Pelajar Pedalaman Bukti Mampu Berjaya, Tersenarai Antara Pelajar Terbaik Dunia

Share

Dimana ada kemahuan disitu ada jalan.

Pelajar yang berasal di pedalaman di Malaysia kini semakin cemerlang apabila melakar kejayaan berterusan dalam bidang yang diceburi. Bakat dan usaha mereka ini seharusnya diraikan bersama kerana mereka juga layak untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

ARTIKEL BERKAITAN : Tiap Semester Terima Anugerah Dekan, Pelajar Ini Kongsi 10 Tip Jadi Pelajar Cemerlang Walaupun Bergelar Atlet Universiti

Terbaru, seorang lagi pelajar jurusan teknologi pembinaan Kolej Vokasional Keningau, Sabah tersenarai antara salah seorang calon 50 pelajar terbaik bagi anugerah Global Student Prize 2022 dan merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang terpilih.

Alesyah Asa, 20, berjaya menjadi finalis bagi anugerah pelajar paling berprestij di dunia anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat atas pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi, STEM, program pertukaran budaya dan hackathon.

Menurut pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman di Nabawan itu, dia sama sekali tidak menyangka dipilih sebagai antara pelajar terbaik dunia.

“Syukur kepada Tuhan kerana diberikan kemudahan kepada saya untuk terus berjuang dan memperkenalkan Kolej Vokasional terutamanya sekarang di seluruh Malaysia bahawa Kolej Vokasional Keningau juga boleh,” katanya.

Tambahnya berkat usaha dan pembelajaran di kolej tersebut beliau turut berpeluang menyertai program pertukaran pelajar luar negara hasil penglibatannya dalam beberapa aktiviti melibatkan STEM.

Alesyah Asa berjaya menjadi finalis bagi anugerah pelajar paling berprestij di dunia anjuran Chegg.org. (Foto Via Astro Awani)

Selama saya berada di Kolej Vokasional Keningau saya juga telah menyertai beberapa aktiviti kebangsaan dan antarabangsa yang paling saya bangga adalah saya telah menjadi seorang ketua salah satu yang mengikuti pertukaran pelajar di Korea Selatan.

“Selain itu juga saya menjadi duta Malaysia di Korea Selatan untuk mempelajari tentang kebudayaan dan cara teknologi di sana,” katanya.

Selain itu Alesya bersama rakan pelajar wanita yang lain sebelum ini turut pernah dianugerahkan Community Innovation Winner di Global Media and Information Literacy Youth Hackathon yang dianjurkan bersama UNESCO dengan Republik Korea.

Menurut Alesyah lagi, sebagai pelajar jurusan Teknologi Pembinaan, misinya adalah memberi inspirasi dan bimbingan kepada pelajar perempuan yang lain untuk berjaya terutamanya dalam bidang pembinaan yang sering didominasi kaum lelaki.

“Saya sebagai perempuan saya memasuki bidang yang sangat jarang diceburi iaitu pembinaan jadi saya sebagai perempuan saya cuba untuk mengubah pola pemikiran masyarakat.
“Perempuan pun boleh buat, perempuan dapat menjalankan, perempuan boleh menjadi suatu yang penting dalam pembinaan bukan saja setakat lelaki.

“Jadi selepas saya ceburi bidang teknologi pembinaan saya telah juga membawa rakan-rakan saya supaya lebih pecaya diri sebagai seorang perempuan untuk bertanding dengan lelaki tanpa ada rasa malu,” ujarnya lagi.

Sementara itu bagi Guru Bahasa Inggeris, Ketua Kajian dan Inovasi Kolej Vokasional Keningau, Mohd Sirhajwan Idek, kejayaan Alesyah bukan sahaja menjadi kebanggaan pihak kolej malah beliau berharap menjadi ispirasi kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan.

“Saya berharap kejayaan ini akan memberi ispirasi dan membakar semangat pelajar lain bukan saja di Kolej Vokasional Keningau tapi juga di negeri Sabah, di seluruh negara agar meraka sedar walaupun mereka masih lagi bergelar sebagai pelajar, belum lagi menamatkan pembelajaran mereka, tapi mereka mempunyai peluang untuk membantu komuniti.

“Mereka harus mencari platform dan peluang yang sesuai agar mereka mampu mengasah bakat mereka, mereka mencari peluang supaya mereka boleh perkembangkan idea projek mereka yang boleh membantu komunti ataupun di peringkat institusi,” katanya.

Untuk info, Global Student Prize 2022 turut menawarkan hadiah sebanyak AS$100,000 kepada pelajar terbaik dari seluruh dunia yang telah menjalankan aktiviti berkaitan sains dan teknologi serta memberi impak kepada dunia pembelajaran global.

Pemilihan pelajar terbaik bagi anugerah tahunan itu akan dilakukan oleh Global Student Prize Academy dan Global Teacher Prize Academy dan akan diumumkan di laman web Chegg.org.

Congrats Alesyah, semoga terus cemerlang di mana saja berada dan kisah kejayaan pelajar ini memberi inspirasi kepada sesiapa pun yang membaca.

Sumber : 1, 2

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana