Impian meneruskan pelajaran di luar negara merupakan keinginan yang diidamkan oleh ramai pelajar di Malaysia. Ada yang bermimpi untuk ke Eropah, ada juga yang mahu ke negara Timur Asia dan juga di tanah Arab.
Baru-baru ini, seorang pelajar Muhammad Asyraf Muhammad Abdul Aziz yang berasal dari Perak telah membuat sejarah dengan menjadi pelajar Malaysia pertama yang berjaya menerima Ijazah Sarjana (MA) dalam bidang Hadis Kuliah Ulum Islamiah dari Universiti Al-Azhar dengan pangkat Mumtaz (Cemerlang).
Pengiktirafan ini dikongsi menerusi Facebook rasmi Pejabat Atase Agama Kaherah dan pihak mereka mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Asyraf kerana pencapaian itu bukan hanya menjadi kebanggaan buat Muhammad Asyraf secara peribadi, tetapi juga bagi negara Malaysia.
Ads
Difahamkan, bidang Kuliah Ulum Islamiah itu dibuka kepada pelajar antarabangsa dan perjanjian termeterai bersama kerajaan Malaysia sejak 2008.
Dalam pada itu, menurut Asyraf dia memanfaatkan masa hampir 2 tahun 6 bulan bagi menyiapkan hasil kajiannya dalam bidang ini. Kejayaannya bukan hanya hasil daripada ketekunan dan komitmennya sendiri, tetapi juga sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan kerajaan Malaysia.
Ads
Prestasi Muhammad Asyraf adalah bukti yang jelas bahawa dengan semangat belajar dan peluang yang betul, pelajar Malaysia mempunyai potensi untuk bersinar di peringkat antarabangsa. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya kerjasama antara Malaysia dan Mesir dalam bidang pendidikan, yang terus membuka pintu bagi generasi muda untuk mengejar impian mereka di tanah Mesir yang subur dengan ilmu pengetahuan.
Ads
Syabas diucapkan kepada Muhammad Asyraf di atas pencapaian yang membanggakan ini!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika ini sedang berlangsung Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2022 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Atlet-atlet berbakat dari segenap pelusuk Malaysia berhimpun bagi menonjolkan kehebatan masing-masing.
Di sebalik kemeriahan dan kecemerlangan yang ditonjolkan, atlet-atlet lelaki dari Sabah ternyata mencuri perhatian apabila mereka mempamerkan aksi cemerlang dalam acara yang dipertandingkan.
Antara yang menjadi sorotan kamera ialah Pengiran Aidil Auf yang setakat ini telah menggondol tiga emas dalam acara yang disertainya. Anak jati Sabah asal Sandakan itu memperoleh emas dalam acara lelaki 18 tahun 100-m, 200-m dan 4×100-m.
Menerusi acara 100-m, dia telah memastikan gelaran raja pecut menjadi miliknya apabila catatan masa yang diperoleh 10.73 saat melayakkan dia menggenggam pingat emas. Menjadikan kemenangannya lebih manis apabila rakan senegeri, Jad Rizalman Washif berada di kedudukan kedua dengan perbezaan masa hanya 0.03 saat.
Dalam acara 4×100 meter, dia bersama rakan sepasukan, Jad Rizalman Washif, Dexter Bedie dan Muhammad Isyhan telah mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 41.29 saat sekaligus memadam rekod lama yang dipegang atlet Selangor pada 2016 dengan catatan masa 41.32 saat.
Manakala dalam acara larian 200-m pula, remaja Sabah ini mencatat masa 21.80 saat sekaligus mendapat emas dalam genggaman. Mengekorinya dari belakang adalah rakan senegeri, Dexter Bedie dengan catatan masa 22.27 saat cukup untuk melayakkan dirinya menang perak.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru berusia 24 tahun dan hanya berbekalkan segulung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak jati kelahiran Johor Darul Ta’zim ini berjaya membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila kini dapat bertugas dalam bidang yang diimpikan selama ini.
Pemilik nama Muhammad Farid Farok yang dahulunya bekerja sebagai kelindan lori, tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengikuti kursus Cabin Crew, Customer Service & Basic Ground Handling selama tiga bulan dari Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.
Tekad untuk masa depan yang lebih cerah, jejaka yang lebih disapa Farid ini beralih bidang dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di bawah Malaysia Airlines.
“Selepas habis SPM saya terus bekerja sebagai kelindan lori, waktu itu fikir hanya untuk mencari duit. Tetapi kesan jangka panjang bekerja sebagai kelindan lori adalah masalah kesihatan kerana perlu mengangkat barang berat selain terlalu banyak duduk di dalam lori.
“Jadi, apabila terlihat peluang untuk belajar selama tiga bulan, saya cuba walaupun ketika itu langsung tidak tahu tentang dunia penerbangan.
“Alhamdulillah, saya belajar pada 2018 dan pada 2019 saya telah bekerja bersama Malaysia Airlines sebagai Ground Staff. Saya masih menimba ilmu kerana pada masa yang sama saya juga mencuba untuk menjadi seorang pramugara,” tutur Farid kepada Remaja.
Tambahnya lagi, meskipun langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang penerbangan, namun pengambilan sijil di Kolej Meatech itu sangat membantu mempersiap dirinya untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Saya suka bekerja dalam bidang penerbangan kerana selain suka melancong, minda saya semakin terbuka apabila berjumpa pelbagai ragam pelanggan dari seluruh dunia,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi alumni Kolej Meatech, Ainun Darayani Omar atau Dara yang sebelum ini merupakan seorang pemandu pelancong dan juga pembantu klinik veterinar tidak menyangka percubaannya untuk terjun ke dunia penerbangan membuahkan hasil.
Sebaik sahaja menamatkan kursus selama tiga bulan, gadis berusia 28 tahun ini terus ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari dan kini telah tujuh bulan terbang di awan biru.
“Sebelum ini saya bekerja di bidang pelancongan, tetapi kerana pandemik Covid-19 saya kehilangan kerja. Selepas itu, saya bekerja sebagai pembantu klinik veterinar. Walaupun pekerjaannya stabil tetapi saya kurang minat.
“Oleh itu, saya cuba mengambil kursus tiga bulan dan tidak sangka terus dapat kerja selepas itu. Sejak bekerja sebagai pramugari banyak perubahan positif pada diri saya terutamanya daripada aspek disiplin dan juga kemahiran komunikasi,” ujar Dara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, perkembangan agresif industri penerbangan pada masa kini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Terutama selepas pandemik Covid-19, ramai pekerja mahir dalam bidang penerbangan memilih untuk tidak kembali bekerja kerana telah memiliki pekerjaan lain atau perniagaan sendiri.
Selain itu, Batik Air sendiri telah membuktikan perkembangan positif industri penerbangan kerana akan menambah 47 sehingga 50 pesawat pada tahun depan daripada 35 pesawat sedia ada.
“Ini baru Batik Air sahaja, belum syarikat penerbangan lain yang turut menambah pesawat masing-masing. Maksudnya lebih banyak perjalanan dibuka dan lebih ramai pekerja diperlukan.
“Jadi, dengan adanya kolej seperti Meatech ini memang sangat membantu kerana memudahkan syarikat penerbangan untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran,” kata Kapten Mushafiz yang ditemui pada Majlis Aviation Experience Day anjuran YEG Academy dengan kerjasama Kolej Meatech di Sama-Sama Hotel, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Sekadar informasi, pada majlis Aviation Experience Day itu, sekitar 1,000 bakal pelajar telah menghadiri program tersebut yang turut memuatkan sesi perkongsian pengalaman bersama felo Kolej Maetech iaitu Zarul Umbrella dan juga pekerja-pekerja industri penerbangan.
Selain itu, Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech turut menawarkan program diploma untuk pelajar lepasan SPM seperti Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Para pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengharumkan nama institusi hebat itu apabila berjaya bergelar juara bagi dua kategori di pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi yang berlangsung kelmarin.
Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dua kategori yang berjaya dimenangi oleh pendebat UKM adalah kategori Debat Bahasa Melayu (Utama) dan Debat Bahasa Melayu (Muda).
Menjadikan kemenangan mereka lebih manis, gelaran pendebat terbaik bagi kedua-dua kategori ini turut dimenangi oleh pendebat UKM.
Bagi kategori Bahasa Melayu (Utama), pasukan debat UKM yang berada di kerusi pembangkang telah berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam sesi debat bertajuk, “Dewan ini akan memberi keutamaan kepada pembinaan tenaga kerja manusia berbanding pembangunan kecerdasan buatan”.
UKM diwakili empat pendebat hebat iaitu Muhammad Iman Azhar, Sharifah Umairah Syed Mustaffa, Muhamad Badrul Naim Mohd Besri dan Hafiz Hafizi Norapendi yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Manakala dalam kategori Bahasa Melayu (Muda) pula, pasukan debat UKM yang diwakili oleh Kasih Aerysa, Muhammad Adli Ikhwan Azli, Abu Bakr’ Abdul Rahman dan Muhammad Farris Suhaimi berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam usul perdebatan “Dewan ini menyokong nasionalisasi syarikat-syarikat telekomunikasi” itu, pendebat UKM Muhammad Farris Suhaimi dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Selain kategori bahasa Melayu, kategori Debat Bahasa Inggeris (Utama) dimenangi oleh pasukan debat UiTM manakala bagi kategori Debat Bahasa Arab (Utama) pula di menangi oleh pasukan debat Universiti Malaya.
Menjadikan kejayaan mereka lebih manis, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli dan menyempurnakan upacara penyampaiaan hadiah kepada pemenang.
Sumber foto: Facebook UKM
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hanya sehari sebelum dilangsungkan, acara One Love Music Festival yang dijadualkan menghiburkan pengunjung selama 12 jam berturut-turut di MAEPS, Serdang esok terpaksa dibatalkan.
Penganjurnya, Tuff...