Tahniah dari team Remaja untuk pelajar Sekolah Menengah Maktab Sabah, Nurasilah Adibah, 14 tahun yang baru saja dinobatkan sebagai pemenang anugerah “Most Outstanding Solo National” dalam pertandingan Tarian Piala Dunia di Sitges, Barcelona.
Merupakan penyertaan kali keduanya, penari kecil molek daripada kumpulan Tagap Dance Theatre, Nurasilah Adibah Abdul Rashid tidak menyangka penyertaan kali keduanya dalam pertandingan Tarian Piala Dunia di Sitges, Barcelona Jun lepas memberi pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.
Dalam pertandingan itu Nurasilah Adibah, 14, dinobatkan sebagai pemenang anugerah ‘Most Outstanding Solo National’ selain membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
“Saya terkejut dan tidak sangka boleh menang anugerah itu sebab persaingan di sana bukan calang-calang (orang yang menyertainya),” katanya ketika ditemui media selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Maktab Sabah itu berjaya memenangi pingat emas bagi kategori ‘Children Solo National Folklore’, ‘Junior Small Group National Folklore’ (perak) dan ‘Junior Small Group Hip Hop’ (gangsa).Anak bongsu daripada empat beradik itu turut mengakui walaupun telah aktif menari sejak berumur sembilan tahun namun bukan mudah menghayati tarian yang dibawanya ketika menyertai pertandingan itu.
“Alhamdulillah dengan bantuan koreografer, saya berjaya membuat persembahan dengan baik,” katanya.
Tahun lepas, Nurasilah turut menyertai pertandingan itu yang diadakan di Jerman namun tidak memenangi sebarang pingat.
Sementara itu, Ketua Kontinjen merangkap koreografer Tagap Dance Theatre Mohd Azizan Danial, 24, bangga kerana dari 46 buah negara, Malaysia menduduki tangga keenam apabila berjaya membawa pulang enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Beliau berkata sebanyak 21 kategori dipertandingkan termasuk balet, hip hop dan tradisional.
Katanya penari lain termasuk dari SK Pekan Kiulu, SJKC St James, Likas, Persatuan Tobilong Sabah Bersatu (TOBISA-Windbreeze) dan The Kookie Family yang berjaya meraih anugerah ‘Most Outstanding Group’.
“Seramai 64 peserta termasuk seorang dari Putrajaya menyertai pertandingan itu dan Tagap Dance Theatre hanya menghantar 15 peserta sahaja,” katanya.
Pertandingan pada 22 hingga 30 Jun yang diadakan pada setiap tahun itu dimenangi oleh tuan rumah Sepanyol, naib juara England dan tempat ketiga Portugal.
— BERNAMA