Pelajar Terkejut Nama ‘Naik’ Jadi Felo Perdana, Teruja Belajar Selok-Belok Tugas Pemimpin Negara

Share

Bertuahnya bila dapat menjalani latihan industri ataupun internship dengan pemimpin negara.

Korang mengetahui tentang program Felo Perdana? Ia merupakan peluang yang ditawarkan kepada para siswazah dan graduan cemerlang untuk berkhidmat sebagai ‘intern’ atau pelatih sementara kepada menteri-menteri Kabinet termasuklah di pejabat Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITANCadangan Pelajar Internship Diberi Cuti Dibantah, Bingung Laporan Akan Sukar Diisi

Tahun ini merupakan tahun bertuah untuk pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lua Pei Ling apabila namanya tersenarai di antara 82 peserta bagi program Felo Perdana.

Kongsi Pei Ling, dia tidak pun menaruh harapan menggunung untuk dipilih sebagai peserta Felo Perdana bagi pemilihan tahun 2022. Ini kerana ribuan pelajar telah memohon untuk menyertai program tersebut.

Foto Via borneodailybulletin

Pelajar jurusan Psikologi Industri dan Organisasi di fakulti Psikologi dan Pendidikan ini telahpun memulakan perkhidmatannya sejak 13 Julai lalu di Pejabat Ahli Jemaah Menteri Malaysia, Tan Sri Annuar Musa bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Ketika dihubungi media, Pei Ling mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan padanya.

“Saya akan gunakan peluang ini untuk menimba segala ilmu dan pengalaman. Saya juga sudah bersedia menyahut cabaran dan mempelajari selok-belok tugas pemimpin negara di bawah bimbingan menteri,” katanya.

Pejabat Pentadbiran Malaysia di Putrajaya

Tambah Pei Ling, walaupun bidang komunikasi dan multimedia adalah bidang baharu dan asing buatnya, dia bersemangat untuk meningkatkan kemahiran insaniah sekali gus menjadi nilai tambah apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar kelak.

Untuk pengetahuan korang, melalui program Felo Perdana pekerjanya akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan kerajaan melalui seorang menteri yang akan menjadi mentor kepada felo terpilih.

Felo seperti Pei Ling pula terpilih berdasarkan keputusan akademik, kegiatan kokurikulum dan rekod kepimpinan mereka.

Program ini direka bentuk untuk memberi peluang kepada pelajar luar biasa yang ingin menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat kementerian sehingga 31 Disember 2022.

Sumber : 1, 2

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana