Semenjak atlet lompat tinggi senior negara, Lee Hup Wei mengumumkan dirinya tidak lagi akan menyertai Sukan Olimpik selepas ini biarpun baru berusia 34 tahun, rata-rata peminat sukan negara tertanya-tanya sama ada Malaysia mempunyai pelapis bagi acara lompat tinggi selepas ini.
Kita nampaknya telah mendapat jawapan bagi persoalan itu menerusi atlet kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa.
Kelibat Nauraj tidak selalu dapat disaksikan di tanah air kerana atlet berusia 29 tahun ini memilih Jerman sebagai tapak latihannya. Bagaimanapun, beliau pernah mengharumkan nama negara dengan memperolehi pingat perak di Sukan SEA Filipina 2019.
Hari ini, Nauraj menyahut cabaran antarabangsa di kejohanan CAS di arena Stade Jean-Jacoby dekat Schifflange, Luxenbourg. Segala latihan yang dipersiapkan beliau, jurulatih dan pasukan sokongan di sana tampak membuahkan hasil apabila Nauraj berjaya memenangi pingat emas dengan lompatan 2.18 m!
Biarpun ini bukanlah catatan peribadi terbaiknya iaitu rekod lompatan 2.30m yang pernah dilakukan pada tahun 2017 di Kejohanan Terbuka Singapura, ia masih adalah satu persembahan yang wajar dipuji.
Untuk pengetahuan, Nauraj bukan lagi wajah baharu untuk menaiki podium dalam kejohanan bersiri yang dilangsungkan di benua Eropah. Pada bulan Jun lalu, anak kelahiran Johor ini pernah memenangi emas di Hungarian Grand Prix (GP) Series Tatabanya Championship dengan lompatan 2.27m. Ia juga merupakan lompatan terbaiknya pada musim ini.
Khabarnya, Nauraj akan meneruskan latihan di Jerman dan meneruskan usaha meningkatkan prestasi di sana memandangkan lebih banyak kejohanan olahraga dilangsungkan di benua tersebut.