Screenshot
Peguam Mahmud Jumaat menggesa tiga penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin, agar tidak terus memohon maaf berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Mahmud menjelaskan bahawa insiden tersebut berkemungkinan merupakan satu salah faham yang diperbesarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Beliau berkata, setelah melakukan kajian mendalam, beliau yakin tuduhan tersebut tidak berasas.
BACA: Isu Video Cuit Sensitiviti Kaum: MCMC Serah Notis Niat Penggantungan Lesen Pengendali Radio ERA
Selain itu, Mahmud juga menambah bahawa beberapa elemen dalam tarian tersebut menunjukkan ia ditujukan kepada Miki Ghazali, bukan berkaitan dengan perayaan agama tertentu.
Antara sebabnya adalah gaya gerakan seperti gelek punggung dan geleng kepala yang menyerupai gerak tari Miki.
Selain itu, lagu latar dalam video itu juga merupakan lagu yang digunakan oleh Miki dalam pembukaan perlawanan.
BACA: Terpalit Isu Klip Menyinggung Kaum India, 3 Penyampai Radio ERA Mohon Maaf Secara Terbuka – Remaja
Mengenai tarian Kavadi, Mahmud bertanya sama ada tarian tersebut benar-benar mempunyai ciri-ciri seperti yang ditunjukkan dalam video tersebut, sambil menyebut bahawa Miki Ghazali turut memberi komen dalam posting video itu.
Beliau juga mengakui bahawa Nabil tidak berniat untuk mempersenda apabila menyebut “Vel Vel” di akhir tarian tersebut, yang mungkin hanya kerana mereka terhibur dengan tarian Miki.
“Kalau saya ada kat situ pun saya tak tahan tengok muka Pak Azad dengan tarian entrance Miki Ghazali itu,” tambah Mahmud.
Dalam kes-kes sebegini, Mahmud turut memaklumkan, adalah lebih baik untuk memberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar tanpa terburu-buru mengaku salah.
“Kalau dalam mahkamah, kami biasanya menasihatkan anak guam untuk tidak terus memohon maaf tanpa memberikan penjelasan yang jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Mahmud juga meluahkan rasa kecewa kerana insiden tersebut telah menyebabkan penghinaan terhadap agama Islam, dengan ada pihak yang menghina umat Islam dan kitab suci Al-Quran secara terbuka.
Sebelum ini, tiga penyampai radio Era FM tersebut telah memohon maaf selepas video yang didakwa mempersenda tarian Kavadi tular.
Tarian tersebut yang biasa dikaitkan dengan upacara Thaipusam, dilakukan oleh Azad sambil menyebut “Vel Vel” diikuti dengan gelak tawa.
Insiden ini telah mencetuskan kemarahan daripada Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, yang meminta permohonan maaf terbuka dan tindakan terhadap stesen radio Era FM. Ketiga-tiga penyampai tersebut digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB MAHMUD JUMAAT