Pelajar Luar Negara Puji Kerajaan & Frontliners Atas Tahap Kecekapan Uruskan Individu Kuarantin

Share

Jika sebelum ini masyarakat Malaysia di’momokkan’ dengan perangai kluster oversea yang menjengkelkan, namun tidak semua mereka yang dari luar negara berkelakuan seperti itu.

Seorang pelajar jurusan Ekonomi di United Kingdom (UK) antaranya yang memuji kecekapan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia serta usaha yang diberi oleh barisan hadapan ketika menjalankan tugas menguruskan mereka yang baru pulang dari luar negara.

Shacind Ananthan berkongsi kisahnya di Facebook dan disebabkan postingnya itu menjadi viral, dia juga telah ditemu bual oleh stesen Bernama.

Jelasnya, sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 April, mereka disambut mesra oleh dua anggota beruniform yang sentiasa mengingatkan tentang jarakan sosial satu meter dan membawa mereka ke sky train.

Setiap pusat pemeriksaan, terdapat sekurang-kurangnya seorang atau dua pekerja yang melaksanakan tugas mereka dengan dedikasi dan segalanya berjalan dengan lancar. Seolah-olah prosedur ini dibuat secara teliti, telah berjalan bertahun-tahun.

Selepas melepasi kaunter Imigresen, seorang pegawai memberinya borang penilaian diri iaitu dia perlu memantau dan melaporkan simptomnya setiap hari.

“Keceriaan berterusan di wajahnya apabila memanggil saya sebagai ‘adik’ membuatkan saya rasa selamat,” catatnya dan menambah persoalan yang bermain dalam fikiran mereka ialah: “di manakah mereka akan dibawa?”.

“Saya terdengar mereka berharap agar ditempatkan di hotel lima bintang di KL. Walau dalam situasi ‘sekarang’, rakyat Malaysia masih mengharapkan kemewahan dan keselesaan, bukan?.

“Anggota polis dengan sopan menjawab bahawa dia tidak pasti di mana kami akan ditempatkan untuk dikuarantin, tetapi memberi jaminan kami akan tetap mendapat tempat yang baik,” kata Shacind dan menambah beliau sangat kagum dengan kecekapan setiap pegawai.

Setiap bilik tempat mereka dikuarantin, disediakan dua kotak air botol, beg plastik untuk pakaian kotor dan beg besar dipenuhi kopi dan makanan ringan, serta turut disediakan makanan berkhasiat tiga kali sehari, semuanya percuma.

Pasukan kuarantin itu turut memasukkan mereka dalam grup WhatsApp, dan mereka tidak putus-putus dibanjiri pesanan berbaur harapan, optimistik dan penghargaan untuk petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka.

Jelasnya lagi, dia menulis keterangan ini kerana menganggap Malaysia antara negara yang paling proaktif dalam menangani ancaman COVID-19. Oleh itu saya menyeru ‘armchair economists’ di rumah yang hanya pandai bercakap – pembantah berterusan – jika anda tidak dapat mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, sekurang-kurangnya janganlah jadi penghalang.

Nah, begitu matang sekali kenyataan yang diberikan oleh pemuda berusia 18 tahun ini. Sebenarnya kerajaan kita sudah melakukan sehabis baik demi menjaga kebajikan setiap rakyatnya. Jika mahu dibandingkan dengan negara lain, tidak keterlaluan jika kami katakan Malaysia adalah antara yang terbaik dalam menangani situasi sekarang.

Published by
Noor Ain Norman