
Kedai serbaneka kegemaran ramai, FamilyMart telah pun memaklumkan di laman Facebook rasmi mereka bahawa salah satu pembekal utama kedai tersebut telah disahkan positif COVID-19. Oleh yang demikian, bekalan makanan siap dimakan (ready-to-eat) tidak dapat dijual selama tujuh hari. Ia melibatkan makanan seperti bento, onigiri, sandwic dan produk bakeri.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pembekal juga dengan serta merta telah melakukan proses sanitasi dan secara sukarela menguarantinkan semua kakitangan mereka.
Walau bagaimanapun, kedai FamilyMart dijelaskan masih lagi beroperasi sepanjang tempoh PKP ini. Demi keselamatan bersama, pihak mereka berharap agar pelanggan dapat memahami situasi dan bersabar dengan kekosongan rak bekalan makanan ready-to-eat yang tidak akan dijual selama seminggu.

So, lepas ni kalau korang ke FamilyMart jangan pula tertanya-tanya kenapa rak kosong dan makanan ready-to-eat tidak dijual seperti biasa.
Sama-sama kita doakan agar kakitangan mereka cepat sembuh dan tiada penularan wabak yang berlaku.
Sumber: Facebook FamilyMart Malaysia
DS Najib Ada Harapan ‘Terlepas’ Daripada Hukuman? Lihat Penjelasan Pakar Ini

Yes guys, Datuk Seri Najib Tun Razak DISAHKAN bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri keenam negara itu didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila pihak pembelaan tidak mampu untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan pihak pendakwaan atas kesalahan salah guna kuasa.
Lalu setelah keputusan diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, masyarakat terus tertanya-tanya what is next? Apakah proses seterusnya yang akan berlangsung selepas ini dan apakah bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada Najib?
Menurut siaran langsung di saluran Astro AWANI pada tengah hari ini, seorang hakim jemputan sedikit sebanyak menerangkan mengenai proses perundangan kepada penonton untuk lebih memahami situasi ini.
“Saya berpendapat 2 jenis hukuman yang akan dikenakan adalah hukuman penjara dan denda sahaja.
“Berkenaan proses perundangan yang akan dilakukan selepas ini, pihak pembelaan yang diketuai oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah terlebih dahulu akan memberikan hujah dengan sebab munasabah mengapa hukuman yang dikenakan harus dikurangkan kepada kadar minima dari segi jumlah denda dan tempoh penjara. Perlu diingat, ini adalah atas budi bicara hakim.
“Saya juga merasakan pihak pembelaan akan cuba mengemukakan justifikasi sekiranya hukuman ke atas ketujuh-tujuh pertuduhan boleh dijalankan serentak. Dengan cara ini, hukuman boleh dikurangkan.
“Selesai saja hujah dari pihak pembelaan, tiba giliran pihak pendakwaan pula untuk mengemukakan hujah mereka terhadap rayuan pihak pembelaan. Sudah tentu, mereka akan menangkis rayuan yang dikemukakan. Mengapa seorang penjenayah yang telah disahkan bersalah perlu mendapatkan simpati daripada pihak hakim – itu adalah antara perkara yang akan mereka perkatakan.
“Sebelum ini, kes yang pernah saya kendalikan hanyalah melibatkan orang kebanyakan, ini pula adalah kes yang melibatkan seorang bekas Perdana Menteri. Rayuan pihak pembelaan saya kira akan disertakan dengan status Datuk Seri Najib sebagai bekas Perdana Menteri yang pernah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang membawa kebaikan kepada rakyat,” terang beliau lagi.
‘Bossku’ Sah Bersalah Atas 7 Tuduhan, Lihat 14 Pemimpin Yang Pernah Didakwa Corrupt
“Jangan Potong Kaki Saya”, Remaja Mangsa Kemalangan Diseret Pemandu Terlelap Tak Rela Kudung

Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehidupan diuji akibat kecuaian orang lain. Sejauh mana pun hati memberontak namun masa tak akan terundur.
Hakikat pahit namun perlu ditelan seorang remaja, Nur Atira Danilla binti Saiful Azhari, 19 tahun apabila dia kini terlantar sepenuh masa sejak lima bulan lalu dengan sebelah kakinya berisiko dipotong sehingga ke paras peha selepas motosikal ditunggangnya dilanggar seorang lelaki dewasa yang mengaku terlelap ketika memandu kereta.
“Saya tak nak potong kaki. Saya mahukan kaki ini kembali sembuh seperti sebelum ini. Mama, saya tak nak potong kaki,” katanya berulang kali di hadapan wartawan REMAJA sambil memandang wajah ibunya, seolah mahukan sebuah harapan.

