Pelajar UNITEN Bangunkan Aplikasi Datang.My, Periksa Rekod Kehadiran Pelajar

Share

Congrat! Ya, ini satu kejayaan besar buat anak Malaysia. Lebih membanggakan beliau mengambil masa hanya dua hari untuk mencipta aplikasi ini dan boleh dimanfaat oleh seluruh sekolah.

Laporan Harian Metro,menjelang pembukaan semula sekolah menengah untuk pelajar tingkatan lima dan enam pada Rabu depan, penuntut ljazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid membangunkan aplikasi diberi nama Datang.my.

Ia sebagai persediaan untuk guru menerima kehadiran pelajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sehingga 31 Ogos depan.
Muhammad Akif, 23, berkata aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store itu berupaya membantu guru merekodkan kehadiran pelajar menggunakan telefon pintar tanpa perlu mencatat secara manual .






Katanya, guru hanya perlu mengimbas kod QR yang diberikan kepada pelajar yang dibawa mereka setiap kali hadir ke sekolah menggunakan aplikasi berkenaan.

Pemuda menetap di Rinching, Semenyih itu berkata, Datang.my adalah aplikasi kedua yang dibangunkannya dan mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Menurutnya, seorang guru teknologi maklumat (lT) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching menghantar kiriman mesej kepadanya bertanya sama ada mempunyai sistem untuk merekodkan suhu dan pelajar.

"Bertitik-tolak daripada itu, tercetuslah idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan.

"Selepas siap dibangunkan, saya menguji keberkesanan aplikasi itu terlebih dulu pada Rabu lalu dan sebanyak 20 sekolah mendaftar serta memuat turunnya pada hari pertama ia tersedia di Google Play Store," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Muhammad Akif, sehingga kini, sebanyak 300 sekolah sudah mendaftar dan memuat turun aplikasi berkenaan.

Katanya, ia membabitkan sekolah di seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Jujurnya, saya tidak terkejut dengan sambutan diterima kerana tahu keperluan guru yang mahukan aplikasi atau sistem seumpama itu.

"Malah, tiada cabaran teknikal dihadapi untuk membangunkan aplikasi berkenaan kerana saya mempunyai pengalaman sebelum ini.

"Buat masa ini, aplikasi itu hanya boleh dimuat turun di Google Play Store manakala di App Store pula dalam waktu terdekat," katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Berkongsi perancangannya, Muhammad Akif yang menawarkan khidmat sebagai perunding perniagaan IT separuh masa berhasrat membangunkan aplikasi untuk merekodkan bacaan suhu pula.

Published by
Almaswa Haji Che Ros