Watak Suami Dalam Sara Sajeeda, Alif Muhaimin Tak Kisah Jodoh Perempuan Berusia

Share

Baru saja drama lakonannya dalam Setelah Terlafaznya Akad selesai, kini Alip Muhaimin pemenang Hero Remaja 2017 sudah muncul dengan drama terbarunya, Sara Sajeeda yang bakal disiarkan malam ini.

Alhamdulillah sudah tertulis rezeki Alif nampaknya kerana dapat beraksi back to back di kaca TV. Berbeza dengan watak yang dilakonkan sebelum ini, dalam drama Sara Sajeeda Alif memegang watak sebagai Khalif, adik kepada Sara yang dilakonkan oleh Tiz Zaqyah.

“Jika sebelum ni Alif melakonkan watak anak muda yang sememangnya lebih kepada diri Alif sendiri, dalam drama ini pula Alif kena menjadi seorang yang jauh lebih matang,”

“Khalif merupakan seorang pelajar dan adik kepada Sara iaitu seorang pensyarah undang-undang. Khalif menaruh perasaan terhadap kawan baik kakaknya sendiri, Nelissa (Fouziah Gous) yang juga merupakan pensyarah di universitinya,” jelas Alif.

Berpeluang berlakon bersama pelakon-pelakon hebat tanah air, Alif berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana dapat menimba pengalaman berlakon dengan individu yang dia sanjungi.

“Dalam set penggambaran Sara Sajeeda, Fouziah Gous dan Tiz Zaqyah banyak membantu Alif untuk menjayakan watak Khalif. Bukan mudah juga nak bawa watak ni sebab semua orang tahu yang Alif ni seorang yang ‘gila-gila’. Bila dah jadi Khalif, Alif perlu lebih matang dan fokus kepada keluarga kerana dalam watak ini Alif akan bergelar seorang suami,” jelasnya lagi.

“Selain itu, dalam drama terbaru ini juga, Alif dapat merasa perbezaannya kerana berpeluang berlakon menggunakan bahasa Inggeris juga. Drama ini mengisahkan tentang dua dunia, Malaysia dan Pakistan. Jadi dari situ Alif kena berbahasa Inggeris untuk beraksi bersama pelakon dari Pakistan, Arslan Butt.

Suka pasangan lebih berusia

Berlakon menjadi seorang suami di dalam drama ini, sudah tentu ia merupakan pengalaman berbeza buat Alif. Ditanya apakah pendapatnya tentang bercinta dengan pasangan lebih berusia, Alif mengaku bahawa dia memang suka kepada wanita yang lebih berusia daripadanya.

“Alif memang suka berkawan dengan perempuan matang kerana bila bersama mereka kita pun jadi matang juga. Berbual dengan topik-topik yang lebih serius, contohnya tentang bisnes dan perancangan masa hadapan,”

“Wanita berusia juga seorang yang bertanggungjawab. Tak ada masa nak berfoya-foya dan kalau tanya Alif sama ada okay atau tidak untuk memilih pasangan yang lebih berusia, memang Alif taka da masalah jika sudah jodoh kerana Alif suka orang yang matang, memahami dan dapat menjaga kita dengan baik,” jawab Alif.

Kalau korang nak tengok macam mana agaknya Alif melakonkan watak seorang lelaki matang yang bergelar suami, jangan lupa saksikan drama Sara Sajeeda setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di TV3.

Published by
Noor Ain Norman