Pelancong Kongsi Pengalaman Pahit Restoran Di Munich Biadap Layan Pelanggan Islam

Share

Melancong antara aktiviti yang sangat menyeronokkan bagi kebanyakan orang. Selain dapat meneroka lokasi-lokasi cantik terutama menyaksikan pemandangan yang berbeza di Malaysia, peluang belajar dan mencuba menu masakan berbeza di sesebuah negara antara pengalaman manis bagi seorang traveller.

Di sebalik seronok melancong, ada ketika terselit pengalaman pahit terutama jika melibatkan isu makanan dan diskriminasi terhadap pelancong Islam. Pengalaman pahit ini dilalui oleh Suzana yang baru saja melancong di Munich, Jerman apabila pelayan di sebuah restoran Augustiner Am Platzl memberikan diskriminasi berbeza buat pelancong Islam sepertinya.

Seronok melancong ke Eastern Europe bersama tiga rakan berbangsa Cina

Ikuti pengalaman pahit seperti dikongsikannya.

13 Jun 2019, saya tiba di Munich, Jerman bersama tiga rakan berbangsa Cina untuk menjelajah Eastern Europe. Satu pengalaman yang sudah lama saya tunggu untuk melakukannya. Biar dalam jelajah secara back packers ini hanya saya muslim tapi itu bukan masalah buat kami semua yang sama-sama bersemangat untuk melakukan tour bersama-sama.

Perjalanan awal kami sangat baik dan masing-masing enjoy dengan trip ini. Dari Munich, kami berempat bergerak ke Salzburg,

Dari Munich kami gerak ke Salzburg,  Budapest, Krakow, Poland, Prague, Republik Chez dan kemudian patah balik ke Munich untuk penerbangan pulang.  Setiap negara atau tempat yang dijelajahi, kami tinggal dalam 3 hari. Selain berpeluang meneroka tempat-tempat tumpuan pelancong, travel dalam satu tempoh lama sememangnya amat menyeronokkan.

Sepanjang perjalanan, Allah sering memudahkan setiap urusan kami. Orang-orang yang kami jumpa di sana juga begitu mudah memberi kerjasama jika ditanya. Malah mereka sangat beriya-iya membantu menunjukkan atau menerangkan arah jalan. Ada yang boleh berbahasa inggeris. Ada yang boleh sikit-sikit. Dan yang tak boleh langsung pun, cuba juga membantu kami semua dengan menerangkannya dengan isyarat tangan.

Semasa  di sana, bila keluar jalan dan singgah makan, saya terpaksa ikut rakan-rakan non-muslim. Dah tentu sangat payah hendak cari makanan halal namun saya tiada banyak pilihan di mana saya terpaksa duduk bersama rakan-rakan saya. Biasanya saya makan roti dan minum ice cappucino dan mereka makan menu di setiap restoran yang singgah.

Semua ini kerana tiada pilihan di mana saya terpaksa duduk duduk bersama rakan-rakan saya ketika mereka menikmati makanan. Hendak tunggu di luar itu negara orang.  Nak merayau seorang, takut tak ingat jalan dan arah balik kedai mana.

Lagipun, wifi hanya di hostel saja.  Bila duduk satu meja itu,  biasanya saya cuma order minum ice cappucino atau ice latte. Dan kalau sempat, saya bawa bekal nasi goreng yang saya masak di hostel selain roti. Jika ais mudah di negara kita, tapi nampaknya dalam tour Europe ini begitu susah untuk saya dapatkan ais. Mungkin mat-mat salleh ini tak berapa gemarkan ais sebagai minuman mereka kerana amat banyak minuman dijual panas. Kalau ada pun mungkin agak terhad pilihan airnya seperti cappuccino ais. Tekak orang Melayu yang dah biasa dengan teh ais bagai tentu susah bagi saya dalam bab minuman ini. Tambahan pula ketika travel ini, cuaca panas terik disebabkan musim panas (summer).

Boleh dikatakan,  di empat buah negara kami travel tiada masalah yang timbul.  Maksud saya, pekerja restoran okey saja  bila tengok saya makan bekal yang saya bawa, sebabnya kawan-kawan saya makan makanan di kedai tu.

Restoran biadap terhadap orang Islam

Tapi, sehari sebelum pulang ke Malaysia iaitu pada 25 Jun 2019, masa di Munich. Satu restoran di old town Munich iaitu, Augustiner Am Platzl berlaku insiden buat hati jadi panas. Pergh! Sangat biadap pekerjanya dan cara mereka cukup mendiskriminasi orang Islam yang singgah di situ.

Kami singgah masuk ke restoran tersebut. Ketika dua orang rakan saya masuk ke kedai itu dan duduk membuat pilihan makanan, seorang antara mereka tolong  temankan saya ke kedai lain kerana di restoran Augustiner Am Platzl itu tiada menjual  ice latte.

Inilah restoran yang pelayannya sangat biadap, siap hentak air mineral ke meja hanya kerana tengok saya keluarkan ice latte yang tiada dijual di kedai mereka
Memang pahit pengalaman di restoran yang terletak di Munich ini sebab diskriminasi pelancong Islam, travel di empat negara lain elok saja layanan mereka

Kami dapat ice latte seperti saya mahukan  dan selepas itu kami patah balik ke kedai dua orang kami sedang menanti.  Ingatkan macam biasa la, bila rakan-rakan  saya mula buat pilihan makanan untuk makan di situ, saya keluarkan minuman dan makanan yang saya bawa.

Baru saja letak cup ice latte tu, satu pelayan perempuan restoran tu sudah pandang saya dengan pandangan yang bengis (macam mak harimau nak terkam orang, tiada langsung senyuman di wajahnya). Sambil tunjuk muka bengis, dia siap buat isyarat tidak boleh bawa masuk minuman luar (mungkin nak bercakap Inggeris dia tak pandai).

Bukan itu saja dia siap hentak botol  air mineral yang rakan saya bawa dan bagi tahu tak boleh bawa minum dalam restoran tu. Fuhh! Saya masa tu punya tak sabar nak menghirup ice latte  dan sambil berlalu, saya bangun sebab malas nak bertekak (satu lagi kita pun tahu peraturan). Bagi saya, boleh sajakan kalau cakap elok-elok, nampak sangat mereka macam anti Islam. Bila saya bangun, saya tengok waiter perempuan tu siap panggil rakan lelakinya, masing-masing tunjuk muka bengis seolah-olah sangat benci dengan orang Muslim bertudung.

Bila tengok saya bangun, seorang rakan ikut saya kerana bimbang saya duduk seorang di luar sementara dua lagi masih di dalam restoran itu kerana makanan sudah di order. Rakan saya pun sound pada waiter lelaki yang waiter perempuan tu biadap. Boleh je kalau cakap elok-elok. Sebab kami dah pergi negara-negara lain, tak ada pula pekerja restoran biadap macam di Munich tu. Tapi waiter lelaki tu macam blur je (buat-buat  blur kot).

Bagi saya, ini sajalah pengalaman tak seronok dengan orang di sana. Tak sangka pulak sehari sebelum nak balik Malaysia, jumpa juga spesis Hitler ni.  Baru tadi, cerita baik-baik je pasal orang-orang di Eastern Europe tapi rupanya ada lagi spesis Hitler. Mungkin dia orang nie anti Islam kot!

Published by
Almaswa Haji Che Ros