“Patutnya Jannah Ambil SPM Kertas Sastera Pagi Ini…” Pelajar Lemas Asyik Tanya Tarikh 26 November, Rupanya Ada Petanda

Share

Rasa rindu yang sarat membuatkan air mata Sabariah Labachok @ Abd Rahman tumpah. Rindu teramat sangat kepada anak ketiganya, Nurul Jannah yang sudah menemui sang pencipta sejak lebih seminggu lalu.

“Hari ini sepatutnya adalah hari terakhir Jannah duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek yang sangat dia minat iaitu Sastera. Tapi Allah lebih menyayanginya,” kata ibu yang terus menyeka air matanya dari mengalir laju.

Sabariah (kanan) dan kakak angkat anaknya iaitu Nor Haslin menunjukkan baju sekolah terakhir dipakai Jannah.

Memaklumkan yang arwah anaknya itu menyasarkan memperoleh keputusan A bagi subjek Sastera, bagi Sabariah dia hanya mampu menerima kejadian ini dengan hati yang redha.

“Sebelum kejadian, Jannah ada beritahu dia telah selesai menduduki peperiksaan bagi enam mata pelajaran dan menunggu dua lagi kertas peperiksaan iaitu Sains dan Sastera.

“Hari ini hari terakhir SPM baginya menjawap soalan malah arwah kata seperti tak sabar mahu menjawap. Rupanya kegembiraannya tidak kesampaian sebaliknya yang ada hanyalah kenangan,” katanya yang terus menyeka air matanya.

Mayat pelajar ini hanya ditemui selepas enam hari lemas dan hilang di laut selepas terpijak pasir jerlus di perairan Tanjung Piai, Pontian

Menceritakan kembali detik akhir anaknya, kata Sabariah, Jannah selalu bertanyakan tarikh 26 November, seolah-olah ada sesuatu yang penting tentang tarikh tersebut.

“Bila ditanya mengapa dengan tarikh itu kerana 26 November itu bukan hari lahirnya pun tapi Jannah sambut dengan senyuman,” katanya sambil menambah bila anaknya dilaporkan hilang dan lemas selepas terpijak pasir jerlus di pulau buatan dekat perairan Tanjung Piai, Pontian Johor , barulah dia faham mengapa anaknya itu beriya bertanya tarikh tersebut.

“Rupanya Jannah nak beritahu semua orang, tarikh itu tarikh dia menemui sang pencipta,” katanya lagi.

Di pulau buatan inilah Jannah terpijak pasir jerlus sebelum tenggelam. Mayatnya ditemui oleh seorang nelayan di hutan paya bakau.

Dalam pada itu Sabariah turut menzahirkan rasa leganya kerana mayat anak ketiga dari lima beradik itu ditemui selepas enam hari hilang bermula Selasa lepas (26 November 2018).

“Selepas enam hari menunggu, saya lega akhirnya anak saya ditemui walaupun dah tidak lagi bernyawa. Saya bersyukur kerana mayatnya ditemui. Sekurang-kurangnya ada pusara untuk saya lawat anak saya bila timbul rasa rindu,” katanya.

Menjelaskan hatinya cukup risau selepas mendapat khabar berita itu, Sabariah berkata, selepas mendapat tahu mengenai kejadian anaknya terjerlus dalam air di pulau buatan itu, hatinya cukup risau namun dia tidak pernah putus berdoa agar anaknya ditemui.

Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut ada menunjukkan perubahan tingkat laku menjadi sangat pendiam selepas pulang dari asrama.

Menceritakan detik kejadian katanya, arwah pulang dari asrama tiga hari sebelum kejadian sebelum meminta izin untuk ke Tanjung Piai bagi bertemu keluarga angkatnya.

“Saya tak sangka Jannah ke laut untuk ke pulau buatan. Sudah banyak kali saya pesan jangan mandi laut sebab cuaca sekarang tak menentu kadang-kadang hujan, bahaya jika ke laut.

“Panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa anak dan rakan mereka yang diterima pada pagi kejadian itu, cukup mengejutkan saya,” katanya.

Operasi gerakan menyelamat dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengesan mayat Jannah sebelum ini

Sebelum ini, mayat Nurul Jannah ditemui seorang nelayan dalam hutan bakau berhampiran perairan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) kira-kira jam 10.30 pagi, Sabtu lalu.

Jenazah Nurul Jannah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Piai selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh bapa angkat mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa.

Sempat bergurau ke kubur

Gurauan hendak ke kubur oleh arwah sebelum kejadian di pulau buatan itu berlaku masih diingati kakak angkat, Nur Haslin Zam Delaila, 25.

Nur Haslin berkata, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi nyata selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Jannah di pulau buatan akibat terjerlus ke dalam air.

Jelasnya, arwah seorang yang periang dan cukup rapat dengan keluarga angkatnya yang sudah dianggap seperti keluarga kandung.

Arwah Jannah selalu bertanya tarikh 26 November dan ada bergurau mahu ke kubur. Rupanya ada petanda dia mahu pergi menemui sang pencipta

“Sebelum arwah turun ke laut bersama adik dan empat lagi rakan mereka, arwah sempat bergurau beritahu dia hendak pergi ke kubur.

“Saya anggap itu hanya gurauan. Tak sampai sejam arwah ke laut, saya terkejut selepas dimaklumkan tentang kehilangan Jannah,” katanya sebak.

Dalam pada itu, Sabariah memberitahu arwah anaknya bersungguh-sungguh hendak membantu keluarga dengan bekerja sementara menunggu keputusan SPM kelak.

“Saya sekarang tak bekerja. Dulu kerja kilang, tetapi selepas terlibat kemalangan selepas Aidilfitri lalu, saya sukar untuk berjalan.

“Perbelanjaan dibantu oleh ahli keluarga. Saya juga mempunyai seorang anak kurang upaya,” katanya.

Warta pulau buatan sebagai kawasan larangan

Tidak mahu kejadian menimpa anaknya berulang, Sabariah meminta agar pulau buatan diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam.

Katanya, ramai orang luar yang berkunjung ke Tanjung Piai tertarik dengan pulau buatan yang terletak di tengah-tengah perairan Tanjung Piai dan dikelilingi dengan kapal-kapal dagang.

“Jadikan kejadian yang menimpa anak saya ini sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa depan.

“Pulau buatan bukan tempat makan angin. Ramai tidak tahu keadaan struktur pulau itu tidak kukuh,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros