Pelajar Asasi Sains Panjat & Tidur Atas Pokok Demi Jawab Exam Online

Share

Kesan pandemic COVID-19 tidak hanya menjejaskan mereka di alam pekerjaan tetapi juga kalangan pelajar universiti apabila kelas diadakan secara online.

Jika tinggal di kawasan bandar, liputan pasti tiada masalah tetapi cabaran mendapatkan capaian internet ini pasti susah buat mereka yang tinggal jauh dan susah mendapat liputan.

Namun tiada yang mustahil asal ingin berusaha seperti dibuktikan oleh seorang pelajar asasi sains Vebeonah Mosibin, 18 yang perlu memanjat dan tidur di atas pokok semata-mata untuk mendapat liputan internet untuk menjawap exam onlinenya.

Laporan Sinar Harian, masalah liputan jalur lebar yang terhad tidak mematahkan semangat seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian.

Veveonah Mosibin, 18, pelajar jurusan Asasi Sains memuat naik video pengalaman dilaluinya menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree | Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok).

Video berdurasi 11 minit 21 saat itu memaparkan Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang 'kuat' sepanjang peperiksaan (dalam talian) berlangsung pada 9 Jun lalu.



Dalam video tersebut, pelajar itu mendedahkan, dia terfikir untuk melakukan cabaran itu setelah sebuah pondok yang dibina di atas bukit bagi tujuan persediaan menghadapi peperiksaan rosak dipercayai akibat cuaca buruk.

"Sebelum ini saya telah bina pondok sebagai seperti video yang saya muat naik sebelum ini namun pagi ini (9 Jun), saya lihat ia telah rosak kerana saya sudah lama tidak datang, sudah berminggu-minggu kerana banyak kerja. Kerja di ladang, menoreh getah dan tolong ibu bapa.

Pondok yang dibina atas bukit oleh Veveonah sebagai persediaan menjawab peperiksaan rosak akibat ribut menyebabkan pelajar itu terpaksa memanjat pokok.

"Jadi saya tidak tahu keadaan pondok itu. Bila saya datang rupanya sudah rosak," katanya dalam video tersebut.

Berbekalkan kelambu, telefon bimbit, pengecas mudah alih (power bank), sebotol air dan beberapa bungkus nasi serta peralatan untuk menjawab peperiksaan, Veveonah berada di atas pokok tersebut dalam tempoh 24 jam dari jam 7.30 pagi.

Pelajar itu mengambil peperiksaan bagi subjek Kimia sebelah pagi dan subjek Pengajian Malaysia pada sebelah petang.

Ketika berada di atas pokok itu, Veveonah juga terpaksa berdepan detik cemas apabila seekor tebuan tanah bersaiz besar tersesat masuk ke dalam kelambunya.

Veveonah berada dalam kelambu atas pokok pada waktu malam dengan berbekalkan lampu telefon bimbit.

"Agaknya tebuan ini tersesat. Ni kalau menggigit ni, memang sakit," kata Veveonah yang membuka kelambu bagi menghalau serangga itu keluar.

Selesai menduduki peperiksaan pada sebelah petang, Veveonah tidak pulang sebaliknya kekal berada di atas pokok untuk tidur dan pulang keesokan paginya.

Pelajar ini mula aktif sebagai 'YouTuber' sejak April lalu dan terdapat empat lagi video lain yang dimuat naik sejak sebulan lalu yang memaparkan perkongsian teknik cara hidup tradisional.

Published by
Almaswa Haji Che Ros