Video berjudul ‘Perspektif Masyarakat Terhadap STPM’ itu telah dimuat naik oleh pihak produksi Majalah Remaja ke slot Instagram TV (IGTV) Dengan menampilkan 4 orang panel pelajar Tingkatan 5 dan Aziq Mukhriz yang bertindak sebagai moderator, topik tersebut dipilih selari dengan musim kemasukan pelajar ke pusat pengajian.
Pada peringkat awal, video tersebut telah mencetuskan perbandingan pendapat di antara pengikut akaun @majalahremaja di ruangan komen setelah mereka tamat menonton.
Jujurnya, REMAJA menghargai komen yang mereka berikan kerana wujud ‘komunikasi’ di antara remaja/pelajar di Malaysia. Ia membuktikan bahawa remaja kita berminat untuk membincangkan topik serius seperti pendidikan berbanding topik yang sinonim dengan mereka seperti hiburan dan hobi. Poin yang mereka berikan juga mempunyai basis kukuh dan bukannya sekadar omong kosong.
Bagaimanapun, setelah beberapa hari berlalu, ruangan komen mula dibanjiri dengan nada kecaman gara-gara poin salah diberikan oleh ahli panel di dalam video Youth Talk tersebut. Ada yang membangkang dengan cara berhemah dan ia disertakan dengan fakta.
Namun, suara kecaman dan penggunaan perkataan kesat tidak terkecuali ada di kalangan mereka.
Setelah meneliti isu ‘fakta salah’ ini, REMAJA mengambil keputusan untuk memadam video asal Youth Talk pada hari ini dan menggantikannya dengan video yang telah disunting semula.
Lewat petang tadi, salah seorang daripada ahli panel juga telah memuat naik video permohonan maaf secara terbuka di akaun Instagram miliknya dan ia telah mendapat respon yang rata-rata positif.
Menurut pelajar bernama Ahmad Luqman itu, dia meminta maaf atas kesilapan poin yang diberikan ketika sesi penggambaran. “Saya akui pelajar Politeknik juga merupakan pelajar berbakat dan bijak. Banyak penerangan yang telah diberikan kepada saya oleh para netizen dan kini saya lebih tahu mengenai sistem institusi tersebut.
“Saya juga ingin memohon agar kesilapan tutur kata saya di dalam video Youth Talk ini tidak dikaitkan dengan sekolah saya atau apa-apa anugerah yang pernah saya capai. Diharap kesilapan ini tidak dibawa ke luar konteks video. InsyaAllah lebih banyak yang boleh saya pelajari selepas ini,” katanya kepada kru produksi.
Bagi mewakili REMAJA sebagai pihak produksi, penulis juga berharap agar isu ini tidak dipanjangkan. Apa yang sudah berlalu itu seharusnya kita jadikan sebagai pengajaran. Kita sendiri kadangkala tak terlepas daripada tersalah mengeluarkan fakta.
Diharap, kami sendiri boleh memperbaiki proses penyuntingan dan kualiti inti pati video yang dihasilkan untuk tontonan remaja di Malaysia. Dan untuk Ahmad Luqman serta 3 lagi ahli panel lain, kami ucapkan selamat maju jaya dalam persediaan menghadapi peperiksaan percubaan sebelum disusuli dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, akhir tahun ini.