Selama 10 edisi penganjuran Dewi Remaja bermula dari tahun 1985/1986 yang menyaksikan Tengku Anis Tengku Ismail sebagai pemenang pertamanya, ternyata implikasi kemenangan tahun ini mencetuskan sedikit kontroversi setelah tersebarnya sebuah video tular.
Gelaran yang dimenangi Haneesya Hanee, 19 terpaksa ditarik kembali setelah dia melanggar beberapa syarat penyertaan yang telah ditanda tangani kesemua finalis. Sekaligus, dia menjadi pemegang gelaran paling singkat dalam sejarah penganjuran.
Jika nak diikutkan beberapa penganjuran Dewi Remaja sebelum ini, edisi 2014/2015 menyaksikan peserta, Mawar Rashid mencipta kontroversi kerana gagal menjawab dengan tepat definisi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Edisi tahun 2018/2019 kali ini terpalit dengan pembongkaran video tular melibatkan beberapa finalis yakni Haneesya Hanee, Faizni Fazreen Fazeera Faizul dan Erni Nurshahira Khairul Nizam satu hari selepas malam finale melabuhkan tirai
Dalam pada itu, menurut pihak penganjur, dua orang finalis yang terlibat iaitu Fazreen dan Ernisha juga dilarang menggunakan gelaran ‘top 12 finalis Dewi Remaja’ selepas ini.
Dalam pada itu, Haneesya Hanee mengakui tindakannya sesuatu yang kurang bijak dan menurut naluri remaja yang ingin mencuba perkara baru.
“Apa yang Hanee dapat pelajari dari peristiwa ini, jangan percayakan kawan kerana bukan semuanya berniat baik. Perlu hati-hati dalam berkawan dan memilih kawan.
“Ia juga berikan Hanee satu pengalaman besar dan begitu bermakna di sebalik arus media sosial hari ini. Masa yang sama Hanee minta agar diberi peluang kedua kerana Hanee amat meminati dunia seni dan modeling yang Hanee mula masuki pada usia 15 tahun,” katanya yang berkali-kali meminta maaf.
Masa yang sama, Haneesya Hanee juga meminta netizen agar tidak menyalahkan emaknya berdasarkan kecaman yang dilalui selepas video tular.
“Emak sudah cukup tertekan dengan semua yang berlaku. Hanee mengambil semua tanggungjawab ini kerana ia perlakuan Hanee,” katanya yang menangis.Masa yang sama Haneesya Hanee berkata dia akan bangkit demi kecintaannya pada dunia seni.
“Ya, berilah Hanee masa dan peluang. Tiada manusia tidak melakukan kesilapan dan Hanee belajar semua ini. Buat masa ini Hanee ingin berehat untuk beberapa hari dan kemudian teruskan lagi bidang modeling kerana sudah dapat tawaran,” katanya memaklumkan tawaran berlakon belum laigi diterimanya buat masa ini.
Ternyata dengan kontroversi ini menyaksikan bekas pemenang Dewi Remaja 2018/2019 Haneesya Hanee merupakan pemenang tersingkat dalam sejarah penganjuran Dewi Remaja.
Apa pun sebagai manusia biasa, kita harus ada sikap meminta maaf dan memaafi di atas setiap perbuatan. Tidak hanya dirinya, kita juga adalah manusia yang tidak sempurna banyak melakukan kesilapan namun Allah masih menutupi aib kita.
Tidak semua orang berani meminta maaf di atas setiap kesilapan dilakukan secara berdepan dan sikap Haneesya Hanee ini wajar dipuji kerana dirinya berani. Ya, kita harus memberinya peluang kerana setiap manusia itu harus memiliki peluang kedua.