Baru-baru ini, banyak betul isu kontroversi melanda selebriti Korea; baik selebriti lelaki mahupun perempuan. Daripada tuduhan kononnya pernah membuli hinggalah kes dadah, ada saja cerita tidak enak yang timbul pada setiap minggu.
Kali ini, peminat K-drama dikejutkan selepas mendapat tahu pelakon lelaki kegemaran ramai, Park Seo Joon terpalit dengan kontroversi disebabkan kenyataan lamanya yang dipetik daripada satu temuramah pada tahun 2014.
Pada waktu itu, media yang menemubual Seo Joon telah bertanyakan mengenai ciri-ciri wanita idaman pelakon kacak itu.
Jawab pelakon drama Itaewon Class itu, wanita idamannya haruslah meninggalkan pekerjaan sedia ada dan perlu duduk di rumah untuk menjaga keluarganya.
Oh oh..
Di dalam artikel tersebut, Seo Joon menjelaskan bahawa dia telah dibesarkan dalam sebuah keluarga sedemikian rupa di mana ibunya komited menjaga anak-anaknya di rumah.
“Jadi saya turut merasakan anak-anak saya nanti perlu dibesarkan oleh ibu mereka. Saya pernah dengar bahawa cara seorang kanak-kanak dibesarkan akan memberi kesan kepada perlakuannya semasa zaman dewasa.
“Kanak-kanak yang kurang kasih sayang akan lebih cenderung melalui zaman dewasa yang bermasalah. Dia mungkin tidak mempunyai skil bersosial bagus, atau dia juga boleh menjadi seorang penjenayah.
“Saya tentunya akan cuba menjadi ayah yang baik, tetapi anak-anak saya tetap perlukan ibu mereka. Mungkin pendapat ini salah, tetapi inilah jawapan saya buat masa ini,” jelas Seo Joon.
Artikel tersebut tidak terhenti di situ. Seo Joon juga merasakan wanita idaman perlu menjadikannya ingin menjadi seorang lelaki yang betul-betul ingin melindungi wanita itu. Senang cerita, lelaki protective lah.
“Saya suka wanita yang membuatkan saya risau tentangnya. Wanita kurus selalu bersifat sedemikian. Saya rasakan wanita yang tinggi pula boleh menjaga dirinya sendiri,” tambahnya lagi.
Hhm..
Penulis pasti Park Seo Joon tidak berniat pun menjadikan wanita sebagai objek yang boleh diklasifikasikan mengikut ketinggian atau bentuk badan. Mungkin, apa yang dimaksudkan Seo Joon adalah dia ingin bersikap protective
terhadap wanita yang disayanginya.Mungkin juga pada waktu itu, Seo Joon masih tidak fasih mengatur ayat jawapan semasa ditemuramah.
Apa yang jelas, selepas artikel itu kembali timbul dan menjadi tular di sana, warganet Korea termasuklah sebilangan peminat Seo Joon tidak boleh menerima jawapannya itu.
Ada yang berkata pandangan mereka terhadap Seo Joon telah berubah dan cara Seo Joon yang inginkan isterinya duduk di rumah dan menjaga anak mereka adalah kolot serta ketinggalan zaman.
Apapun, penulis masih kekal menjadi peminatnya! Lebih-lebih lagi apabila dia semakin berjaya dalam karier lakonannya dan dipercayai akan membintangi filem The Marvels, tidak lama lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Park Seo Joon Dilaporkan Bakal Beraksi Bersama Brie Larson Dalam The Marvels – REMAJA
Sekiranya benar Seo Joon akan berlakon di sisi Brie Larsson dalam filem sekuel Captain Marvel itu, dia akan menjadi pelakon kelahiran Korea Selatan ketiga yang membintangi filem terbitan Marvel Cinematic Universe selepas Claudia Kim dalam Avengers: Age of Ultron dan Ma Dong Seok dalam Eternals.