Pelajar Buta, Cacat Tangan & Suka Tonton Drama Korea Cemerlang SPM 2018

Share

Kekurangan bukan halangan untuk berjaya. Inilah dibuktikan oleh seorang pelajar yang mengalami masalah penglihatan dan buta mata kanan akibat penyakit glaukoma antara yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan, hari ini.

SINAR HARIAN  negeri Terengganu melaporkan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang, Dungun, Ahmad Shahir Safwan Ahmaf Sabri, 18, mendapat 5A termasuk satu A+ bagi subjek Pendidikan Syariah Islamiah.

Keputusan cemerlang yang dicapai itu membolehkan dia tersenarai sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) terbaik Terengganu.

Ahmad Shahir Safwan hadapi masalah glaukoma hingga menjejaskan penglihatannya sehingga mata kanannya menjadi buta
Ahmad Shahir Safwan (tengah) bersama ibu dan bapanya, Salwanu Ambak dan Ahmad Sabri Omar melihat keputusan SPM yang diperoleh hari ini

Anak kepada pasangan pengawal keselamatan dan guru itu berkata, dia mengalami kerosakan saraf optik pada mata sebelah kanan manakala mata sebelah kiri cuma boleh berfungsi 20 peratus.

“Saya disahkan menghidapi glaukoma sejak dua tahun lalu ketika di tingkatan tiga. Pada mulanya, saya banyak rahsiakan keadaan diri daripada pengetahuan ibu bapa saya sebab tak nak mereka susah hati.

“Sehinggalah satu ketika memang saya dah tak boleh melihat langsung. Ibu bapa saya bawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman SPM 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini.

Pelajar kudung tangan sebak dinobat pelajar terbaik   

Seorang lagi calon berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu tidak dapat menahan sebak apabila diumumkan pelajar terbaik SPM sekolah.

Muhammad Rizdwan Roslan, 18, yang kudung tangan kiri berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan 9A dan 1B dalam SPM memandangkan dia hanya mendapat 6A ketika peperiksaan percubaan lalu.

Muhammad Rizdwan menggunakan tangan kirinya menjawap semua soalan dalam SPM dan dianugerahkan pelajar cemerlang adalah sesuatu di luar jangkaannya
Barisan pelajar cemerlang dari SMK Pengkalan Chepa 2 yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2018.

Menurutnya, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan.

“Walaupun tangan saya kudung sejak lahir, saya tidak mahu meletakkannya sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita sebagai seorang jurutera.

“Saya mahu cipta pelbagai mesin yang boleh memudahkan tugas harian kita dan mencipta sejarah calon OKU juga mampu berjaya seperti pelajar normal lain,” katanya.

Anak sulung dari empat beradik ini berkata, dia mahu menjadi contoh kepada adik-beradiknya dan kebanggaan kepada ibu bapanya yang bekerja di Jabatan Meteorologi Malaysia Kelantan.

Drama Korea jadi pembakar semangat untuk berjaya    

Teruja melihat kehebatan doktor dalam drama Korea Selatan memberi ilham dan semangat kepada pelajar cemerlang SPM 9A SMK Puncak Alam, untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.

Muhammad Afwan Syahmi Md Adnan, 18 yang juga anak ketiga dari empat beradik itu yang cukup meminati drama Korea dan rancangan masakan itu berkata, dia mempunyai kaedah menelaah pelajaran sendiri apabila membuat latihan di depan televisyen.

“Saya memang ‘study’ sambil tengok TV sebab itu saja cara untuk saya fokus tak suka suasana senyap-senyap ni. Kena ada suara atau bunyi-bunyi dari TV barulah boleh buat latihan.

“Saya juga memang minat subjek Sains dan suka tengok drama doktor hebat buat rawatan dan tolong selamatkan orang. Jadi dari situ saya mahu jadi seorang doktor yang berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Negeri Selangor.

Muhammad Afwan Syahmi bersama ibunya, Zainab Omar, 55, gembira dengan keputusan cemerlang 9A yang diperoleh sekali gus menjadi pelajar terbaik SMK Puncak Alam.
Barisan pelajar cemerlang SMK Puncak Alam yang mendapat keputusan membanggakan hari dalam SPM 2018

Muhammad Afwan Syahmi turut menjadikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha sebagai role model untuk berjaya.

“Saya mahu jadi sepertinya dan mahu jadi yang lebih baik dari abang dan kakak saya yang juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang masing-masing.

“Nak berjaya satu saja rahsianya, niat kita nak belajar hanya kerana ALLAH. Kena juga hormat cikgu dan rajin buat latihan selain tuisyen sebab saya ni jenis suka belajar,” katanya.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros