
Di sebalik kesulitan dihadapi ramai pihak berikutan Perintah Sekatan Pergerakan bagi mengelak penularan wabak COVID-19, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan berita gembira buat rakyat Selangor.
Dalam satu sidang akhbar, Menteri Besar mengumumkan beberapa manfaat bagi membantu rakyat negeri Selangor khususnya.
Baca seperti dikongsikan oleh beliau sebentar tadi.
Saya telah umumkan Pakej Selangor Prihatin #COVID_19 sebanyak RM127.78 juta bagi meringankan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat.
- RM200 akan diberi kepada 6,000 petugas kesihatan di kesemua hospital di Selangor.
- 80,000 Penjaja dan Peniaga berlesen akan menerima bantuan RM500 serta pengecualian sewa premis PBT selama sebulan.
- Mahasiswa/ siswi Selangor yang mengaji di Sabah & Sarawak akan diberi RM200 bagi kelangsungan hidup.
- Pembayaran Penyewa Skim Smart Sewa akan ditangguhkan selama 3 bulan.
- Bayaran ansuran oleh 40,000 Peminjam HIJRAH akan ditangguhkan serta-merta selama 3 bulan.
- Had peruntukkan ADUN bagi Program Mesra Rakyat dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000.
- Pembayaran cukai petak dan cukai tanah dilanjutkan tempohnya ke 30 Jun 2020.
- Pelajar di UNISEL, KUIS dan INPENS akan menerima bantuan bekalan makanan percuma
Saya berharap Pakej Selangor Prihatin ini dapat meringankan beban kehidupan yang dihadapi oleh setiap rakyat Selangor kerana wabak #COVID_19.
Namun, saya juga mengajak semua untuk melaksanakan tanggungjawab kita dengan belajar dari rumah, bekerja dari rumah, beribadah di rumah serta menjaga kesihatan kita masing-masing.
#KitaJagaKita
#SelangorGempurCOVID19
BENDERA Lambang Kedaulatan Negara, Ini Rusuhan Pernah Berlaku Bila Bendera Dipermainkan

Apa ada di sebalik bendera yang mampu mencetuskan hura-hara di sesebuah negara? Bagi yang bermaruah dan menganggap negara yang didudukinya adalah tempat perlu dipertahankan, bila bendera yang menjadi simbol kedaulatan diinjak-injak, sudah tentu semangat untuk mempertahankannya akan timbul.
Sejak sehari dua ini, tular di media sosial insiden bendera dipasang terbalik. Ada mengaitkannya dengan unsur komunis dan tak kurang juga menganggap ia satu perbuatan protes. Seakan penyakit berjangkit atau senang disebut wabak, satu demi satu insiden bendera terbalik dipaparkan di media sosial.
Apa perasaan bila membaca insiden bendera terbalik ini? Sengaja atau memang tersilap memasangnya?


Sebelum pemikiran pergi lebih jauh perihal insiden bendera dipasang terbalik yang tular di media sosial, minggu lalu ribuan etnik Papua salah satu daerah di Indonesia digegarkan dengan insiden rusuhan besar-besaran di Kota Manokwari dan Jayaputra sebagai memprotes layanan dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur pada Jumaat 16 Ogos lepas.
Insiden bermula apabila sekumpulan pelajar etnik Papua dilaporkan membuang dan merosakkan bendera yang dipasang di Asrama Mahasiswa Papua di Surabaya, sebelum asrama itu dikepong pihak polis dan tentera serta masyarakat setempat.

Menurut media tempatan, demonstrasi itu pada mulanya berlangsung secara aman, sebelum beberapa pihak bertindak agresif dengan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Papua Barat dan premis- premis perniagaan dan kemudahan awam. Malah memaksa Presiden Indonesia, Jokowi meminta maaf dan menyeru keamanan dikembalikan di Papua.
Pelajar Malaysia protes tindakan pijak bendera
Pada 26 Januari 2014 pula, pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun menzahirkan rasa kesal dengan sebahagian tindakan penyokong Datuk Seri Anwar yang memijak bendera negara berkenaan sebagai membalas tindakan Jepun menghalang Anwar memasuki negara itu kerana pernah disabitkan kes rasuah pada 1999 seperti yang terkandung dalam Perkara 5.1 Kawalan Imigresen Jepun dan Akta Pengiktirafan Pelarian.
Biar tiada tindakan balas dari penduduk Jepun yang dilihat matang menghadapi isu berkenaan, ia juga dilihat sebagai menjaga hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin.
8 Februari 2019 pula, Kerajaan Filipina mengakui akan mengambil tindakan terhadap individu atas nama Elly Pamatong yang mendakwa dirinya sebagai pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE) di mana dia dilihat mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti Malaysia sebelum bertindak membakar bendera Malaysia dan insiden ini tular di media sosial.

Ekoran itu, Kedutaan Filipina di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak berkuasa negara itu sedang menangani tindakan itu sewajarnya. Kedutaan tidak akan membiarkan insiden ini berlaku dan kami amat kecewa apabila kejadian ini telah mengecewakan rakyat Malaysia.
“Kedutaan turut menegaskan bahawa kami komited dalam membangunkan hubungan dua negara yang baik antara Filipina dan malaysia,” memetik kenyataan itu.
Pernah ingat bagaimana negara jiran Indonesia melancarkan protes apabila bendera negara mereka diletak terbalik dalam buku cenderamata ketika pembukaan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 yang mendapat liputan meluas dari media Indonesia?.

Hal ini memaksa bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta maaf bukan saja pada seluruh rakyat Indonesia tetapi kepada rakan sejawatnya iaitu Imam Nahrawi yang meluahkan rasa kesalnya dengan insiden tersebut.
Sarjana turut menulis isu Jalur Gemilang ini
Carian REMAJA mengenai insiden bendera turut menemui tulisan Mohd Ayop Abd Razid yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Sejarah dan Tamadun. Dalam satu tulisannya yang pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 29 Ogos 2017 dengan tajuk KENAKAN TINDAKAN TEGAS HINA JALUR GEMILANG. (Baca Sini )
Ketua Polis Johor pun dah beri amaran
Insiden bendera tidak habis bila mana semalam Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya memandang serius perkara bendera terbalik ini kerana memberi pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.


Katanya, Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
“Kebelakangan ini kami mengesan beberapa insiden membabitkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud tidak sewajarnya.
“Keadaan ini memberi persepsi pelbagai dalam kalangan masyarakat kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.
Menurutnya, pihak didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Katanya, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Ini pesan Yang Di Pertuan Agong untuk semua rakyat Malaysia
Sejujurnya, Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang aman damai kerana perpaduan kaumnya, keunikan adat, budaya serta keindahan muka bumi dan kedamaian yang dicapai selama ini. Jangan dirosakkan hanya kerana perbezaan politik, agama dan kelainan pendapat yang wujud sesama kita.
Seperti kata, DYMM Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa hari perlantikannya di mana baginda menitahkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.
Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.
“Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” titah Sultan Abdullah pada Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara di Kuala Lumpur yang lalu.
Jadi inilah NILAI SEBUAH BENDERA yang perlu kita fikir sedalam-dalamnya. Jika bendera adaalah MARUAH NEGARA, sanggupkah maruah kita dipermainkan? Tepuk dada tanya iman di dada!
Salam kemerdekaan ke 62 tahun. Tema tahun ini Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih!
“Rumah Sudah Bersih, Baju Sekolah Siap Gosok..”- Ini Kisah Adik Adam Yang Ayahnya Meninggal Dunia Selepas Hantarnya Ke Sekolah…

Isi Kandungan
ToggleDua hari lalu, viral kisah seorang ayah meninggal dunia selepas menghantar anak sulungnya ke sekolah agama di SRA Jalan 6 Bangi. Arwah Mohd Idrus Ibrahim, 44 dikatakan mengalami serangan jantung dan kereta Viva yang dipandunya terbabas di bahu jalan dalam kejadian ini.
Ramai yang sayu saat melihat air mata Muhammad Adam Harith, 8 tahun yang berlinangan dengan pakaian sekolah agamanya. Lebih menyedihkan, arwah ayahnya meninggal hanya selepas beberapa minit menghantarnya ke sekolah agama. Dan dalam perjalanan balik ke rumah itulah, kurang dari 1 km dari sekolah, arwah menemui ajalnya.


Lebih menambah rasa sedih, arwah baru saja menerima cahaya mata ke tiga, (ketiga-tiga anaknya lelaki) selain isterinya, Mas Suni Mat Hussin, 35 seorang golongan kurang upaya (cacat penglihatan) sepenuhnya.
REMAJA menghubungi isteri arwah, Mas Suni Mat Hussin, 35 yang kedengaran suaranya agak tenang menjawap setiap pertanyaan.

Mengakui dia sihat dan harus kuat demi anak-anak yang masih kecil, cerita Mas Suni, arwah suaminya seperti sudah tahu ajalnya akan hadir.
“Arwah sudah mengemas rumah. Bersih seolah-olah dia tahu orang ramai akan datang menziarahinya. Begitu juga kain baju, semuanya sudah dibasuh dan dilipat kemas. Arwah suami juga sempat menggosak 10 pasang baju sekolah anak-anaknya, seolah-olah tahu itulah khidmat baktinya yang terakhir selain tidak mahu saya rasa penat,” katanya yang menetap di Kuarters Kerajaan Negeri, Seksyen 14 Bandar Baru Bangi.
Memaklumkan yang arwah suaminya tidak sempat mengucapkan kata-kata akhir kepadanya tetapi Mas Suni perasan, di akhir-akhir hayatnya ini, suaminya terlalu suka memanjakan semua kehendak anak-anaknya.
“Pantang anak nak makan apa, dia akan bawa mereka semua keluar. Makan dan minum dan minta apa saja. Tak ada bertangguh-tangguh pun. Arwah juga sempat menemankan saya di bilik bersalin untuk kelahiran ketiga,” katanya memaklumkan suaminya sampai semula ke Bangi pada malam Ahad dan mereka tidak sempat berkomunikasi,” katanya tenang.


Mas Suni turut berkata, dia ada dihubungi oleh orang ramai tentang kemalangan menimpa suaminya itu dan dia segera memaklumkan kepada ustazah tempat anaknya belajar, bertanya sama ada Adam sudah sampai di sekolah atau belum.
“Anak kedua saya sudah bersekolah dalam darjah satu. Tapi baru ini dia terjatuh dan tangannya patah. Jadi cuma Adam saja dengan arwah ayahnya,” katanya memaklumkan, dia mengenali suaminya ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah pejabat dan mengikat hubungan sebagai suami isteri tidak berapa lama selepas itu.
Mas Suni yang bekerja sebagai Penolong Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu 14, Hulu Langat berkata, dia harus kuat demi anak-anak.
“Adam ada bertanya tentang ayahnya. Dia tahu ayahnya sudah tiada kerana dia dibawa oleh gurunya ke lokasi kejadian di mana ayahnya sudah meninggal dunia,” katanya agak sebak.
Tabung Bantu Adik Adam
Dalam pada itu, guru sekolah di mana Adam belajar, SK Jalan 6 Bandar Baru Bangi, Ustaz Hasbullah Pusera yang juga Setiausaha PIBG sekolah ketika dihubungi berkata, semasa ziarah keluarga ini tadi, dia mengakui isteri arwah cukup tabah dan kuat dan mengharungi dugaan ini.
“Kami semua tidak menyangka kejadian ini. Isteri arwah ada menghubungi seorang ustazah bertanya Adam sudah sampai ke belum. Saya sendiri membawa mereka ke lokasi kejadian. Tetapi ketika itu, hanya ada kereta kerana sudah dibawa ke hospital,” katanya memaklumkan satu tabung telah diwujudkan bagi membantu Adam sekeluarga.
Bagi yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini, boleh salurkan sumbangan atas nama PIBG SRK JALAN 6 di akaun 8002229004 (CIMB Bank) dan hantarkan slip sumbangan kepada Ustaz Hasbullah S/U PIBG SK Jalan 6 atau hubungi di talian 019-9101459.
“Cerita Sering Berubah-Ubah”, Inilah Kisah Sebenar Keluarga Tidur Dalam Kereta Di R&R Sg Buloh…

Semalam tular satu kisah keluarga yang tinggal di dalam kereta di Hentian Rawat dan Rehat Sungai Buloh, Selangor. Menurut cerita, keluarga ini terpaksa keluar dari rumah sewaan mereka di Bukit Beruntong, Hulu Selangor kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Kisah ini tular sehingga mendapati simpati netizen. Ada yang menyalahkan pihak berkuasa agama khususnya Lembaga Zakat kerana gagal membantu, begitu juga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut mendapat tempiasnnya.
Disebalik tularnya kisah keluarga ini, ada penjelasan penuh mengenainya. Semoga penjelasan ini membuktikan bahawa keluarga ini sebenarnya pernah cuba dibantu pihak berkuasa bukan seperti didakwa netizen. Baca kisah sebenar mengenai kisah keluarga ini. Lembaga Zakat Selangor berkongsi tulisan Said Azlan mengenai kisah keluarga ini. Baca sini.
“Petang semalam kecoh lagi pasal satu keluarga dipercayai tidur dalam kereta. Keluarga yang sama dijumpai di restoran sambal hijau, Petronas Sungai Pencala.dan terkini di R&R Sungai Buloh.
Seperti biasa dalam ruangan komen Tuan punya posting, Institusi Islam iaitu Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat – JKMHQ teruk dikecam.
Biiar saya jelaskan kronologi kes keluarga ini.
**********
5 Februari 2018
Sahabat saya memaklumkan tentang satu keluarga dipercayai tidur dalam kereta di Petronas Sungai Pencala dan tiada tempat tinggal. Atas kapasiti AJK dalam Pertubuhan Shah Alam Komuniti (SAKOM) – NGO Berdaftar saya rasa terpanggil untuk membantu.
Kami hubungi pihak JKM dan juga Lembaga Zakat Selangor. Sebelum itu kami telah pun membeli makanan kerana menurut anaknya mereka belum makan. Kami menunggu ketibaaan pegawai JKM.
Sebelum ketibaan pegawai tersebut, saya bertanyakan beberapa soalan. Berikut adalah cerita mereka.
**********
Lelaki ini tidak mempunyai kad pengenalan. Hanya memegang dokumen Surat sumpah lewat daftar kelahiran. Bapanya berasal dari Indonesia dan telah pun mempunyai kad pengenalan Malaysia. Namun kelahiran lelaki ini tidak didaftarkan.
Wanita ini pula adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai kad pengenalan Malaysia. Mengikut katanya bercerai kerana penderaan oleh suami terdahulu. Kes mereka pernah dilaporkan di JKM dan bantuan diberi oleh JKM setiap bulan selama ini. Difahamkan, wanita ini tidak pernah menerima duit tersebut kerana kad bank dipegang oleh bekas suami.
Mereka dihalau dari rumah sewa di Bukit Ber untung kerana gagal menjelaskan sewa rumah. Difahamkan mereka tidak pernah memohon bantuan zakat kerana lelaki tersebut tidak mempunyai kad pengenalan.
Ini kisah yang saya dengar dari mulut mereka sendiri.


