Dari Shah Alam ke Bangkok, Thailand.
‘Kabel’ apalah yang digunakan usahawan kontroversial, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih popular dengan panggilan Nur Sajat ini gunakan hingga boleh meloloskan diri ke negara seberang itu, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan hari ini?
Okay, pertama sekali kita perlu selami kronologi perjalanan Sajat ke sana pada tahun ini.
Setelah Sajat gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu untuk sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab, waran tangkap telahpun dikeluarkan oleh pihak mahkamah terhadapnya. Bagaimanapun, dia lesap sejurus selepas itu biarpun pada awalnya didakwa bersembunyi di Shah Alam, Selangor.
Pejam celik, hampir tujuh bulan berlalu sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil membantu Jabatan Agama Islam Selangir (Jais) untuk menjejakinya bagi melancarkan sebutan kes. Hanya apabila rakan media Harian Metro yang menubuhkan skuad khas bagi menjejaki laluan yang telah digunakan oleh Sajat untuk melarikan diri, barulah terbongkar kedudukan sebenar Sajat yang berada di Thailand pada masa ini.
Sajat dikatakan hanya menggunakan kenderaan yang dipandu dengan bantuan seorang lelaki dari Petaling Jaya untuk ke Padang Besar. Bagaimana dia boleh mencari laluan yang tidak mempunyai sebagai Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilakukan oleh pihak berkuasa, Wallahualam.
Khabarnya, pemandu yang mempunyai kerakyatan Malaysia dan Thailand itu dibayar upah sebanyak RM20,000 untuk membawa Sajat ke utara menggunakan laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Pemandu yang dipilihnya itu mempunyai kemahiran dengan selok-belok di kawasan sempadan demi meloloskan diri hingga selamat tiba ke Perlis (Padang Besar).
Sepanjang perjalanan di lebuhraya, Sajat dipercayai kekal memakai niqab atau purdah bagi mengelakkan dirinya daripada dikesan.
Setibanya di Padang Besar Perlis, mereka berdua masuk ke gerabak kereta api barangan sebelum lolos melepasi sempadan. Masih di Padang Besar namun di sebelah Thailand, mereka kemudiannya ke Hat Yai.
Di sinilah Sajat khabarnya bertukar ‘partner in crime’ yang membawanya hingga ke Bangkok, Thailand.
Pergh, macam plot filem dah!
Pelarian Sajat ke Thailand ini juga dipercayai berlaku pada Mac lalu semasa perbuatan rentas daerah dan rentas negeri masih longgar kerana status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Itu bermakna, dakwaan Sajat menyewa sebuah kondominium di Bangkok mungkin sekali telah berlarutan selama enam bulan.
Mengulas mengenai isu ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman iaitu Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihak PDRM sedang dalam proses ekstradisi untuk membawa pulang Sajat ke Malaysia.
Tambah beliau, apa yang boleh dikongsikan adalah Sajat telahpun ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana memiliki pasport tidak sah. Pada waktu itu, mereka mengesahkan bahawa Sajat ialah individu yang sedang melarikan diri dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia. Dia kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Thailand pada 9 September atas kesalahan imigresen namun dibebaskan dengan jaminan USD2,000 (kira-kira 8,343) oleh seorang warga tempatan yang dikenali sebagai Misha.
Dakwaan kononnya dia ditahan bersama seorang lelaki warga Thailand yang berperwatakan wanita tidak disahkan olehnya.