Pelajar Malaysia Kongsi Detik Cemas Berdepan Gempa Bumi di Turkiye, Akui Masih Trauma

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul…

Begitulah perumpamaan yang boleh disamakan terhadap mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye yang bergelut dengan situasi kehilangan insan tersayang, tempat tinggal dan situasi cuaca yang buruk di negara yang dilanda bencana itu.

Sering Mengalami Gegaran Kecil

Salah seorang pelajar Malaysia dan juga mangsa gempa bumi berkenaan, Zahirul Amin Mohamad, 21, mahasiswa Universiti Gaziantep, telah berkongsi detik-detik cemas ketika dia dan pelajar yang lain berhadapan dengan situasi tersebut di sana.

ARTIKEL BERKAITAN : Tular Video Seakan Haiwan Tahu Bencana Alam Bakal Berlaku Di Turkiye

Mengimbau detik sebelum gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan Turkiye dan Syria pada Isnin lepas, Zahirul yang mengikuti pengajian Sejarah Islam di universiti berkenaan berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen.

Kedua-dua Zahirul (kiri) dan Wan Isyraf telah dihubungi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan kini ditempatkan di sana. – Foto Twitter BERNAMA

“Kami sering mengalami gegaran kecil di sini (Gaziantep), sekali sekala. Jadi, saya tidak ambil kisah pada mulanya. Tapi pada Isnin, selepas beberapa gegaran kecil, ia berlainan sekali. Kami betul-betul bergoncang (gegaran yang sangat kuat).

“Pada mulanya, saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Asrama saya di tingkat lima dan bila saya lihat rakan di aras sama berlari turun. Saya pun ikut berbuat demikian. Bekalan elektrik juga terputus. Saya tinggalkan bilik sehelai sepinggang, saya hanya sempat mengambil telefon bimbit supaya saya boleh menghubungi keluarga di kampung,” katanya menurut laporan Bernama.

Gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di tenggara Turkiye, kira-kira 78 kilometer dari Gaziantep dikatakan gempa paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh lebih 100 tahun dan setakat ini telah mengorbankan lebih 12,000 orang di Turkiye dan Syria.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan Turkiye dan Syria pada Isnin lepas

Selum gegaran susulan, Zahirul, pelajar tahun dua di universiti itu berkata dia dan rakan lain termasuk seorang lagi pelajar Malaysia Wan Isyraf Wan Haziq, 19, yang baru empat bulan mengikuti pengajian Bahasa Turki di universiti sama, telah pulang ke bilik masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan.

Terima Kasih Kepada Kedutaan Malaysia dan Indonesia

Menurutnya, walaupun bangunan asrama didiaminya tidak terjejas, namun gempa bumi itu telah mengakibatkan berlakunya retakan dan menyebabkannya tidak selamat untuk diduduki.

“Pada hari pertama, kami tinggal di masjid berhampiran yang kemudiannya menjadi sesak. Pada hari kedua, kami dapat maklumat universiti juga menyediakan penginapan, jadi kami kembali ke sana,” katanya.

Kedua-dua pelajar Malaysia itu kemudiannya telah dihubungi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan mereka kini ditempatkan di sana.

“Kami amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia dan Indonesia di sini,” katanya sambil menambah fokus utama adalah untuk meninggalkan Gaziantep dan pergi ke tempat lebih selamat.

“Malah sehingga sekarang, gegaran masih dirasai di Gaziantep setiap tiga jam. Pada hari pertama kami dapat rasai gegaran setiap jam,” katanya.

“Ketika ini, kami masih dalam cuti semester dan tamat pada 20 Feb. Jika selamat untuk kembali ke universiti, saya akan balik tapi jika universiti mahu mengadakan pengajian secara maya, saya mungkin memilih untuk kembali ke Malaysia dan mengikuti pengajian secara maya dari rumah,” katanya.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata pihak kedutaan sedia membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu. Malaysia adalah antara negara pertama bertindak balas terhadap bencana melanda Turkiye, dengan pengumuman sumbangan US$1 juta untuk membantu mangsa gempa bumi dan telah mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke negara itu.

Mengenai penghantaran pasukan SMART kedua, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia dilakukan berikutan keberkesanan pasukan SMART pertama iaitu di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah berlepas ke Turkiye pada Isnin lepas.

Moga dipermudahkan saudara-saudara kita di Turkiye dan Syria.

BACA LAGI : Situasi Banjir Semakin Memuncak, Bacakan Doa Ini Bagi Saudara Kita

Sumber : BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana