Pelakon Suara Animasi Pokemon Meninggal Dunia Akibat COVID-19

Share

Satu lagi berita yang mendukacitakan apabila pelakon suara animasi Pokemon, Kumiko Okae telah meninggal dunia akibat COVID-19 di usianya 63 tahun.

Menurut Next Shark, pelakon wanita itu dilaporkan menghadapi komplikasi radang paru-paru yang disebabkan oleh virus tersebut dan meninggal dunia pada 23 April lalu.

Dikenali dengan watak Pegawai Jenny dalam filem Pokemon: Lucario and the Mystery of Mew, Okeo juga merupakan seorang pelakon dan penyampai televisyen yang popular di Jepun.

Sejak membuat kemunculan sebagai seorang pelakon pada tahun 1975, Okeo muncul dalam drama dan variety show seperti Renso Game di siaran NHK. Dia juga turut mengacarakan rancangan pagi, Hanamaru Market dari tahun 1996 hingga 2014 di Tokyo Broadcasting System Television Inc.

Okeo dilaporkan mengalami demam pada 3 April dan keadaannya bertambah buruk selepas tiga hari kemudian. Dia dibawa ke salah sebuah hospital di Tokyo dan kemudiannya disahkan positif COVID-19.

Pihak pengurusannya juga memberitahu bahawa Okea telah menerima terapi radiasi dari Januari hingga Februari lalu, setelah didiagnos menghidapi kanser payudara pada akhir tahun lalu.

Difahamkan lagi, sistem imun dalam badannya semakin lemah akibat terapi dan disebabkan itu keadaan pelakon tersebut menjadi lebih teruk selepas dijangkiti virus korona.

Takziah kami ucapkan kepada keluarga mendiang. Pastinya dunia penyiaran dan anime terkesan dengan kehilangan bakat mendiang dalam industri seni di Jepun.

Published by
Noor Ain Norman