
Ang Li Shin, seorang pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), telah mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang hadiah ACCA Terbaik Malaysia bagi peperiksaan Disember 2024.
Pelajar berusia 24 tahun itu berjaya memperoleh markah tertinggi dalam negara untuk subjek Advanced Audit and Assurance, sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan pertama di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Malaysia Raih Anugerah ‘Top of Cohort’ Di Hungary, Tampil Bangga Dengan Busana Warisan Bugis
Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan ketekunannya, tetapi juga mengangkat nama UUM ke peringkat global.
Mengulas pencapaian luar biasanya, Ang Li Shin meluahkan rasa syukur kepada keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah yang telah memberi sokongan tanpa henti sepanjang perjalanan beliau dalam mencapai kejayaan ini.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah membimbing dan menyokong perjalanan ACCA saya, terutamanya keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah.
ARTIKEL BERKAITAN: #GIRLPOWER Pelajar Kolej MARA Banting Terima Tawaran Pengajian Ke Massachusetts Institute of Technology
“Saya ingin berkongsi satu kata-kata yang memberi inspirasi kepada saya: ‘Tidak kira betapa perlahan perjalanan kita, asalkan kita tidak berhenti’,” kata pelajar Sarjana Muda Perakaunan itu.
Pencapaian cemerlang ini turut mendapat pengiktirafan daripada Penolong Naib Canselor COB dan Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri.
Beliau meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Li Shin yang dianggap sebagai satu bukti kejayaan pelajar TISSA-UUM di persada antarabangsa.
Anugerah ACCA Prize Winner adalah pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada individu yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam peperiksaan ACCA.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUMtoday.