
Ketika ini Sukan Asia ke-19 sedang berlangsung di China menyaksikan kontinjen Malaysia setakat ini berjaya mengutip 13 pingat dan berada di kedudukan ke-14 secara keseluruhan.
Terbaru, Muhammad Sharul Aimy telah membanggakan kontinjen negara apabila dia berjaya memperoleh pingat gangsa dalam sukan gimnastik artistik kategori melombol.
Kejayaannya ini sekaligus menamatkan kemarau pasukan gimnastik yang kali terakhir memperoleh pingat pada edisi Sukan Asia ke-15 tahun 2006 menerusi Ng Shu Wai yang ketika itu memenangi pingat perak dalam acara yang sama.
BACA JUGA: Pelajar Kolej Poly-Tech Bangi Harumkan Nama Negara. Tahniah!
Bertempat di Huanglong Sports Centre Gymnasium, Sharul Aimy yang bertarung dengan lapan lagi peserta lain melakukan lompatan baik di percubaan kedua sekaligus mengumpul 14.466 mata untuk berada di kedudukan ketiga.
Podium sah menjadi milik atlet berusia 22 tahun itu apabila atlet terakhir Ng Ka Ki dari Hong Kong gagal memintasnya. Wataru Tanigawa dari Jepun mengutip 15.016 mata keseluruhan selaku juara, manakala atlet Iran Mahdi Olfati meraih perak dengan catatan 14.783.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ng Eain Yow Muncul Juara Piala Skuasy Malaysia 2024

Jaguh skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menampilkan persembahan sensasi apabila mengungguli gelaran juara kategori lelaki Piala Skuasy Malaysia 2024 pada Ahad.
Aksi final berlangsung di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, pemain berusia 26 tahun yang berada di ranking ke-14 dunia itu hanya mengambil masa 50 minit untuk menewaskan pemain ranking ke-11 dunia dari Mesir Youssef Soliman 3-0 (11-7,11-7,11-7), sekaligus dinobatkan selaku juara.
“Sangat baik untuk memenangi pertandingan ini dan secara peribadi ini mungkin salah satu persembahan terbaik, lebih baik daripada perlawanan akhir Sukan Asia”
“Jika anda melihat saya bermain di gelanggang, saya hanya cuba untuk mengawal segala-galanya di dalam diri, saya tidak membiarkan apa-apa pun menjejaskan saya, jadi hanya fokus pada apa yang perlu saya lakukan,” katanya.
“Satu mata pada satu masa dan jika saya mahu menjadi pemain yang baik, saya tidak boleh memikirkan mengenai orang yang pernah menewaskan saya sebelum ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut gembira menambah koleksi kemenangan peribadi keduanya di laman sendiri selepas kali terakhir dilakukan pada Terbuka Malaysia 2019.
Sementara itu, pemain nombor 10 dunia dari Mesir, Amina Orfi muncul juara kategori wanita selepas menewaskan pemain negara S.Sivasangari dengan keputusan 3-2.
Amina memaksa Sivasangari yang menghuni ranking kesembilan dunia mengerah sepenuh tenaga dalam pertarungan lima set (8-11,11-9, 11-10, 8-11, 11-6) selama 88 minit.
“Saya telah memberitahu diri saya bahawa ini telah berlaku beberapa kali kepada saya. Saya telah bermain tahun lepas, jadi kurangkan tekanan pada tahun ini dengan bermain mata demi mata,” jelasnya.
“Ia sukar (cabaran dari Sivasangari). Beliau telah kalahkan pemain nombor satu dunia dalam acara emas tahun lepas, jadi saya tahu dia pemain yang berbahaya,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Eain Yow dan Amina masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah AS$9,025 (RM40,378).
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Penggunaan “Antara” Dan “Di Antara”, Anda Selalu Keliru? Ini Penjelasan Yang tepat

Penggunaan kata “antara” dan “di antara” sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Kelompok ini seakan-akan keliru untuk menggunakan kata sendi nama “antara” atau frasa sendi “di antara” dalam sesuatu konteks atau keadaan.
Bagi memudahkan fahaman pengguna bahasa, frasa sendi “di antara” merujuk kepada konsep ruang, misalnya dalam ayat di bawah ini.
- Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu.
- Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.
Kedua-dua ayat contoh di atas menunjukkan kata “di antara” digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat, yang terangkum dalam konsep ruang. Berbeza dengan kata “antara” yang berfungsi sebagai kata sendi nama yang tidak melibatkan konsep ruang (seperti ayat di bawah).
- Pertempuran terus berlaku antara warga Palestin dan askar rejim Israel di sempadan Gaza.
- Anisah antara pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Selain ayat contoh (3) dan (4), kata “antara” juga berfungsi sebagai kata sendi nama yang boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.
- Antara Iman dengan Ammar, banyak perbezaannya.
- Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi, ada persamaanya.
Sebilangan pengguna bahasa sering melakukan kesilapan penggunaan kata “antara” dan “di antara”.Berikut menunjukkan ayat contoh penggunaan kata-kata tersebut dalam kalangan pengguna umumnya:
- (a) Di antara nama-nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah,Tinesh, Chew Soong, dan Lukman.
(b) Antara nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah, Tinesh,
Chew Soong, dan Lukman.
8 (a) Antara filem-filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan
Anakku Sazali.
(b) Antara filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan
Anakku Sazali.
Adakah ayat 7(a), 7(b), 8(a), dan 8(b) tepat penggunaan kata “antara” dan “di antara”? Penggunaan “antara” kata dan “di antara” dalam ayat 7(a) dan 8(a) tidak tepat. Hal ini kerana kata sendi “antara” biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang seperti ayat 7(b) dan 8(b). Seperti yang tercatat dalam ayat contoh 7(b) dan 8(b), kata nama dan filem dalam ayat tersebut tidak perlu diberi pengulangan.
Walau bagaimanapun, kata sendi “antara” hanya dapat diikuti oleh kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang, seperti contoh di bawah.
9. Mereka berbincang antara adik-beradik.
10. Hubungan antara kedua-dua buah negara itu telah lama terjalin.
Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama “antara” dengan kata arah “di antara”, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaannya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnya kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Nor Fazilah binti Noor Din
Pelajar USIM Hasilkan Kapal Terbang Kawalan Jauh, Hasil Berkurung Ketika PKP

