Berita

Peguam ‘Kotak Pensel’ Buka Semula Kes Amirul Nashriq, Orang Ramai Berharap Allahyarham Dapat Pembelaan Sewajarnya

Share

Selepas kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain, terdapat lagi satu kes melibatkan kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Nashriq Othman yang meninggal dunia setahun selepas pemergian Zulfarhan, iaitu pada tahun 2018 bakal dibuka semula.

Ia susulan Peguam Jenayah, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar difahamkan akan berkunjung ke kediaman Allahyarham Amirul dan bakal membuat persediaan untuk membuka semula kes berkenaan.

Sebelum ini, menurut laporan, hasil siasatan polis mendapati Amirul Nashriq yang berusia 19 tahun pada ketika itu meninggal dunia akibat lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di Air Terjun Chamang, Pahang pada 24 Mac 2018.

Namun, kematiannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, selain ada juga mendakwa bahawa kematian Amirul Nashriq bukanlah disebabkan lemas tetapi kerana didera.

Dalam pada itu, media juga pernah melaporkan bapa Allahyarham, Othman Yusoff ada membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya selepas melihat kecederaan dialami Amirul Nashriq termasuk kesan lebam yang terdapat pada badan mangsa dua (2) hari sebelum kejadian.

BACA: Bunuh Zulfarhan, Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati

“Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenaran saya sebagai waris, dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang”

“Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas, sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior”

Susulan kes Zulfarhan yang baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial selepas enam pelaku dijatuhkan hukuman gantung, warganet berharap agar kematian Amirul Nashriq turut mendapat pembelaan sewajarnya.

BACA: “Hampir 8 Tahun. Ini Pertama Kali Tengok Surat Ini Semula,” Usaha Pengirim Surat Layang Kes Zulfarhan Dipuji Warganet

Dalam perkembangan terbaharu, difahamkan seorang peguam jenayah iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dilaporkan akan membawa kes Amirul Nashriq ke pihak pengadilan.

Sekadar info, Datuk Ahmad Zaharil sebelum ini pernah mengendalikan pelbagai kes termasuk membantu menyelamatkan seorang wanita yang ditahan atas kesalahan mencuri bekas kotak pensel untuk dihadiahkan kepada anak lelaki berusia 10 tahun, daripada menerima hukuman yang berat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE