Isu buli dengan menggunakan kekerasan ataupun ‘ragging’ dalam kalangan pelajar sekolah bukanlah satu isu yang baharu. Namun itu tidak bermakna budaya yang tidak mendatangkan sebarang manfaat ini harus terus dinormalisasikan.
Setelah video rakaman berdurasi 10 saat yang menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki membuli seorang pelajar dengan perbuatan menumbuknya pada bahagian abdomen tular di media sosial lewat pagi semalam, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengesan lalu memanggil semua pelajar terlibat untuk siasatan.
Ini termasuklah mangsa dan tujuh orang suspek; masing-masing merupakan pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun. Selain itu, pihak polis turut memanggil pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan untuk memberi keterangan. Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
Menurut siasatan, Ketua Polis Perak iaitu Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata; insiden buli itu telah berlaku di sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak di antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu.
ARTIKEL BERKAITAN : Ahli Politik Seru Agar Pelaku Kes Buli Dibawa Ke Muka Keadilan – REMAJA
Setelah video terbabit tular, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan mengenainya daripada pengetua sekolah sendiri kira-kira pada jam 1 tengah hari, 10 Disember 2021.
Dalam pada itu, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu salah laku membabitkan para pelajarnya jika mereka dibuktikan benar-benar terlibat.
ARTIKEL BERKAITAN : Lebih 70 Ribu Calon Mendaftar, Ujian Khas Kemasukan MRSM Bermula 3 Disember – REMAJA
Menteri Pembangunan Luar Bandar iaitu Datuk Seri Madzir Khalid hari ini memberitahu rakan media di Malaysia Gazette bahawa beliau telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menyiasat kandungan video tular itu. Sekiranya dibuktikan bersalah, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar terbabit berdasarkan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA.
Sementara itu, biarpun kes ini tidak melibatkan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengesahkan pihak kementerian telah berhubung dengan pihak terlibat dan dimaklumkan tindakan susulan telah diambil.
*
Sewajarnya, budaya mengagungkan maskuliniti toksik dalam kalangan remaja lelaki menerusi perbuatan membuli seperti ini harus dihentikan segera. Usahkan kerana ia dibenarkan pada waktu lampau, masyarakat terus membenarkan ia berlarutan hingga ke generasi semasa serta seterusnya. #SayNoToBullying
ARTIKEL BERKAITAN : 6 Bekas Penuntut UPNM Dipenjara 18 Tahun, Terlepas Hukuman Gantung – REMAJA
BACA LAGI : Bapa Arwah Zulfarhan Redha, Sudah Maafkan Tertuduh – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.