
Kejayaan seorang pelajar Malaysia, Afiqah Izzati Sundusin menamatkan pengajian di University of Szeged dengan nilai gred kumulatif (CGPA) 4.99 daripada 5.00, bukan sahaja mencuri perhatian kerana kecemerlangan akademiknya, tetapi juga kerana pencapaian istimewanya dalam menjadi pelajar Malaysia pertama yang berucap mewakili graduan di hadapan ribuan tetamu pada majlis konvokesyen universiti tersebut.
Afiqah, graduan dalam bidang Kejuruteraan Pertanian, bukan hanya dihormati atas pencapaian akademiknya tetapi juga kerana memilih untuk berucap dalam bahasa Melayu, bermula dengan peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.
ARTIKEL BERKAITAN: #GIRLPOWER Pelajar Kolej MARA Banting Terima Tawaran Pengajian Ke Massachusetts Institute of Technology
Menurut gadis berusia 24 tahun itu, peribahasa tersebut menggambarkan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah, dan hanya tercapai melalui usaha, doa, dan tawakal.
“Ucapan ini cukup signifikan dengan saya kerana kejayaan tidak datang bergolek tetapi selepas usaha, doa dan tawakal.
“Ada perkara tercapai dan ada perkara yang dingini tetapi tidak menjadi, namun itu bukan kegagalan sebaliknya cuba lagi dan berserah kepada Allah.
“Memang banyak cabaran selama di sini (Hungary) tetapi itu tidak mematahkan semangat saya demi menimba ilmu,” katanya kepada pemberita.
Pada hari penuh bermakna itu, Afiqah turut tampil mengenakan busana tradisional suku Bugis, yang juga dikenali sebagai baju Tokko.
Penampilannya yang anggun dan bangga dengan identiti budaya Bugis dan Malaysia itu menarik perhatian ramai, bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan, malah mendapat liputan meluas daripada media di Hungary.
“Saya bangga menjadi anak Malaysia, negara yang terkenal dengan masyarakat majmuk, dan saya juga bangga dengan warisan yang dimiliki.
“Saya memilih memakai baju tradisional ini bukan sekadar fesyen, tetapi ini adalah cara saya memperkenalkan keunikan kepelbagaian etnik di Malaysia kepada dunia,” tuturnya lagi.
Busana hijau yang dikenakan Afiqah, lengkap dengan kain, songkok recca, dan tali pinggang (pa’bekkeng), ditempah khas dari Indonesia dan dihantar ke Sabah dalam masa dua minggu. Ia dijahit oleh penjahit tempatan di Sandakan, dan keseluruhan proses pembuatannya mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
Afiqah Izzati, yang merupakan anak sulung daripada enam beradik, memulakan pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Gin, kemudian menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan.
Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam Asasi Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia sebelum menyambung pengajian di Hungary.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama