“Keputusan cemerlang ini saya hadiahkan untuk arwah abah. Walau dia tak dapat bersama meraikan pencapaian ini, saya tunaikan janji untuknya,” kongsi Aliah Irdiena Abdul Halim, 15 tahun.
Satu-satunya pelajar yang memperoleh 9A 1B di sekolahnya, SMK Bukit Mendi, Triang, Pahang untuk keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan sebentar tadi, kejayaannya itu sekaligus memecah rekod sekolah kerana pencapaian terbaik sebelum ini hanyalah 7A.
“Saya dah janji nak belajar sungguh-sungguh. Walau abah tiada depan mata dan mungkin tidak akan melihat kejayaan saya pada hari ini atau masa-masa akan datang ia bukan halangan untuk saya berjaya mencapai apa dihajatkan,” katanya yang mesra disapa Farah.
Bergelar anak yatim seawal usianya 4 tahun, Farah membesar dengan kasih sayang ibunya bersama seorang lagi adiknya, Amira Umaira, kini 11 tahun selain Alliff Usman bin Mokhtar, 2 tahun.
Berkongsi caranya belajar, kata Farah, semasa trial PT3, dia langsung tidak memperoleh A. Cuma dapat 5B dan 1C. Biar rasa cuak tetapi katanya, dia tetap tenang kerana yakin dengan usaha dilakukannya.
“Saya hanya study hard sebulan sebelum nak exam. Saya bangun seawal jam 3 pagi dan study sebelum ke sekolah.
“Saya buat ulang kaji sampai masuk waktu Subuh. Bersiap dan kemudian pergi ke sekolah. Dalam kelas pun saya beri tumpuan apa yang cikgu ajar. Mana tak faham saya tanya cikgu sampailah jadi faham. Lagi satu, saya dan kawan-kawan ada buat study group untuk kami lebih faham mata pelajaran yang cikgu ajar
“Masa yang sama, saya amalkan membaca satu helai al-Quran setiap pagi sebelum ke sekolah. Mohon pada Allah dan alhamdulillah, Allah mempermudahkan segala usaha saya ini,” katanya yang bercita-cita hendak menjadi doktor gigi.
Pernah mendapat tawaran ke sekolah berasarama penuh selepas UPSR dahulu tetapi Farah hanya pergi untuk tempoh singkat kerana tak mahu berjauhan dengan keluarga.
“Farah cakap pada ibu, walau di mana pun Farah belajar dan sekolah, Farah akan buktikan dengan keputusan exam yang baik,” katanya memaklumkan, ibunya, Sahada Roffii seorang guru tempatnya belajar.
Seorang yang sangat aktif dalam bidang sukan iaitu lompat tinggi, badminton dan bola jaring sebelum ini, akui Farah tidak wujud langsung halangan untuk berjaya dalam kedua bidang diminatinya ini.
“Sebelum ini saya wakil sekolah bagi sukan bola jaring,” katanya memaklumkan dirinya berpangkat Sfaff Sarjan dalam Kadet Remaja Sekolah malah pernah mewakili negeri Pahang ke Perlis bagi aktiviti tersebut.
Ditanya resipi kejayaannya, jelas Farah, dia memaklumkan, fokus di dalam kelas semasa guru mengajar adalah kejayaan utamanya.
“Saya hanya beri tumpuan ketika cikgu mengajar. Kita kena hormat guru selain hormatkan ibu bapa. masa yang sama mesti berbaik-baik dengan semua orang. Selain itu mohon dari Allah dalam setiap solat.
“Masa yang sama, hidup perlukan perancangan. Sebagai pelajar kita kena tahu dan boleh membezakan mana betul dan mana salah,’ katanya yang sudah memohon memasuki asrama penuh untuk tingkatan empat.