Kemarau pingat emas acara larian 400m bagi kategori wanita Sukan SEA akhirnya berakhir apabila pelari pecut Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Shereen Samson Vallabouy berjaya meraih pingat emas di Stadium Nasional Morodok Techo semalam.
Shereen ketika memenangi pingat emas di acara Mt. Sac Elite bulan lepas.
Beliau yang baru sahaja memecahkan rekod kebangsaan mendiang Rabia Abdul Salam 52.56s dengan mencatat 51.80s di Amerika Syarikat bulan lepas ternyata berjaya membuktikan sekali lagi kemampuannya sebagai seorang atlet di mata dunia dengan kemenangan ini.
Kemenangan tersebut semakin bermakna kerana kali terakhir pingat emas bagi kategori larian 400m itu diraih ialah pada tahun 1999 oleh N. Manimagalay.
Selaku anak perempuan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA Samson Vallabouy (800m) dan Josephine Mary (400m) semestinya meletakkan tekanan yang berat kepada beliau dalam mengikuti jejak langkah kedua-dua atlet cemerlang ini.
Shereen yang pertama kali mengambil bahagian dalam Sukan SEA pada 2015 pada usia 17 tahun, berjaya mencatat masa larian 52.53s, mendahului pesaing Vietnam Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang (53.84s).
Ads
Turut hadir menyokongnya di trek larian merupakan ayah, ibu dan adiknya, Jocelyn yang jelas kelihatan bangga dengan percapaian beliau.
Ibu bapa Shereen, Samson (tiga dari kanan) dan Josephine (kiri).
“Saya telah bekerja keras untuk menjadi pelari 400m terbaik di negara ini, memecahkan rekod mendiang Rabia dan ibu saya juga. Dia (Josephine) sangat gembira dan bangga dengan saya. Saya bersyukur kerana dapat meneruskan legasi keluarga saya,” jelas pemenang pingat emas itu.
Josephine Mary turut tumpang gembira melihat anak perempuannya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori larian tersebut.
Ads
“Kami sangat gembira melihat dia memenangi pingat emas. Pingat emas adalah apa yang negara mahukan dan saya percaya kemenangan ini akan membantunya untuk menjadi lebih baik,
“Suami saya telah memenangi tiga pingat emas Sukan SEA manakala saya telah memenangi empat pingat emas. Kini, keluarga kami mempunyai lapan pingat emas,” ujar beliau penuh bangga.
Klip video larian penuh aksi beliau semalam di Stadium Nasional Morodok Techo semalam.
Samson turut memuji pencapaian anak perempuannya itu tetapi dia juga mahu melihat rekod 800m Sukan SEAnya 1:48.29, yang dibuatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1989 berjaya dipecahkan oleh atlet lain.
“Saya sangat berbangga melihat Shereen memenangi emas Sukan SEA tetapi saya juga mempunyai misi lain ketika berada di sini. Rekod larian saya telah bertahan selama 24 tahun dan kini saya berharap untuk melihat seseorang memecahkannya,” ujar bekas atlet itu.
Ads
Cabaran Samson diharapkan dapat memberi inspirasi kepada dua anak muda Malaysia iaitu S. Maheswaran dan Wan Mohd Farzy Wan Zahari yang akan bertanding di saingan hari ini.
Akhir kata, Malaysia amat berbangga dengan percapaian ‘Super Shereen’ di acara Sukan SEA tersebut. Tahniah, Shereen! Malaysia Boleh!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: Kosmo, Berita Harian
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Umum mengetahui bahawa DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin memiliki dua cahaya mata sebelum melangsungkan perkahwinan dengan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Baru-baru ini pejabat Diraja Selangor menerusi Instagram telah berkongsi satu hantaran mengenai baginda berdua telah berangkat ke United Kingdom pada 11 November lalu bagi menghadiri majlis graduasi Cik Nur Amanda binti Mustapha Kamal yang merupakan anakanda sulung Tengku Permaisuri Norashikin.
Berusia 22 tahun, Nur Amanda telah menamatkan pengajian dari University of Bristol dalam jurusan Sarjana Kejuruteraaan dalam Kejuruteraan Mekanikal. Satu pencapaian yang membanggakan apabila dia berjaya memperoleh ijazah sarjana pada usia yang cukup muda.
Mengabadikan gambar bersama usai majlis konvokesyen. Dapat dilihat Nur Amanda diapit oleh bonda dan ayahanda tirinya. Semestinya baginda berdua bangga dengan pencapaian yang telah dicapainya.
Menerusi foto-foto yang dikongsikan, dapat dilihat Nur Amanda jelas mewarisi keanggunan yang dimiliki bondanya. Bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Membanggakan lagi, kedua-dua anak dan ibu ini cukup elegan menggayakan busana tradisi.
Tengku Permaisuri Norashikin dilihat cukup anggun mengenakan busana baju kurung dengan corak daun warna putih belatarkan warna biru pekat. Baginda melengkapkan penampilan dengan penggayaan rantai Mutiara dan tas tangan Chanel berona kelabu.
Dalam pada itu ramai rakyat jelata berasa kagum dengan keakraban baginda Sultan Selangor dengan anakanda tirinya itu. Ramai meninggalkan kata-kata yang cukup positif di ruangan komen.