Ramai melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghadkan pergerakan dan daya kreativiti kerana perlu “berkurung” di dalam rumah ketika ia mula diperkenalkan Mac lalu oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.
Ramai memilih “berehat” hingga terbit rasa bosan, antara keluhan yang biasa didengar ketika PKP. Bagi Muhammad Haikal Moktar, 22 tahun, dia melihat perintah berkurung itu sebagai “masa terbaik” untuk mereka bentuk beberapa buah kapal terbang kawalan jauh dan minatnya itu membuahkan hasil apabila melihat kapal terbang mininya terbang tinggi di udara.
Berkongsi minatnya dalam reka bentuk dan kejuruteraan udara, pelajar tahun tiga dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Biloteknologi Makanan ini berkata, sejak di sekolah lagi dia banyak membuat rekaan reka bentuk bot dan kereta menggunakan Polypoam Board namun ketika itu dia hanya mampu mereka tanpa mampu menggerakkannya. Minat dan rekaan reka bentuk ini tumbuh seiring dengan minat abang sulungnya, Muhammad Aliff Asyraf.

“Bila banyak masa terluang ketika PKP itu, saya bersama Along mula mereka kapal terbang kawalan jauh ini. Along banyak gunakan bahan-bahan terbuang seperti botol dan plastik sementara saya lebih sukakan polyfoam board sebab lebih senang nak design dan potong ikut rekaan kita suka.
“Untuk enjinnya pula, bagaimana mahu menerbangannya, saya banyak membaca dan melihat cara rekaan enjin dihasilkan melalui Youtube dan Along juga banyak membantu sebab dia pandai dalam kejuruteraan.
“Apa yang diperlukan untuk buat kapal terbang kawalan jauh ini tak susah. Kosnya pun tak tinggi, cuma perlukan polyfoam, remote (transmitter) dan receiver yang kita boleh pasang sendiri. Cuma perlukan minat dan ketekunan untuk hasilkannya. Sebab kalau tak berminat kita akan cepat rasa bosan. Masa yang sama kita kena try and error untuk membolehkan kapal terbang ini terbang mengikut apa yang kita mahukan,” katanya yang banyak membuat tempahan melalui online selain mendapatkannya di kedai bagi mendapatkan barang-barang untuk rekaan kapal terbang dihasilkannya.
Jelas Haikal lagi, walau nampak mudah namun pengetahuan dalam sains dan kejuruteraan perlu ada bagi anak muda yang minat dalam bidang rekaan sebegini.
“Kita kena tahu semuanya. Kalau saiz kapal terbang ini, berapa Gigahertz (GHz) diperlukan. Biasanya bagi saiz kecil 45cm, transmitter dan receiver diperlukan hanya sekitar 2.4Ghz sahaja. Macam saya bina ini, ia boleh terbang dalam radius 500-600 meter sahaja. Kalau lagi besar, jaraknya lagi jauh, katanya memaklumkan berat kapal terbang juga memainkan peranan.
Tambahnya lagi, setakat ini dia sudah mereka enam kapal terbang yang dinamakannya “Piper Cherokee”, Thunderbolt, Interceptor, Skywalker, MS225 dan B-Box sama ada secara sendiri dan bergabung idea dengan Alongnya.
“Rasa puas bila tengok kapal terbang terbang tinggi di udara. Masa mula buat dulu memang banyak yang patah sebab tak pandai agak. Tapi lama kelamaan dah makin cekap,” katanya yang baru saja menghasilkan sebuah Piper Cherokee bersaiz besar iaitu 800 gram.
Dengan minat mendalam, jelas Haikal, kos pembuatan bagi kapal terbang kawalan jauh mini ini tidaklah tinggi mana dan saya bercadang untuk menjualnya kepada mana-mana orang yang berminat,” katanya yang bakal menyambung pengajian tidak lama lagi.
Malah kerana minat mendalam dalam reka bentuk kapal terbang juga, dia dan abangnya sudah menubuhkan team dinamakan Fly High dan baju juga sudah dihasilkan.
Walau mengikuti pengajian bidang berbeza di universiti, jelas Haiqal dia tiada masalah kerana reka bentuk kapal terbang ini adalah minatnya.
“Setiap orang ada hobi, dan inilah antara hobi saya dalam reka bentuk kapal terbang kawalan jauh,” katanya lagi.
Nak, korang layan tengok Thunderbolt Low Pass terbang jauh. Memang superb.