Iman Aisyah, 16 ketika ditemui REMAJA baru-baru ini kelihatan seperti mana-mana remaja lain; kelihatan seperti seorang yang introvert pada detik pengenalan awal tetapi mula mesra setelah diajak berborak.
Dalam diam, pelajar yang mesra dengan panggilan Aisyah ini rupa-rupanya merupakan salah seorang penerima alat bantuan Cochlear di Malaysia.
Haa, korang pernah dengar tak mengenai penerima Cochlear ini? Tahu tak serba sedikit mengenainya?
Menurut Aisyah, ia merupakan sejenis implan yang membolehkannya memperolehi semula deria pendengarannya setelah dilahirkan dengan komplikasi yang menyebabkan dia tidak dapat mendengar ketika bayi.
Dia telahpun bergantung harap kepada teknologi ini bagi memperbaiki pendengarannya dengan menjalani pembedahan memasukkan implan tersebut seawal usia 3 tahun setengah lagi.
“Ketika saya masih kecil, saya menjalani pembedahan di mana implan Cochlear diletakkan di bawah permukaan kulit di dalam kepala.
“Di bahagian atas implan nipis ini mempunyai magnet yang boleh dilekatkan kepada satu cip mikrofon di luar kulit kepala. Jadi apabila saya lekatkan kedua-dua bahagian magnet itu, maka saya boleh mendengar dengan jelas,” ujar Aisyah.
Difahamkan, cip mikrofon yang dilekatkan itu ‘menangkap’ bunyi (atau dalam terma saintifik, informasi) lalu disalirkan menerusi wayar receptor yang dihubungkan ke gegendang telinga Aisyah.
Kongsi Aisyah, implan Cochlear ini turut dilengkapi teknologi bluetooth yang boleh dihubungkan dengan mana-mana gajet eletronik.
Sebagai contoh, sekiranya Aisyah sedang ‘bertarung’ dalam perlawanan PUBG tetapi tidak melekatkan cip mikrofon di luar kepalanya, bunyi yang dihasilkan daripada permainan itu masih boleh ditangkap oleh implan Cochlear yang berada di dalam kepala lalu ia dihantar ke gegendang telinga.
Begitu juga apabila Aisyah menstrim platform Netflix, bunyi terus masuk dalam telinga. Dalam bahasa mudahnya, Iman Aisyah boleh dianggap mempunyai telinga bionik!
“Masa kecil-kecil dulu bila tidak bertudung, alat bantuan Cochlear pada telinga saya sering menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pelajar di sekolah. Mereka terkejut bila mendapat tahu ia adalah alat bantuan elektronik dan berhubung dengan cip.
“Tapi lama-kelamaan, rakan-rakan dan guru di sekolah sudah terbiasa dengannya. Guru-guru terutamanya akan meninggikan suara sedikit jika perlu memanggil saya dari hadapan kelas.
“Seperkara lagi, hendak pakai ini bukan terus boleh dengar. Pada peringkat awal dulu, saya perlu belajar bunyi dan juga bahasa isyarat. Perlahan-lahan saya mula membiasakan diri dengan bunyi di sekeliling,” tambahnya.
Menarik bukan, dengan adanya kelebihan teknologi pada zaman ini segalanya tidak lagi mustahil.
TONTON video penuh temubual kami bersama Iman Aisyah berserta penjelasan mengenai penerima Cochlear oleh Pakar ENT (Ear, Nose, Throat) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Goh Bee See di bawah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.