Jika dilihat pada besi-besi yang berceracak di kaki kanannya itu, kecederaan dialami Nur Atira sebenarnya amat parah. Tulang ketingnya hancur selepas diserat sejauh 100 meter. Malah tulang hancur itu telah dibuang melalui satu pembedahan sebesar 5.5 cm di mana dapat dilihat satu lubang besar terbentuk, seolah-olah satu kawah di bahagian keting kanannya.
Tidak setakat keting, tulang punggungnya turut dibuang sebanyak 5 cm sebelum dipasangkan satu batang besi panjang di kaki kanannya itu. Lebih menyakitkan di bahagian punggungnya ada jangkitan kuman dan sudah bernanah memaksa satu lagi pembedahan dilakukan. Kakinya juga semakin mengecil seolah-olah memberi petanda, ia sukar diselamatkan lagi.


Tidak hanya parah di kaki, tapi pergelangan tangan kanannya turut terkulai-kulai (hampir putus sebenarnya) sebelum dipasang dawai besi. Malah tangan itu juga sudah tidak kuat untuk menggenggam. Tidak hanya lengan tapi lengan remaja ini turut patah tebu selepas diseret sejauh 100 meter.


Kunjungan REMAJA di hospital menyingkap kisah duka remaja yang mencari rezeki untuk kehidupannya dan juga kehidupan keluarga selepas habis SPM. Pada hari kejadian, dia mahu ke sekolah memandu untuk belajar kereta.
Malangnya kecuaian orang lain menjadi igauan ngeri buat remaja ini. Kemalangan itu hanya disedari ahli keluarganya kerana ketika itu masing-masing keluar bekerja apabila pihak sekolah memandu menelefon ibunya bertanya kenapa anaknya tidak hadir ke sekolah memandu sedangkan ketika itu dia nyawa-nyawa ikan.
Redup anak matanya di sebalik wajahnya yang cantik. Namun hakikat pahitnya, kaki remaja ini sudah disyorkan dipotong sehingga paras peha oleh Hospital Melaka selepas kemalangan berlaku 22 Mei lalu.
Namun mahukan sebuah keputusan lain, ibunya, Rahasuhailawati Abdollah, 42 nekad membawa anak sulungnya ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pilihan kedua.
Di HKL dan Hospital Melaka, demi memastikan survival dan kaki kanannya pulih seperti sedia kala, remaja cantik ini sudah menjalani pembedahan lebih 10 kali. Ini termasuklah kulitnya dipotong dan ditampal.
Pembedahan terakhir yang lakukan ialah salur darah tiruan dan andai berjaya ia adalah satu harapan baru untuknya. Namun selepas beberapa bulan, hanya isi daging mulai tumbuh dengan lekuk kawah itu masih seperti dahulu juga, tidak berubah sebaliknya semakin mengecil.

Menurut ibu yang setia menjaganya di hospital sejak kemalangan terjadi dengan ibunya sendiri berisiko dibuang kerja kerana kilang tempatnya bekerja hanya memberikan masa tiga bulan sahaja cuti tanpa gaji.
“Kehidupan kami memang susah ketika ini. Sebelum ini ayahnya (suami) turut dilanggar lari dan ditemui pengsan dalam perjalanan ke tempat kerja. Tulang rusuknya patah dan tak bekerja lebih 4 bulan bulan November tahun lalu. Cuti saya pun sudah habis menjaganya. Sekarang ini suami tak boleh bekerja kuat kerana tulang rusuknya tak pulih sepenuhnya lagi dan perlu pakai pendokong.
“Bila saya sendiri tak bekerja dan menjaga Atira di hospital, susah itu berganda-ganda. Saya memang risaukan keadaannya kerana Atira memang tak mahu kakinya dipotong sedangkan sudah berbulan-bulan begini dengan kakinya semakin mengecil tapi belum ada sebarang perubahan besar dapat dilihat.
“Buat masa ini ketika mendapat rawatan di hospital, ada peguam datang dan mahu membantu untuk menyaman pemandu ini tapi saya difahamkan kesnya akan makan masa panjang dan bertahun-tahun tetapi saya lebih risaukan emosinya yang akan menangis kesedihan,”katanya yang mengusap wajah anak sulungnya itu.
Setiap hari Atira perlu melakukan senaman ringan agar saraf kakinya berfungsi (ini demi mengelak kakinya dipotong). Di kaki kanannya itu kelihatan jelas besi-besi dicucuk bagi membantu tulangnya yang hancur bertaut kembali.

