Pelajar Form 6 Kongsi Pengalaman Serik Seminggu Dalam Penjara, Ditahan Selepas Beli Mi Segera Masa PKP

Share

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan oleh pihak kerajaan bertujuan untuk mengekang wabak corona virus yang kini memasuki minggu ke tiga menyaksikan sejumlah tangkapan pihak berkuasa kepada mereka yang ingkar.

Denda sebanyak RM1000 akan dikenakan terhadap individu dan seandainya tidak mampu membayar denda dinyatakan, pesalah akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan dan denda atau kedua-duanya sekali.

Memandangkan ini kali pertama kebanyakan pesalah ditangkap tentunya mereka mempunyai pengalaman pahit untuk dikongsi. Inilah yang dirasai oleh seorang pelajar tingkatan enam iaitu Hamiza Ahmad Rosli, 18 tahun yang kisahnya tular selepas ditangkap ketika keluar membeli mi segeradan  dirinya tidak mampu membayar denda kerana tinggal bersama nenek yang sudah berusia. Akibatnya remaja ini dibawa ke penjara untuk sementara menunggu tarikh bicaranya.

Harian Metro berkongsi kisah remaja ini selepas dirinya dibebaskan dari penjara selepas seminggu dithan atas jaminan beberapa individu yang membantu membayar denda berkenaan kerana simpati dengan keadaan dan kesusahan dialami olehnya.

“TUJUH hari di reman di Penjara Marang sudah cukup menginsafkan saya,” kata Hamiza Ahmad Rosli, 18, dari Kelantan selepas dibebaskan daripada reman di Penjara Marang hari ini.

Pelajar tingkatan enam itu sebelum ini ditahan reman kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas keluar ke kedai untuk membeli mi segera kira-kira 9 malam pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun, kerana masih di bawah umur selain keluarga tidak berkemampuan untuk membayar wang jaminan sebanyak RM800, remaja itu ditahan reman dan dihantar ke Penjara Marang sementara menunggu kes perbicaraannya.

Hamiza berkata, dia terpaksa meringkuk di penjara sehingga tarikh perbicaraan iaitu pada 18 Mei depan sekiranya tiada siapa yang menjaminnya.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana melaporkan kisah saya seterusnya mendorong beberapa individu yang pemurah untuk membantu keluarga bagi membebaskan saya.

“Berasa sangat seksa berada di penjara, tujuh hari itu sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada saya supaya menghargai kebebasan yang dikecapi selama ini.

“Saya tidak mahu lagi keluar rumah sepanjang PKP ini, lebih baik berkurung di rumah daripada dikurung di penjara,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu.

 Nenek berdoa setiap malam

Neneknya, Kalsom Besar, 75, dari Kampung Bukit Lanjut, Jeli berkata, dia tidak putus mendoakan kebebasan cucunya itu sepanjang cucunya ditahan di Penjara Marang.

“Hamiza seorang anak dan cucu yang baik dan bukan daripada kalangan remaja nakal oleh itu saya seperti tidak percaya dia ditahan polis dan berada di penjara.

“Kami tidak berkemampuan untuk menyediakan wang jaminan dan hanya mampu berdoa supaya Allah memberi kemudahan.

“Alhamdulillah, doa dan rayuan saya pada setiap malam didengari Allah sebelum menghantar pertolongan melalui Harian Metro dan beberapa individu yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Hamiza,” katanya.

Sementara itu, Wan Nor Farhan Liyana Wan Baharuddin, 27, berkata, dia mewakili beberapa rakannya dari Kuala Lumpur untuk menguruskan wang jaminan dan pembebasan Hamiza daripada reman di Penjara Marang itu.

“Selain wang jaminan sebanyak RM800 disediakan, sumbangan wang tunai juga diberikan kepada keluarga Hamiza sebanyak RM1,200 untuk perbelanjaan sepanjang PKP.

“Kami bersimpati dengan nasibnya yang sebelum ini menjadi tulang belakang keluarga dan menjaga bapanya yang diserang angin ahmar selama tiga tahun sehingga meninggal dunia tiga bulan lalu.

“Selain itu, Hamiza masih di bawah umur dan seorang pelajar tingkatan enam seterusnya masa depannya masih panjang,” katanya yang juga seorang peguam. Sumber : HARIAN METRO

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros