Berita

Pelari Menara Nombor Satu Negara Berjaya Pecah Rekod Di Taiwan, Tawan Menara Taipei 101

Share

Jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching meraih kejuaraan dunia sulungnya selepas berjaya menawan Menara Taipei 101 di Taiwan menerusi saingan The Towerrunning World Championships.

Atlet berusia 30 tahun itu melakukan catatan masa 11:35.61s saat pada larian pertama dan 7:1.01s pada larian kedua untuk meraih gelaran pada saingan edisi ke-3 itu, yang berlangsung pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pecah Rekod Di China, Soh Wai Ching Tawan Menara Setinggi 81 Tingkat!

“Saya sangat gembira kerana dapat memenangi kejuaraan dunia ini selepas enam tahun. Kejohanan sebelum ini berlangsung pada 2018.

“Ia kemudian sepatutnya berlangsung pada 2020 tetapi akibat pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguh. Saya telah lama menantikan saat-saat ini dan akhirnya saya berjaya,” katanya bangga.

Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh dalam kenyataan berkata Malaysia telah meraih pencapaian signifikan dalam sukan itu selepas Wai Ching dinobatkan sebagai Juara Dunia yang baharu.

“Perjalanan ke puncak menjadi bukti kepada dedikasi dan sikap konsistennya, dalam kemuncak kerjayanya sejak 2020. Selepas empat tahun mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau telah merangkul kejayaan tertinggi sukan ini,” ujarnya.

Sekadar info, Wai Ching melakukan larian setinggi 91 tingkat pada larian pertama dan 59 tingkat pada larian kedua.

Secara keseluruhan, pelari menara nombor satu dunia itu mencatat 18 minit dan 36.62 saat meninggalkan pencabar utama, Ryoji Watanabe di tempat kedua.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO/ARTIKEL: Instagram Wai Ching & Berita RTM

Published by
Fath