Pelajar Form 5 Jadi Cleaner! Ganti Tempat Mak Yang Dalam Iddah Lepas Ayah Meninggal

Share

Ujian hidup manusia berbeza-beza. Ada diberi kesenangan hingga tidak tahu hendak ke dapur langsung kerana ada bibik masakkan. Ada pula yang hanya tahu meminta pada mak ayah untuk membeli barang apa diminatinya walau tahu mak ayah kurang berada.

Ada pula terpaksa bekerja mencari wang kerana ketidakmampuan keluarga. Satu perkongsian dari Cikgu Fadli Salleh mengenai kisah seorang pelajar tingkatan lima yang perlu bekerja sebagai pencuci pejabat menggantikan tempat emaknya yang dalam iddah selepas ayahnya meninggal dunia cukup meruntun hati.

Semoga pelajar pintar ini sentiasa dimurahkan rezeki dan berjaya dalam pelajarannya untuk mengubah nasib keluarga di masa depan.

Baca perkongsian Cikgu Fadli.

Aku mendapat berita, ada seorang pelajar tingkatan 5 bekerja sebagai cleaner untuk menyara keluarga.

Terkejut aku mendengar kes ini tiga hari lepas. Lebih mengejutkan, pelajar itu merupakan pelajar harapan sekolah. Murid bijak dan pandai.

Terus aku pergi ziarah ke rumah pelajar tersebut keesokan harinya. Aku nak tahu apa cerita sebenar. Kenapa sampai pelajar ini kena kerja? Di mana ayah? Di mana ibu?

Sebaik sampai, aku dijemput masuk. Kelihatan seorang wanita duduk dilantai dikelilingi 3 orang anak perempuannya. Maka cerita pun dibuka…

Ayah baru meninggal

Keluarga ini baru sahaja kematian ayah mereka yang tercinta minggu lepas. Sebelum ini ayahnya kerja sebagai driver teksi. Boleh la untuk menyara keluarga, bayar sewa rumah dan sebagainya.

Suaminya ada macam-macam penyakit. Dan sejak tahun lepas penyakitnya makin teruk. Kesihatan makin merosot. Tidak boleh bawa teksi macam biasa. Dan akhirnya teksi pun kena tarik akibat tak mampu bayar sewa bulanan.

Terlantar ayah di rumah sementara ibu pula menggalas tugas mencari rezeki untuk keluarga. Dia bekerja sebagai cleaner di sebuah sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Dan hari Rabu minggu lepas, si ayah dijemput Tuhan ke negeri abadi.
Dalam keadaan masih berkabung, si ibu yang masih dalam iddah, majikan memberi kata dua.

Jika lama tak datang kerja, dia terpaksa buang si ibu.


Tawar diri ganti tempat mak

Termenunglah si ibu. Dia masih dalam iddah. Suami pula baru meninggal. Kejutan dan sedih masih belum hilang, kini satu-satunya sumber kewangan keluarga pula terancam.

Melihat ibunya buntu, anak sulung ini menawarkan diri,

"Tak apa mak. Sementara mak dalam tempoh iddah, sementara mak belum cukup kuat, biar kakak ganti mak kerja cleaner tu.

Kakak akan pergi setiap hari sama macam mak kerja. Kakak akan kerja ganti mak dulu agar mak tidak dibuang kerja".

Aku sangat terkesan mendengar kisah ini. Pelajar harapan yang sepatutnya belajar terpaksa menggantikan ibunya bekerja sebagai cleaner setelah kematian bapa.

Sebesar itu sudah menggalas tanggungjawab yang sangat besar dan berat.
Tanpa bertangguh, aku hubungi pegawai Lembaga Zakat Selangor bercerita tentang kes ini. Semua maklumat seperti nombor telefon, alamat dan ic mereka aku hantar pada pegawai zakat.

Lembaga Zakat turun bantu

Esoknya juga pegawai zakat datang ke rumah mereka. Tolong isikan borang semua untuk mereka dapatkan hak yang sepatutnya mereka dapat.

Bantuan sewa rumah akan diberi, bantuan pakaian sekolah juga akan diberi setahun sekali dan mungkin ada bantuan pendidikan juga untuk anak-anak yatim ini.

Alhamdulillah. Lega sungguh aku bila semuanya selesai.
Kawan-kawan…

Kita rasa kita cukup susah dan tersepit. Kita sering mengeluh tentang sukarnya sebuah kehidupan.

Namun diluar sana, ada anak yatim tingkatan lima keluar bekerja sebagai cleaner untuk menyara keluarga.

Menggalas tanggungjawab orang dewasa sebelum usia.

Tenang sahaja aku lihat keluarga ini. Anak-anak semua bertudung labuh. Wajah mereka bersih dan senyum sentiasa terukir seolahnya tiada apa masalah pun.

Jika kita masih punya suami/isteri, syukurlah.

Jika kita masih punya kerja, syukurlah.

Jika masih ada makanan di dapur, masih ada baki wang di bank walau tidak sebanyak mana, terus bersyukur.

Gandakan usaha, kurangkan mengeluh. Kerana diluar sana ramai sangat orang jauh lebih besar ujian mereka.

Aku nak bantu semua orang, tak mampu. Tenaga aku terhad. Masa aku terhad. Dana aku terhad.

Sama-sama kita bantu orang sekeliling kita. Pakat bertanya khabar, sering peduli dengan orang sekitar.

Begitulah.
Jika ada antara kalian ingin mengirim sumbangan melalui kami, ini maklumat ya.

Nombor akaun : 564221646925
Bank : Maybank
Nama akaun : Pertubuhan Kebajikan Dana Kita
Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

Dana Kita

#MFS
– Ujian setiap orang berbeza-beza –

Published by
Almaswa Haji Che Ros