Pelajar Pengurusan Perniagaan Dan Sistem Maklumat Dinobat Miss Universe Singapura 2021

Share

Tahun lalu Miss Universe Singapura 2020 menjadi bualan ramai dek kostum nasional yang memberi impak ketika pentas akhir Miss Universe berlangsung. Bernadette Belle jelas mewakili negaranya dengan baik sekali biarpun dia tidak tersenarai antara semifinalis Top 21. Namun apa yang penting kehadirannya di pentas tersebut menjadi ingatan ramai.

Tahun ini, Miss Universe Singapura 2021 telah mengumumkan pemenangnya semalam. Nandita Banna, 21, telah diangkat sebagai juara sekaligus mendapat kepercayaan untuk mewakili negara kecil itu di pentas Miss Universe yang akan berlangsung di Eilat, Israel pada penghujung tahun ini.


.

Tahun ini organisasi Miss Universe Singapura memperkenalkan mahkota baharu yang dinamakan The Better Crown. Rekaan dengan lima bintang ini mewakili lima bintang pada bendera negara itu.

Menewaskan tujuh finalis lain, gadis berdarah India ini merupakan pelatih penganalisis data, model dan juga sukarelawan yang aktif di Care Corner Singapore yang menjurus kepada pembangunan skil hidup dan juga komunikasi interpersonal dalam kalangan pelajar sekolah. Ketika ini selain bekerja sebagai model sambilan dia merupakan pelajar sepenuh masa di Universiti Pengurusan Singapura.


.

Menarik tentang dirinya, dengan ketinggian yang dimiliki, dia telah dipilih sebagai salah seorang model untuk menggayakan busana koleksi Louis Vuitton Women Spring/Summer 2021 di Muzium Sains-Seni, Singapura. Dia juga pernah menghiasi lembaran fesyen dalam majalah Vogue Singapura.


Dalam sejarah pertandingan Miss Universe, setakat ini Singapura pernah dua kali menjadi semifinalis iaitu pada tahun 1983 menyaksikan Kathie Lee Lee Beng yang berjaya menjadi tpo 12 dan kemudian pada tahun 1987 yang mana Nicole Teo berjaya tembus sebagai peserta 10 terbaik dalam pertandingan tersebut.

Sumber gambar: Instagram Miss Universe Singapura & Nandita Banna

Published by
Fiezreen