Pelajar USIM Hasilkan Kapal Terbang Kawalan Jauh, Hasil Berkurung Ketika PKP

Share

Ramai melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghadkan pergerakan dan daya kreativiti kerana perlu “berkurung” di dalam rumah ketika ia mula diperkenalkan Mac lalu oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.

Ramai memilih “berehat” hingga terbit rasa bosan, antara keluhan yang biasa didengar ketika PKP. Bagi Muhammad Haikal Moktar, 22 tahun, dia melihat perintah berkurung itu sebagai “masa terbaik” untuk mereka bentuk beberapa buah kapal terbang kawalan jauh dan minatnya itu membuahkan hasil apabila melihat kapal terbang mininya terbang tinggi di udara.

Berkongsi minatnya dalam reka bentuk dan kejuruteraan udara, pelajar tahun tiga dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Biloteknologi Makanan ini berkata, sejak di sekolah lagi dia banyak membuat rekaan reka bentuk bot dan kereta menggunakan Polypoam Board namun ketika itu dia hanya mampu mereka tanpa mampu menggerakkannya. Minat dan rekaan reka bentuk ini tumbuh seiring dengan minat abang sulungnya, Muhammad Aliff Asyraf.

“Bila banyak masa terluang ketika PKP itu, saya bersama Along mula mereka kapal terbang kawalan jauh ini. Along banyak gunakan bahan-bahan terbuang seperti botol dan plastik sementara saya lebih sukakan polyfoam board sebab lebih senang nak design dan potong ikut rekaan kita suka.

“Untuk enjinnya pula, bagaimana mahu menerbangannya, saya banyak membaca dan melihat cara rekaan enjin dihasilkan melalui Youtube dan Along juga banyak membantu sebab dia pandai dalam kejuruteraan.

“Apa yang diperlukan untuk buat kapal terbang kawalan jauh ini tak susah. Kosnya pun tak tinggi, cuma perlukan polyfoam, remote (transmitter) dan receiver yang kita boleh pasang sendiri. Cuma perlukan minat dan ketekunan untuk hasilkannya. Sebab kalau tak berminat kita akan cepat rasa bosan. Masa yang sama kita kena try and error untuk membolehkan kapal terbang ini terbang mengikut apa yang kita mahukan,” katanya yang banyak membuat tempahan melalui online selain mendapatkannya di kedai bagi mendapatkan barang-barang untuk rekaan kapal terbang dihasilkannya.









Jelas Haikal lagi, walau nampak mudah namun pengetahuan dalam sains dan kejuruteraan perlu ada bagi anak muda yang minat dalam bidang rekaan sebegini.

“Kita kena tahu semuanya. Kalau saiz kapal terbang ini, berapa Gigahertz (GHz) diperlukan. Biasanya bagi saiz kecil 45cm, transmitter dan receiver diperlukan hanya sekitar 2.4Ghz sahaja. Macam saya bina ini, ia boleh terbang dalam radius 500-600 meter sahaja. Kalau lagi besar, jaraknya lagi jauh, katanya memaklumkan berat kapal terbang juga memainkan peranan.

Tambahnya lagi, setakat ini dia sudah mereka enam kapal terbang yang dinamakannya “Piper Cherokee”, Thunderbolt, Interceptor, Skywalker, MS225 dan B-Box sama ada secara sendiri dan bergabung idea dengan Alongnya.

“Rasa puas bila tengok kapal terbang terbang tinggi di udara. Masa mula buat dulu memang banyak yang patah sebab tak pandai agak. Tapi lama kelamaan dah makin cekap,” katanya yang baru saja menghasilkan sebuah Piper Cherokee bersaiz besar iaitu 800 gram.

Dengan minat mendalam, jelas Haikal, kos pembuatan bagi kapal terbang kawalan jauh mini ini tidaklah tinggi mana dan saya bercadang untuk menjualnya kepada mana-mana orang yang berminat,” katanya yang bakal menyambung pengajian tidak lama lagi.

Malah kerana minat mendalam dalam reka bentuk kapal terbang juga, dia dan abangnya sudah menubuhkan team dinamakan Fly High dan baju juga sudah dihasilkan.

Walau mengikuti pengajian bidang berbeza di universiti, jelas Haiqal dia tiada masalah kerana reka bentuk kapal terbang ini adalah minatnya.

“Setiap orang ada hobi, dan inilah antara hobi saya dalam reka bentuk kapal terbang kawalan jauh,” katanya lagi.

Nak, korang layan tengok Thunderbolt Low Pass terbang jauh. Memang superb.

Published by
Almaswa Haji Che Ros