Apabila program istimewa Friends: Reunion ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke 27 sejak siri itu menemui penonton pada tahun 1994, ramai peminat Friends yang kecewa dengan ketiadaan salah seorang pelakon pembantunya yang menjayakan siri itu selama 10 musim iaitu James Michael Tyler di set. Sebaliknya, James hanya muncul menerusi aplikasi Zoom saja buat seketika.
Rupa-rupanya, James pada waktu itu sedang bergelut dengan masalah kesihatan akibat barah prostat tahap keempat dan ia telah dihadapinya sejak tahun 2018 lagi. Lantas setelah barah merebak ke bahagian tulangnya, James tidak berada dalam keadaan terbaik untuk menjayakan Friends Reunion biarpun kita semua tahu dia ingin berada bersama pelakon Friends yang lain setelah sekian lama tidak bersua.
James, 59 sinonim dengan watak Gunther iaitu seorang pelayan senior di kafe Central Perk. Biarpun kadangkala muncul tanpa membawakan sebarang dialog dalam beberapa episod, namun kelibat di dalam kafe tersebut sering menjadikan babak Friends lebih realistik.
Berita mengenai pemergiannya pada hari ini telah diumumkan oleh penggurusnya. James meninggalkan seorang isteri, Jennifer Carno di kediaman mereka di Los Angelas. Kata pengurusnya, “Mendiang ingin membantu seramai mungkin orang tentang kesedaran terhadap penyakit yang dihadapinya agar lebih ramai yang akan menjalankan ujian darah bagi mengesan barah prostat setelah menjangkau usia 40 tahun.
“Seluruh dunia mengenali mendiang sebagai Gunther. Namun ahli keluarga dan rakan baiknya mengenalinya sebagai seorang pelakon, pemuzik, aktivis kesedaran barah dan seorang suami yang penyayang,” kata pengurus James.
Pemergian james turut mendapat perhatian semua pelakon utama Friends yang telah bersama-sama dengannya selama 10 tahun di set siri popular tersebut. Menerusi Instagram, Courteney Cox, Jennifer Anniston, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc dan Maggie Wheeler yang popular dengan karakter Janice Litman-Goralnik masing-masing memberikan kata-kata penghormatan kepada mendiang.
Biarpun Matthew Perry dan David Schwimer belum memuat naik apa-apa foto atau status berkenaan pemergian James, REMAJA pasti mereka turut berdukacita apabila mendapat tahu mengenai berita ini.
“Friends tidak akan sama tanpa kamu. Terima kasih kerana menghiburkan kami dengan gelak tawa dalam rancangan ini dan dalam kehidupan kami. Kami sangat akan merindui kamu.”
“Saya bersyukur dalam mengenali kamu, sehebat bagaimana kamu selalu bersyukur kerana terlibat dalam program ini semasa berada di set pada setiap hari. Tenanglah di sana James.”
“Kita selalu bergelak tawa, sahabatku. Kamu akan kami rindui, tenanglah di sana sahabat.”