Di kala Covid-19 melanda dunia, sistem pendidikan antara yang terjejas dengan pergerakan pelajar yang terbatas dan pembelajaran harus dilakukan secara maya. Namun faktor ini bukanlah pematah semangat untuk berjaya.
Baru-baru ini, Nasrin Nadhirah binti Suhaidi yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 2, Machang, Kelantan telah berjaya mengharumkan nama negara dalam Festival Seni Sekolah Tinggi Antarabangsa 2021 yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada 4 hingga 15 Ogos yang lalu.
Menerusi karyanya yang dinamakan “Antara Kimono dan Kebaya”, pelukis berbakat besar ini dianugerahkan pingat emas dan juga sijil merit sekaligus mengalahkan para peserta dari 64 buah negara lain.
Dalam sebuah video yang disiarkan oleh Balai Seni Negara, gadis anggun berhijab ini berkata, “Saya mula melukis sejak kecil lagi. Ayah saya memiliki studio seni dan ibu berkongsi yang ayah selalu membawa saya bersamanya. Bermula dari situ sedikit demi sedikit ayah nampak minat saya dalam bidang tersebut dan dia mula mengajar saya segala-galanya dari mengenal bahan dan bagaimana untuk memiliki pemikiran sebagai seorang anak seni. Ayah berpesan yang kita tak perlu menjadi hebat tetapi rasai pengalaman yang dilalui.”
Walaupun begitu, langkah gadis ini dalam pertandingan bukanlah sentiasa cemerlang. Menurutnya dia memasuki banyak pertandingan ketika di bangku sekolah rendah namun sentiasa gagal. Walaupun begitu dia tidak pernah patah semangat. Dia juga berterima kasih kepada gurunya, Cikgu Anita yang sentiasa percaya dengan bakat yang dimilikinya serta berpesan agar tidak mensia-siakan bakat yang ada.
“Seni yang saya hasilkan iaitu Antara Kimono dan Kebaya merupakan satu ekspresi yang menyerlahkan perhubungan dua budaya antara Malaysia dan Jepun,” ujarnya mengenai lukisan yang dihasilkan. Untuk pengetahun pembaca, bapa kepada Nasrin Nadhirah merupakan seorang pensyarah kanan dan pelukis yang disegani, Suhaidi Razi. Bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Semoga adik Nasrin Nadhirah terus cemerlang dalam bidang seni dan menjadi antara artis seni tersohor negara suatu hari nanti.