Salah seorang pelakon filem trilogi Disney ‘Descendants’ iaitu Cameron Boyce, 20 dilaporkan telah meninggal dunia petang tadi waktu Malaysia.
Berita yang mengejutkan ramai peminat Cameron dan peminat filem terbitan Disney secara amnya itu telahpun disahkan melalui kenyataan rasmi keluarga pelakon itu. Ia diserahkan kepada saluran televisyen, ABC di Amerika Syarikat untuk laporan berita.
“Cameron meninggal dalam tidurnya pada pagi Ahad disebabkan kondisi kesihatannya. Dia sedang menerima rawatan pakar dan malangnya, mengalami simptom sawan semasa sedang tidur.
“Kami berat hati untuk melihat Cameron pergi pada usia semuda ini, tetapi kenangan bersamanya akan sentiasa kami simpan. Kami berharap agar diberi ruang privasi pada waktu yang sukar ini.”
Kali terakhir Cameron memuat naik foto ke akaun Instagram-nya adalah semalam dan peminat rata-rata masih sukar untuk mempercayai pemergian Cameron. Lebih 300,000 komen telah ditinggalkan untuk mengucapkan takziah.
Cruz Beckham turut meluahkan rasa terkejut, Gregg Sulkin berharap agar keluarga Cameron terus bertabah dan Casey Simpson meninggalkan 3 komen pada foto tersebut.
Cameron Boyce meraih populariti selepas dia membintangi filem Descendants 1, 2 & 3 serta filem Grown Ups 1 & 2 memegang watak Carlos untuk sequel ketiga Descendants.
Memandangkan filem itu hanya bakal ditayangkan pada 2 Ogos ini, REMAJA meramalkan kru produksi dan para pelakon akan melakukan penghormatan terakhir mereka sewaktu tayangan perdana.