Tatkala negara masih lagi berada dalam fasa lockdown yang kebanyakannya tidak dibenarkan untuk keluar bekerja, kempen bendera putih telah pun dilancarkan oleh rakyat untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Tempoh PKP kali ini menyebabkan lebih ramai yang terkesan kerana sudah berbulan lamanya kita hanya terkurung di dalam rumah. Ini secara tidak langsung memberikan tekanan dan terdapat individu yang mengalami kesempitan sama ada kewangan, sosial dan emosi.
Justeru itu, kempen bendera putih ini dilakukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu individu yang memerlukan bantuan.
Hal ini telah menarik perhatian sekumpulan pelajar yang telah mencipta sebuah aplikasi bagi membolehkan individu susah mendapatkan bantuan dengan segera.
Dikenali sebagai Sambal SOS, aplikasi ini membolehkan pengguna memuat naik gambar rumah yang memasang bendera putih di luar kediaman mereka dalam peta tersebut.
Pengguna lain aplikasi tersebut yang berminat untuk membantu menghantar bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan boleh mengetahuinya daripada sini. Aplikasi ini juga membolehkan pengguna mencari food bank terdekat, bagi mereka yang tidak mampu membeli keperluan makanan.
Tiga remaja yang dikenali sebagai Sidharrth, Shaun dan Cornelius itu mengatakan bahawa mereka mewujudkan aplikasi ini adalah kerana ingin membantu memudahkan masyarakat menerima bantuan.
Aplikasi yang dibina tiga hari ini masih lagi dalam usaha untuk dinaiktaraf bagi menambah baik lebih banyak ciri dan merekrut sukarelawan untuk bersama-sama menjayakan projek ini.
Orang ramai boleh memuat naik foto rumah yang mengibarkan bendera putih tanpa mendedahkan wajah ahli keluarga, plat nombor atau maklumat yang mengganggu privasi mereka.
Team mereka akan memeriksa terlebih dahulu semua gambar yang dihantar sebelum memuat naik maklumat di aplikasi itu untuk kegunaan orang ramai. Ini bagi mencegah spam di aplikasi tersebut, melindungi privasi mereka dan hanya memaparkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan.
Sememangnya ini adalah satu inisiatif yang baik untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan memudahkan mereka menerima bantuan. Diharap dengan adanya aplikasi ini dapat memperluaskan lagi bantuan yang boleh diberikan kepada masyarakat sekeliling.