Pelakon Drama Isteri Untuk Disewa & Senafas Rindu, Nelissa Nizam Cuba Nasib Di Uji Bakat Dewi Remaja 2019

Share

Walaupun sudah pernah membintangi drama-drama di kaca televisyen, Nelissa Nizam masih lagi mencari peluang untuk mengejar cita-citanya dengan menyertai ujibakat di Pencarian Dewi Remaja 2019.

Tahun lepas, gadis dari Kuala Lumpur ini sudah mencuba nasib dalam uji bakat Dewi Remaja namun, mungkin belum rezekinya dan tahun ini sekali lagi dia hadir dengan persiapan yang lebih lengkap.

“Sewaktu menghadiri casting Dewi Remaja pada tahun lepas, saya rasa seperti tidak membuat persiapan yang banyak. Jadi, pada tahun ini saya lebih bersedia untuk menonjolkan bakat kepada barisan para juri,”

“Saya banyak menyertai kelas lakonan dan nyanyian kerana ingin menjadi seorang yang versatile. So, kalau juri minta saya buat apa saja, insyaAllah saya boleh tonjolkan dengan lebih baik,” jelas Nelissa.

Pernah membintangi drama-drama popular seperti Isteri Untuk Disewa dan Senafas Rindu, Nelissa menganggap ia adalah sebagai salah satu kelebihan kerana dia sudah mempunyai sedikit pengalaman dan mendapat tunjuk ajar daripada anak seni yang lain.

Namun begitu, bagi Nelissa sendiri, walaupun dia sudah pernah berpeluang berlakon di dalam drama, ini tidak bermaksud dia tidak layak berada di pentas Dewi Remaja.

“Jika terpilih, ini adalah soal rezeki masing-masing. Semua yang masuk dalam program ini mesti ada sasaran masing-masing. Tak ada yang nak sebab suka-suka. Jadi macam saya pula, saya ingin menjadikan Dewi Remaja sebagai platform untuk menapak dalam industri hiburan Malaysia dan mengutip lebih banyak pengalaman daripada orang-orang seni,” ujarnya lagi.

Berharap agar dirinya akan terpilih untuk Pencarian Dewi Remaja 2019, Nelissa yakin dia mempunyai kekuatan dan kelebihan sekiranya dipilih sebagai barisan finalis tahun ini.

“Jika saya berjaya menjadi finalis, sudah tentu saya telah membuktikan diri saya sudah keluar daripada comfort zone dan berhadapan dengan lebih banyak cabaran dalam industri ini. Saya tak sabar nak bersaing secara sihat dengan finalis yang lain dan saya yakin dengan kelebihan yang saya ada, insyaAllah saya boleh membawa diri dengan baik dalam Dewi Remaja 2019,”

“Saya seorang yang berani dan percaya dengan kebolehan diri. Apa saja yang saya nak lakukan, saya akan buat sehabis baik. Saya juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan kerana itu yang membuatkan saya lain daripada orang lain,” kata Nelissa.

Apa-apa pun kami ingin mengucapkan good luck kepada Nelissa Nizam dan semoga hasratnya untuk menjadi anak seni yang berjaya dalam industri hiburan tanah air tercapai.

All the best sister!

Published by
Noor Ain Norman