Pelakon veteran terkenal, Lan Zailan baru-baru ini disahkan meninggal dunia pada usia 66 tahun kira-kira jam 4.24 pagi pada Khamis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Khabar duka itu dikongsikan sendiri oleh isterinya, Ruby Sara Omar kepada Sinar Harian.
“Saya dan anak-anak berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Tambah Ruby Sara, Lan atau nama sebenarnya Zailan Kamaruddin dimasukkan semula ke PPUM pada Ahad lalu selepas mengadu mengalami kesukaran bernafas.
Bagaimanapun keadaan semakin merosot pada Rabu dan doktor telah meminta keluarga bersedia dengan segala kemungkinan.
“Mewakili suami, saya minta maaf andai Allahyarham ada salah silap, halalkan makan minumnya. Semalam ketika dia nazak, saya ada pesan supaya dia maafkan semua orang dan dia sudah mengangguk. Jadi Lan juga sudah maafkan semua,” ujarnya sebak.
Dalam pada itu, Ruby Sara turut berterima kasih kepada semua pihak terutamanya peminat Allahyarham yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan sejak Lan disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.
Jenazah akan disolatkan di Masjid As-Salam Puchong Perdana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Sekadar info, Allahyarham Lan mula mencipta nama menerusi filem ‘Suami, Isteri dan…..?’ disahkan menghidap kanser itu pada 27 November lalu. Walau bagaimanapun, kanser tersebut sudah merebak ke organ penting lain.
Semasa hayatnya, Lan pernah membintangi drama dan filem seperti Gerak Khas, Zaharul vs Zarina, Takdir Itu Milik Aku, dan Bini-Biniku Gangster.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.