Kecil-kecil cili padi, jangan disangka tidak pedas pula ya! Mungkin itulah yang boleh kita simpulkan dengan apa yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Selatan Thailand.
Sepanduk-sepanduk kecil yang dibawa oleh insan-insan kecil tetapi berjiwa besar ini membawa mesej yang cukup terang; mereka tidak mahu belajar dengan seorang guru yang sentiasa berkasar dengan mereka dan juga malas.
Sekumpulan pelajar sekolah rendah di Satun, Thailand mengadakan protes ini untuk menuntut seorang guru segera disingkirkan kerana sentiasa berkasar dengan pelajar dan juga membawa sikap pemalas serta tidak ambil peduli dengan pendidikan mereka.
Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu ini menyaksikan puluhan orang pelajar bersama-sama ibu bapa mereka membawa sepanduk kertas yang mahu Chantana Sutaphanit disingkirkan daripada sekolah tersebut. Mereka dilihat mengerumuni kereta guru terbabit apabila dia tiba di pintu pagar sekolah terletak di daerah Anuban Lan-gu.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 19 Tahun Dipenjara Kerana Tumbuk & Tendang Ibu Sendiri
Menurut laporan daripada Khaosod English, pihak ibu bapa mendakwa guru tersebut, Chantana menggunakan bahasa kesat di hadapan pelajar, memaki hamun, menyucuk dengan pensel tajam dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai guru dengan bergayut telefon di dalam kelas sepanjang hari. Sesetengah guru lain turut mendakwa Chantana juga sukar untuk bekerjasama dengan mereka.
Para pelajar membawa speanduk berbunyi ‘Kru Chantana sila keluar’, ‘saya tidak mahu belajar dengan Kru Chantana’, ‘saya bukan pelajar nakal’, dan ‘kenapa anak saya perlu mengurut anda ketika waktu kelas?’.
Protes tersebut berlaku sehingga jam 9 pagi waktu tempatan dan ia disuraikan dengan aman oleh pihak polis dari daerah Lan-ngu selepas mendapat panggilan daripada Chantana.
Pihak pegawai pendidikan daerah, Sa-ard Utsama juga telah mengunjungi sekolah tersebut dan berjanji untuk menyiasat dakwaan mereka. Jelasnya, Chantana juga akan digantung daripada bertugas serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.
Hebat betul adik-adik ini semua. Ternnyata mereka sangat sayangkan pendidikan sehingga sanggup berganding bahu bersama-sama menuntut hak mereka sebagai seorang pelajar.
REMAJA tabik korang satu kali!
Sumber & foto: Khaosod English