Anataranya pemilik akaun @datohjsatar yang meninggalkan komen, “MashaAllah terharu melihat seorang SULTAN yg penyayang terhadap anakanda tiri baginda….Allah pelihara SULTAN SELANGOR”
Pemilik akaun @liza_arif82 pula menulis, “Baginda Tuanku ternyata kasih pada Permaisuri. Pergi kemana-mana sahaja, baginda berdua tetap bersama. Tidak dibiarkan Permaisuri sendirian menghadiri majlis konvo anak walaupum anak tiri baginda.. saya kagum sgt dgn Tuanku..”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mari kita berbincang tentang perkataan “mensabitkan” dan “menyabitkan” dalam perkongsian pada kali ini. Perkataan yang bermula dengan “s” apabila menerima imbuhan “meN-” akan menjadi “meny-!”.
“Sabit” ada beberapa makna. Yang pertama, sudah tentu “sabit” yang mendukung maksud pisau yang melengkung untuk memotong padi, rumput dan sebagainya. Selain itu, sesuatu yang melengkung seperti sabit juga berkaitan dengan makna “sabit” yang pertama ini. Oleh itu, sekiranya kita hendak menyabit sesuatu untuk seseorang, maka kita boleh menggunakan perkataan “menyabitkan”.
Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
Ketika adik sakit, datuk selalu “menyabitkan” adik dedaun herba untuk mengubatinya.
Yang menariknya, kita juga sering mendengar ayat seperti ini:
Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu telah “disabitkan” oleh polis setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Perkataan “disabitkan” dalam ayat 2 sudah semestinya berbeza dengan ayat 1 dan makna pertama “sabit”. Dalam ayat 2, kata dasar “sabit” ini asalnya kata adjektif dan bermaksud sudah nyata atau terbukti dan biasanya digunakan untuk sesuatu yang berkaitan kesalahan atau jenayah.
Jelaslah bahawa sabit ialah satu kata yang mempunyai banyak makna. Namun begitu, tahukah anda jika ayat 2 ditukarkan kepada ayat aktif, seperti dalam ayat 2a dan 2b yang berikut, ayat manakah yang betul?
2a. Polis telah menyabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
2b. Polis telah mensabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Ayat yang betul ialah 2b, iaitu perkataan yang tepat ialah “mensabitkan”. Makna “mensabitkan” ialah mengaitkan seseorang dengan sesuatu pertuduhan atau kesalahan. Pengecualian daripada pematuhan sistem pengimbuhan lazim ini dibuat untuk membezakan makna kedua-dua perkataan ini. Hal ini turut menggambarkan kebijaksanaan bahasa kita.
Oleh itu, marilah kita menguasai penggunaan “menyabitkan” dan “mensabitkan”. Jangan sekali-kali perkataan ini ditukar ganti penggunaannya sehingga menjadi bahan seloroh.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Khairul Aming bukanlah nama yang perlu diperkenalkan lagi kepada semua. Anak jati Kelantan ini merupakan seorang pempengaruh media sosial dalam bidang masakan yang kemudiannya melebarkan sayap menerusi perniagaan sambal.
Kini dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ini telah mengumumkan penjualan sambalnya selama setahun setengah operasi telah mencecah sejuta botol. Lebih mengujakan, dia kini dalam proses menyiapkan kilang kedua yang berkeluasan 22 ribu kaki persegi pula.
Ujarnya, “Selepas setahun setengah beroperasi, Alhamdulillah hari ini jualan sambal nyet berapi telah mencecah satu juta botol bersamaan dengan jualan sebanyak Rm14 juta. Kalau sebelum ini kita masak dan jual lebih kurang 200 botol sambal sehari sekarang kita dah boleh naik ke 5000 botol sehari.”
Ternyata perniagaan yang dibina berkembang pesat, ini dibuktikan dengan perkembangan jumlah pekerjanya. Dari hanya lapan orang sebelum ini, kini dia mampu menggaji 50 puluh orang pekerja.
Seterusnya jejaka berusia 30 tahun ini turut berkongsi mengenai kilang keduanya yang juga dibangunkan di Kota Bharu, Kelantan. “Kilang kedua ini akan digunakan untuk menaikkan lagi pengeluaran sambal nyet dan kita akan menjadikan ia sebagai persediaan untuk produk kedua nanti. Sedikit sebanyak diharapkan dapat menaikkan ekonomi tempatan.”
Produk Sambal Nyet Berapi memikat selera rakyat Malaysia.
Agak-agaknya apa produk kedua yang akan dikeluarkan ya? Sama-sama kita nantikan.
Popular di sosial media, kini dia memiliki lebih 1.9 juta pengikut di TikTok dan 3.4 juta pengikut di Instagram. Untuk pengetahun pembaca, Khairul Aming merupakan graduan lulusan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat.
Sangat menginspirasikan bukan? Semoga contoh baik yang ditunjukkan menjadi teladan kepada semua remaja di luar sana.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Khairul Aming
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Misompuru yang membawa maksud keramaian menjadi judul yang dipilih bagi album terbaru juara Anugerah Juara Lagu ke-39, Marsha Milan!Marsha ketika ditemui REMAJA baru-baru ini...