti ini dicampurkan ke dalam produk tradisional secara tidak sah atau secara haram/terlarang, maka tiada siapa yang memantau penggunaannya oleh pesakit.

So, dah jelas dengan pencerahan yang telah dibuat ni kan? Berfikirlah dahulu sebelum guna.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

Published by
Noor Ain Norman