Perbuatan yang dianggap suka-suka. Konon mahu bergurau jika tak disenangi, anda boleh didakwa atas tuduhan mencabul.
Tak kisah dia rakan sekerja. Kawan satu sekolah. Kawan baru kenal atau berlaku di tempat awam. Asal ada aduan, polis terus bertindak selepas laporan dibuat.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, hukuman penjaranya 10 tahun, denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.
Awas ya, kalau orang yang anda sentuh itu di bawah usia 18 tahun, selepas pindaan Julai lalu di bawah Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kesalahan ini terletak di bawah Seksyen 14 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebat.
Baca perkongsian dari ASP Radhiah binti Mamat
, 36 tahun dari Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur (IPK Kuala Lumpur) mengenai isu ini.Tak kira, lelaki sama lelaki. Perempuan dengan perempuan atau berlainan jantina, asal aduan dibuat, anda boleh disiasat di bawah seksyen ini.
Menyedari ramai mangsa lebih suka mendiamkan diri, kata ASP Radhiah ia satu kerugian kerana suspek akan mencari mangsa lain seterusnya dan jenayah ini mungkin tidak terbendung.
Ditanya lokasi mana suspek selalunya aktif, katanya dalam pengangkutan awam seperti LRT, bas, komuter selain di pusat membeli-belah. Tak kurang juga kejadian kerap berlaku di sekolah, tempat kerja dan sebagainya.
“Kalau kejadian berlaku di tempat awam, jerit sekuat hati untuk menarik perhatian masyarakat yang boleh bersama-sama menangkap suspek. Kalau sempat ambil gambarnya dan datang terus ke balai polis.
“Jika berlaku di pejabat, datang ke balai dan kita akan memanggil suspek ke balai. Jika di sekolah atau asrama, adu kepada guru yang bertugas supaya hal ini dapat diselesaikan.
“Pihak polis tiada spesifik tentang masa laporan. Bila-bila pun boleh. Lagi cepat lagi bagus kerana cabul ini tiada kesan seperti air mani sebagaimana kes rogol. Asal ada laporan, pihak polis akan jalankan siasatan,” katanya memaklumi pihak polis menerima banyak aduan berkaitan kes-kes ganguan seksual dan berharap masyarakat menyedari hak mereka.
Sepanjang mengendalikan kes di Unit D11 ini, rakan sekerjanya, Inspektor Nurul Akma memaklumkan ramai beranggapan perbuatan menepuk bahu, menyentuh payudara, meramas punggung dan memeluk dari belakang itu gurauan semata yang mana mereka akan sama-sama mentertawakan mangsa.
“Semua dianggap gurauan. Tapi jika pengadu membuat laporan kerana berasa tidak selesa dengan perlakuan itu, kita akan jalankan siasatan,’ katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumi kebanyak suspek kes ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Ada dua kemungkinan. Sama ada mangsa malu dan kedua lebih senang diamkan diri dan kerana itulah tiada tangkapan dibuat terhadap suspek,”katanya memaklumi tiada justifikasi “muka ganas” atau “muka baik” pelakunya tetapi perbuatan ini adalah satu jenayah yang tidak wajar dipandang remeh.
Ditanya dalam konteks remaja bercinta di mana sering kali berlaku sentuhan satu sama lain, perbuatan ini boleh dijurus kepada cabul jika salah seorang pasangan tidak menyukainya dan ada membuat aduan kepada pihak polis.
“Tak kisah mereka pasangan kekasih, kalau memang pada masa kejadian seperti dilaporkan, kita tetap akan siasat. Kalau terbukti, kita akan bawa suspek ke muka pengadilan.
“Samalah kalau mereka tinggal di asrama. Mungkin sekadar gurau-gurau tetapi perbuatan menyentuh mana-mana anggota tanpa kerelaan adalah satu jenayah iaitu cabul,”katanya menasihati remaja untuk memahami hak.