Pelajar UM Disara Dengan Duit Pencen Jadi Sebahagian 104 Penerima Biasiswa Khazanah

Share

 

Saban tahun, bermacam-macam syarikat mega di Malaysia akan menawarkan biasiswa penuh kepada para pelajar yang memperolehi keputusan akademik cemerlang untuk meneruskan pengajian ke universiti terulung dalam negara serta di luar negara.

Salah satu daripada biasiswa paling popular yang akan cuba dimohon oleh pelajar di Malaysia tentunya ialah Program Biasiswa Khazanah. Penerima biasiswa ini selalunya adalah adalam kalangan pelajar yang menerima peluang untuk ke universiti luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia; ataupun di Malaysia jika itu merupakan keinginan penerimanya.

Selain menanggung dari aspek kewangan, satu lagi ciri penting pada biasiswa Khazanah ini adalah Program Biasiswa Premier Yayasan (YKPSP) yang membina kemahiran kepimpinan sebagai persediaan melahirkan pemimpin berwibawa.

Terbaru kali ini, seramai 104 anak muda tempatan telah dipilih untuk menerima Biasiswa Khazanah bagi tahun 2021. Bukan itu saja, 54 orang penerima biasiswa sedia ada yang lain juga telah diiktiraf atas prestasi cemerlang mereka.

Majlis yang dilangsungkan secara atas talian itu sekaligus meraikan 15 tahun usaha Yayasan Khazanah untuk mengiktiraf sektor pendidikan dan menggalakkan pembangunan pelajar.

Anyway, daripada 104 penerima baharu itu, 37 merupakan penerima Program Biasiswa Global Khazanah, 62 penerima Program Biasiswa Watan Khazanah dan lima lagi terpilih menyertai Program Biasiswa Lestari Khazanah yang julung kali akan diadakan.

Di antara penerima yang sewajarnya berbangga dengan pencapaian mereka ini adalah pelajar daripada keluarga B40 seperti penerima biassiwa Khazanah Watan, Izzati Kausar.

Izzati Kausar

Dibesarkan oleh seorang ibu yang menyara hidup keluarga dengan wang pencen saja, Izzati ingin mengambil peluang ini untuk meningkatkan status sosioekonomi keluarganya.

“Apaila saya mendapati Yayasan Khazanah memberi peluang mengikuti kursus lepasan ijazah, saya ingin cuba nasib dengan harapan ia akan meringkan beban kewangan yang saya hadapi,” kata Izzati yang meminati kerja makmal dan aktiviti penyelidikan. Oleh itu, dia akan mengikuti kursus Sarjana Mikrobologi Perubatan di Universiti Malaya berbekalkan minat terhadap virologi.

Seorang lagi penerima biasiswa tapi kali ini bagi kategori Global Khazanah pula ialah Shveenita Alyza Kanapathy. Bagai tidak percaya setelah menerima emel tahniah, Shveenita menganggap ia sebagai kejutan yang luar biasa. Rahsia pelajar yang akan mengikuti pengajian Cambridge A-Levels di Kolej Yayasan UEM ini? Sentiasa ingat semula niat sebenar dan misi akhir apabila sedang belajar.

Shveenita Alyza Kanapathy

Bercakap dengan penerima sulung Biasiswa Lestari Khazanah, Dawn Scholastica Adrian berkata bahawa dia percaya biasiswa yang diterimanya ini akan memberi manfaat dalam bentuk sumbangan yang boleh dia berikan kepada Malaysia satu hari nanti. “Semasa saya dinilai dalam lima peringkat oleh pihak Yayasan Khazanak, saya telah berkongsi impian saya untuk mewujudkan peluang pendidikan yang saksama di Sarawak dan di seluruh negara.”

Dawn Scholastica Adrian

Dawn akan mengikuti pengajian Sarjana Pembangunan Pendidikan Antarabangsa di University of Pennsylvania di Amerika Syarikat. Tumpuannya akan terarah kepada pendidikan di Sarawak dengan harapan dapat membangunkan bidang pendidikan demi memastikan pelajar terpinggir dapat bersaing dalam dunia akademik global.

Seronok kan bila mendengar kisah kejayaan penerima biasiswa seperti mereka ini. Diharap kesemua 104 penerima akan terus memacu kejayaan agar mereka juga boleh menjadi seperti 54 orang lagi pelajar yang diiktiraf sebagai Penerima Biasiswa Global Yayasan Khazanah atas kecemerlangan masing-masing.

Published by
FZ