Pelajar Universiti Malaysia Sabah Juara Unduk Ngadau 2021

Share

Orangnya cantik, bijak dan berketerampilan, itulah yang sesuai digambarkan kepada Maya Hejnowska yang merupakan juara baharu Unduk Ngadau 2021. Pelajar dalam jurusan muzik di Universiti Malaysia Sabah ini telah berjaya mengalahkan 20 peserta lain untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM68,830.00.

Dalam temubual bersama Astro Awani, dia berkata, “Syukur kepada tuhan kerana saya tersenarai dalam kelompok Top 21. Bila sudah tersenarai, cabarannya bermula apabila saya ada tugasan dan peperiksaan di peringkat universiti.

Anggun di atas pentas. Sumber gambar: Adrian Thomas Studio

“Walaupun terpaksa bergelut dengan masa, saya perlu bijak menguruskan masa agar emosi tidak terganggu. Syukur semuanya berjalan lancer dan dinobat sebagai ratu pula.”

IBU SUMBER KEKUATAN

Salah satu faktor kejayaan seseorang semestinya disokong oleh insan yang banyak berjasa. Bagi Maya ibunya merupakan seorang yang banyak menyumbang kepada apa yang telah dicapai.

Gadis kacukan Kadazan-Poland ini berwajah segar. Sumber gambar: Instagram Maya Hejnowska

“Ibu saya sangat cekal. Dia wanita hebat dan dia membesarkan saya dan adik beradik yang lain. Dia tidak pernah mengeluh atau mengadu. Semua dibuatnya dengan terbaik. Ketika saya nampak dia dari atas pentas, saya rasa mahu menangis,” ujarnya.

Untuk pengetahuan pembaca pertandingan Unduk Ngadau merupakan acara tahunan yang telah dilakukan bermula tahun 1960 lagi. Ia dilakukan sempena dengan Pesta Kaamatan dan menurut sejarah Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun.

Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”. Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun.

Published by
Fiezreen