Kata emaknya, agak susah juga sebenarnya untuk menyakinkan Atira tentang hakikat ada kemungkinan kakinya perlu dipotong kerana berdasarkan situasi semasa tiada perubahan ketara terjadi.
“Di HKl ini, ada ketika pembedahan memerlukan banyak wang termasuk doktor ada meminta disediakan RM5000 sedangkan kami sudah tiada sumber pendapatan lain kecuali suami dengan gaji RM1400 sebulan. Risau dengan keadaan Atira kerana dia sendiri begitu mengharap kakinya kembali sembuh. Hanya doa yang saya mampu lakukan,”kata Rahasuhailawati yang mengakui risaukan keadaan sulungnya itu.
“Saya merayu kepada mana-mana individu yang bermurah hati untuk menderma demi meringankan bebanan kewangan kami kerana pembedahan demi pembedahan ini memerlukan sejumlah wang yang banyak. Saya akui buntu mencari sumber kewangan,” katanya lagi.
Bagi anda yang ingin membantu, salurkan bantuan ke Hong Leong Bank di akaun 026-51-05348-0 atas nama Rahasuhailawati binti Abdollah. Semoga Allah membalas jasa kalian.
[VIDEO]: Pemandu Van Jenazah COVID-19 Menangis Lihat Sikap Tidak Peduli Masyarakat Di Indonesia

Dalam pada kita bimbang terhadap situasi yang melanda negara sekarang, hati ini juga terusik bila mana melihat kejadian yang sama, malah lebih teruk berlaku di negara-negara jiran.
Semalam, Singapura mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 427 kes yang menjadikan kes keseluruhan sebanyak 3,699 di republik itu. Ia adalah jumlah peningkatan yang tinggi dan sangat membimbangkan kerana jika sebelum ini kita mengetahui negara tersebut mempunyai jumlah kes yang sedikit berbanding Malaysia, tetapi semalam mereka merekodkan penambahan yang ketara.
Begitu juga di Indonesia, situasi masyarakat disana menjadi lebih rumit kerana dengan populasi rakyat 269.6 juta penduduk membuatkan kerajaan mereka sukar untuk mengawal pandemik COVID-19 yang semakin menular di negara itu.
Pengacara selebriti popular di Indonesia, Najwa Shihab telah mengupas kisah seorang pemandu jenazah menceritakan situasi masyarakat yang masih berdegil tidak mahu duduk rumah dalam waktu getir seperti ini.
Video yang dimuatnaik dalam IGTV berdurasi 4:05 minit ini telah mendapat tontonan lebih daripada 4 juta penonton dan kami yakin kalau korang menontonnya juga, pasti rasa sebak mengenangkan nasib masyarakat di sana.
View this post on InstagramA post shared by Najwa Shihab (@najwashihab) on
Muhammad Nursyamsurya berkongsi cerita setiap hari dia perlu menghantar puluhan jenazah positif COVID-19 dan ketika menjalani tugasnya itu, lelaki ini menjelaskan sebahagian besar masyarakat di Indonesia masih tidak menghiraukan dan mematuhi arahan ‘lockdown’ yang diperintahkan.
“Jalan di Jakarta masih sesak. Saya seperti ingin menaiki trak dan menjerit kepada masyarakat, ‘tolong kalian duduk di rumah! Ikuti perintah yang ditetapkan. Kalau kalian tahu berapa banyak jenazah yang kami makamkan setiap hari, pasti kalian akan sedih’, tambahan lagi kita sudah hampir ke bulan Ramadan dan kami juga ingin menunaikan solat tarawih dan menyambut Aidilfitri,” jelas Pak Syam.
Video tersebut menyaksikan air mata pemandu van jenazah itu mengalir kerana begitu sedih melihat sikap tidak peduli yang ada dalam masyarakat Indonesia. Ia juga turut mengundang sebak kepada pengacara Najwa Shihab yang kelihatannya seperti menahan tangisan air mata.
So guys, jadikan kisah yang berlaku di negara jiran kita sebagai pengajaran buat seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak mahu situasi ini berlanjutan, jadi tolonglah duduk diam-diam di rumah. Tidak perlu sesakkan jalan raya kerana ia mungkin mengganggu kelancaran petugas kesihatan yang ingin pergi bertugas.
Jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan tentang keselamatan individu lain.
Sama-samalah kita berdoa agar Malaysia dan jiran-jiran di negara kita, malah seluruh dunia berjaya menentang dan mengekang wabak ini daripada terus menular.