**********
Pihak JKM tiba di Petronas Sungai Pencala dan melakukan siasatan. JKM mengesahkan yang nama wanita tersebut ada dalam senarai penerima bantuan. Setelah dimaklumkan yang dia tidak pernah dapat wang tersebut, pihak JKM menghubungi Ibu Pejabat dan minta bantuan dihentikan.
Bimbang anak mereka diambil oleh JKM, keluarga ini menelefon adik ipar mereka untuk menumpang rumah. Mereka bersetuju dan pihak JKM bersama keluarga ini telah menunggu ipar mereka di Tol Sungai Buloh.
**********
Selepas selesai perkara ini, saya muat naik satu status di laman sosial. Ada netizen yang mengatakan keluarga ini pernah tidur dan mandi di belakang restoran Sambal Hijau Sungai Pencala dan pernah isu ini viral dalam beberapa bulan lepas.
*****
Pegawai Zakat Daerah Petaling ada menghubungi saya bertanyakan tentang mereka. Saya maklumkan yang pihak JKM telah menyelesaikan isu ini bila keluarga tersebut bersetuju untuk tinggal bersama ipar mereka. Saya maklumkan jika ada bantuan yang diperlukan saya akan hubungi pegawai zakat itu semula.
Pihak JKM pula sering membuat panggilan ke telefon si lelaki bagi memastikan keluarga ini berada dalam keadaan yang baik.
Terbaru, pihak JKM ada menghubungi lelaki tersebut dan bertanyakan tentang keadaan mereka. Mengikut kata lelaki ini mereka telah pun berpindah ke rumah abang mereka di Klang, Selangor.
Pihak JKM telah pun meminta alamat di Klang agar pegawai mereka dapat berjumpa dan memberi bantuan. Malangnya, lelaki ini enggan memberi kerjasama. Mungkin bimbang hak penjagaan anak mereka diambil oleh pihak JKM.

Petang ini pula viral kembali kisah mereka.
Persoalan yang timbul :
1.Mengapa keluarga ini tidak bersiap jujur dengan Pihak JKM?
2. Jika benar mereka tiada tempat tinggal sudah pasti mereka boleh dibantu.
3. Cerita yang mereka sering sampaikan sering berubah-ubah.
4. Mungkinkah jika hidup begini mereka lebih mudah mendapat bantuan kewangan dan simpati dari orang ramai ?
Pihak JKM dan Lembaga Zakat Selangor mahu membantu mereka. Namun, jika begini sikap yang ditunjukkan adalah lebih baik pihak JKM mendapatkan hak penjagaan anak anak ini demi masa depan mereka.
Buat netizen diluar sana yang mengecam JKM dan Lembaga Zakat, anda sedang menyerang sebuah institusi Islam walhal anda tidak pernah tahu kisah sebenar.
Sekiranya anda terjumpa mana mana keluarga yang berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kehidupan bawa mereka ke pusat zakat berhampiran atau berjumpa dengan mana mana amil yang dilantik dalam kariah tersebut.
Mereka akan berusaha untuk membantu.
Semoga dengan sedikit perkongsian ini akan dapat meleraikan apa yang terjadi.
Wallahualam.”
Kredit: Said Azlan